Cetusan Minda...: Coretan ke belakang [1]

Sunday, May 22, 2005

Coretan ke belakang [1]

Sepagi di DBP - BAHAYA ISLAM LIBERAL!

Pagi sabtu lepas teman menghadiri ‘Seminar Bahaya Islam Liberal’ di DBP. 2 tokoh yang membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut:

1. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin – “Islam Liberal Ancaman Terhadap Islam Tulen”
2. Ustaz Adnin Armas – “Islam Liberal menggugat Mushaf Uthmani”



Sebelum ini kita dihangatkan isu Aminah Wadud, seorang wanita yang menjadi khatib dan mengimamkan solat Jumaat di Amerika. Malah, lelaki dan wanita yang menjadi makmum bercampur dalam saf yang sama.

Kita juga dibangkitkan tentang isu penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal moral individu. Adakah ianya relevan atau tidak. Kerana terdapat segelintir pihak yang mendakwa dan mempertahankan bahawa moral adalah hak individu.

Tidak pasti pula teman asal-usul perkara ini ditimbulkan. Seingat teman ianya mula dibincangkan secara terbuka dalam media dan wacana ilmu selepas kes Jeslina Hashim yang ditangkap oleh penguatkuasa JAWI di The Zouk, Jalan Ampang bersama remaja-remaja Muslim lain.

Tapi yang teman pasti, Sisters in Islam pernah menghantar memorandum kepada kerajaan pada tahun 1997 berkaitan isu moral sebagai hak individu ini dengan mengaitkannya sebagai fundamental liberties sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Itu perkara-perkara yang jelas beritanya di Malaysia. Belum lagi ditinjau di Indonesia. Khabarnya lebih hebat perkara ini ditimbulkan di sana.

Di Indonesia, golongan Islam Liberal menyarankan agar solat didirikan dalam 2 bahasa. Tidak semestinya dalam Bahasa Arab.

Dalam akhbar TEMPO juga, golongan ini mengkritik poligami dan sebaliknya menyokong nikah mut’ah.

Ratio 1:2 antara lelaki dan perempuan dalam sistem pusaka Islam juga dikritik. Ini tidak adil bagi mereka. Sepatutnya harta pusaka dibahagikan sama rata dengan nisbah 1:1.

Di Indonesia juga lahir aliran “Islam Pluralis” yang berpendapat bahawa adalah menjadi kesalahan jika kita mengatakan bahawa Islam adalah agama yang benar. Dakwa mereka, agama lain juga benar dan penganutnya masuk syurga.

Ini sepertimana yang dinyatakan dalam Pancasila bahawa semua agama adalah sama.

Apakah Islam Liberal?


Dalam laman web Jaringan Islam Liberal (JIL) golongan ini menafsirkan diri mereka:

“Nama ‘Islam Liberal’ menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. ‘Liberal’ di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu ‘liberal’”.

Daripada ini dapat ditafsirkan bahawa aliran Islam Liberal ini seperti menyandarkan diri kepada Islam, namun masa yang sama tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam, atau bebas dari kekangan aqidah, ibadah, muamalat dan akhlaq Islam.

Aliran ini seakan menganggap Islam yang terkandung nas-nas al-Quran dan as-Sunnah adalah Islam terbelenggu, terikat dan tidak bebas. Maka mereka cuba membebaskan Islam dari sebarang keterikatan terhadap nas-nas syarak.

Bagaimana caranya?

Golongan ini mentafsirkan, mengolah atau menafikan apa sahaja dalil syarak agar bersesuaian dengan kehendak pemikiran mereka.

Sementara pemikiran mereka pula berteraskan falsafah yang dipegang oleh dunia Barat yang mereka anggap bertamadun.

Implikasi dari ingin meliberalkan agama, kita lihat berbagai pentafsiran dan penyelewengan di atas nama agama muncul dalam aliran ini. Sehingga tokoh aliran ini iaitu Irshad Manji (seorang lesbian), menyokong perkahwinan sesama jenis.

Adakah SIS juga penganut Islam Liberal?

Em, adakah Sisters in Islam (SIS) juga sebahagian daripada golongan ini? Atau secara kebetulan cara pemikiran mereka seakan-akan sama?

Kita sendiri tahu bagaimana SIS mentafsir beberapa ayat al-Quran secara literal. Begitu juga konsep kesaksamaan gender yang mereka keutarakan dan banyak lagi perkara-perkara lain.

Teman tak mahu membuat kesimpulan terlalu awal. Cubalah anda fikir dan nilai.

1 Comments:

At May 25, 2005, Blogger TajamFikir said...

Assalamualaikum.
sesungguhnya telah datang ancaman baru bagi umat islam di malaysia,iaitu serangan pemikiran liberal.Jikalau dahulu fahaman liberal mempunyai "isme" mereka tersendiri, tetapi kini mereka menyusup,menggunakan strategi halus lagi licik untuk mengadunkan agama islam dengan fahaman liberal yang mereka perjuangkan.
Mudah-mudahan, umat islam kini sedar akan peperangan pemikiran yang telah dicetuskan, dan bersedia untuk menghadapinya.
Ayuh sahabatku, perkasakan minda dan rohanimu,kembalikan pembudayaan ilmu umat islam agar, musuh islam bisa gerun dan gementar seluruh tubuh badan mereka, persis ketika zaman kebangkitan Islam dahulu.
wallaualam, wassalam.

 

Post a Comment

<< Home