Cetusan Minda...: Minggu Pertama 2005

Saturday, January 08, 2005

Minggu Pertama 2005

Sepanjang minggu ini teman begitu sibuk. Teman perlu menduduki dua ikhtibar (ujian) yang berturut-turut. Alhamdulillah, telah selamat dihadapi. Semoga ALLAH mengurniakan natijah yang mumtaz. Amin.

Di samping itu juga teman ditugaskan membuat presentation berkenaan client counseling. Syukur ke hadrat-Nya, hasil pengalaman menyaksikan pertandingan client counseling ketika MILLEF ’04 yang lepas, teman dan ahli kumpulan yang lain dalam firma Zikri & Associates dapat melakukan yang terbaik. Terima kasih kepada adik-adik di ofis yang sentiasa memberikan semangat.

Yang pastinya, banyak pengalaman baru yang diperolehi sepanjang minggu pertama Januari 2005 ini.

Pada malam tahun baru, teman dan beberapa orang sahabat telah pergi ke KLCC. Satu kumpulan lagi ke Bintang Walk. Matlamat kami satu, mengaplikasikan dakwah fardhiyyah. Melaksanakan teori-teori yang dipelajari dalam subjek Manahij al-Dakwah (Methods of Dakwah) ketika di tahun pertama pengajian dahulu.

Selama ini teman melihat suasana sambutan tahun baru hanya di kaca televisyen. Entahlah. Tiada niat dan tiada sebab untuk teman ke tempat-tempat tumpuan sambutan seperti Dataran Merdeka, KLCC dan sebagainya. Tetapi kali ini teman berpeluang menyaksikan suasana through my naked eyes.

KLCC – sepertimana arahan kerajaan membatalkan semua majlis dan konsert keramaian sambutan tahun baru rentetan tragedi tsunami – tetap dipenuhi manusia. Dari sekecil-kecil bayi sehinggalah ke warga emas. Semuanya ada. Cumanya tiada konsert seperti tahun-tahun sebelum ini.

Setiap inci taman dipenuhi manusia pelbagai bangsa. Setiap perdu pokok diduduki pasangan kekasih yang sedang berasmara. Di jalanraya pula dipenuhi segerombolan kanak-kanak berbasikal seperti yang pernah ditayangkan dalam Edisi Siasat NTV7 tidak lama dahulu. Di masjid as-Syakirin juga ramai manusia yang beriktikaf (baca:melepak). Ini realiti suasana di KLCC.

Astaghfirullah. Teman tiada kekuatan untuk mencegah. Lidah teman kelu untuk menegur. Hanya hati yang menyumpah seranah melihatkan kemungkaran di hadapan mata.

Teman terfikir…inilah dunia. Inilah keadaan yang perlu teman hadapi apabila bergelar graduan kelak.

Duduk di kampus, dunia kecil dan terbatas. Teman hanya belajar teori. Apabila berhadapan dengan realiti, bukan semua teori dapat dilaksanakan tanpa pendedahan yang efektif dilakukan ketika peringkat pengajian.

Doa teman di awal tahun baru…Semoga Allah mengurniakan ilmu, kekuatan mental & fizikal, kemahiran dan segalanya kepada diri teman ini supaya teman mampu memikul tugas dakwah menegakkan kalimah-Nya. Amin.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home