Cetusan Minda...: E-mel tetamu: Salahkah Siswi Itu Berpurdah?

Sunday, February 06, 2005

E-mel tetamu: Salahkah Siswi Itu Berpurdah?

Teman terima e-mel ini daripada seorang pengunjung weblog teman dan meminta artikelnya disiarkan di Cetusan Minda.
SALAHKAH SISWI ITU BERPURDAH?
Oleh; Saif Qistina
saif_qistina@yahoo.com

Baru-baru ini seorang siswi di sebuah IPT tempatan disaman kerana kesalahan memakai purdah di dalam kampus. Peruntukan untuk peraturan melarang memakai purdah jelas dinyatakan dalam peraturan kod etika berpakaian IPT tersebut. Peruntukan tersebut menyebut:
“any form of clothing that covers the face is prohibited.”

Salahkah siswi itu berpurdah?

Penulis teringat sebuah kes yang hampir sama isunya; Hjh Halimatussaadiah v. Public Service Commission, Malaysia [1994] 3 MLJ di mana Mahkamah Agung ketika itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan pemecatan perayu daripada jawatannya sebagai kakitangan dalam kerajaan negeri Perak.

Apakah kesalahannya?

Dia berpurdah di tempat kerja – enggan mematuhi arahan dalam surat pekeliling yang dikeluarkan – lantas dipecat. Surat pekeliling tersebut antara lain menyatakan:
“…However, ‘jeans’, ‘slacks’, shorts and any dress covering the face are not permitted to be worn during work.”

Dalam Islam tidak dilarang perempuan memakai purdah dan tidak pula diwajibkan memakainya. Bebas kepada muslimah memilih untuk memakainya ataupun tidak.

Dalam konteks siswi IPT tersebut, dia memilih untuk memakai purdah. Penulis yakin dan percaya dia mempunyai alasan yang kuat untuk memakai purdah, tidak taqlid buta semata-mata.

Hak siswi ini terjamin di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan: Bebas untuk mengamalkan agamanya!!

Namun kebebasan agama yang dijamin di bawah perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan tidaklah mutlak kerana perkara 11(5) tidak membenarkan sebarang tindakan yang bertentangan dengan sebarang undang-undang am berkaitan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.

Tetapi, adakah dengan siswi itu berpurdah bisa mengganggu ketenteraman awam di kampus? Adakah pakaiannya itu membuatkan rakan-rakan dan orang-orang di sekelilingnya berasa tidak selamat?

Zainur Zakaria (1993) dalam artikelnya yang mengulas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Hjh. Halimatussaadiah berkata:
“Surely it cannot be said that the practice of the Plaintiff in wearing the purdah was contrary to public health or morality. The only ground perhaps on which the Plaintiff could be prohibited from wearing the purdah would be on the ground that it was contrary to public order.” Ini bermakna Mahkamah melihat pemakaian purdah sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Mengimbas definisi ‘public order’ secara lalu maka penulis ketemu definisi yang diberi Hakim Abdoolcader di dalam penghakiman kes Re Application of Tan Boon Liat @ Allen [1976] 2 MLJ 83:
“The expression ‘public order’ is not defined anywhere but danger to human life & safety and the disturbance of public tranquillity must necessarily fall within the purview of the expression.”

Mungkin ada benarnya kata-kata Hakim Mohd. Noor Abdullah di dalam kes Meoratiqulrahman [2000] 5 MLJ 375:
“seorang yang memakai purdah yang memperlihatkan kedua matanya sahaja seperti dalam kes Hjh. Halimatussaadiah tidak dapat dicam atau dikenalpasti, sifulan atau sifulan, lelaki atau perempuan.”

Penulis bersetuju dengan Hakim Mohd. Noor tetapi masyarakat tidak boleh dibiarkan meletak prejudis yang melampau terhadap setiap wanita Muslim yang berpurdah. Sikap itu adalah jumud dan sempit dalam keadaan negara yang aman damai sekarang di bawah kepemimpinan kerajaan Islam Hadhari.

Sebagai kesimpulannya, pihak berautoriti di kampus berkenaan perlulah terlebih dahulu membuktikan bahawa pemakaian purdah atau niqab ini jelas membahayakan ketenteraman dan keselamatan awam sebelum pemakaiannya dilarang. Bagi penulis, hanya bukti yang tuntas mampu menjustifikasikan larangan tersebut.

Wallahua’lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home