Cetusan Minda...: Lagi lagi PTPTN

Tuesday, October 25, 2005

Lagi lagi PTPTN

“Kementerian Pelajaran bertindak menyiarkan nama kira-kira 50,000 bekas pelajar yang gagal membayar balik hutang pinjaman pendidikan berjumlah kira-kira RM50 juta, dalam laman webnya.” (Berita Harian, 24/10/05, muka depan)

Bicara tentang isu PTPTN membuatkan kita melihat masalah bayaran tertunggak ini daripada pelbagai sudut; dari sudut kerajaan, pihak PTPTN sendiri, dan tidak ketinggalan graduan yang terlibat. Semua pandangan perlu diambil kira.

Teman lebih selesa berbicara daripada sudut graduan yang terlibat. Mengapa?

Kerana daripada sudut lain, kita mengetahui bahawa sudah menjadi tanggungjawab penghutang untuk melunaskan hutang. Tidak kira apa cara. Jika tegar, tindakan mahkamah diambil jika itu jalan yang terbaik. Malah, antara hujah PTPTN suatu ketika dulu, kegagalan peminjam membayar dalam tempoh waktu ditetapkan akan memberi kesan kepada generasi peminjam yang baru.

Ya, memang betul. Teman tidak menafikan.

Namun perlu dilihat juga faktor-faktor mengapa graduan gagal membayar hutang mereka selepas tamat belajar. Sikap malas, tidak ambil peduli, kita ketepikan. Itu masalah sikap yang negatif. Adakala sikap itu perlu di‘lunak’kan dengan hukuman yang wajar.

Mengikut prosedur PTPTN, peminjam mesti mula membayar 6 bulan selepas tamat belajar.

Masalah kerjaya

Tetapi, itu terma dan syarat dalam perjanjian ketika pelajar tersebut tandatangan di awal tahun pengajiannya. Tanpa memikirkan kemampuan untuk membayarnya apabila tamat belajar kelak.

Keadaan berubah selepas tamat belajar. Bagi yang bernasib baik, belum habis belajar sudah ada bakal majikan yang mengintai. Bagi yang tidak, setahun menganggur tiada pekerjaan tetap, itu perkara biasa. Lihat saja angka graduan menganggur ketika hangat dibincangkan dahulu. Puluhan ribu.

Jadi, bagaimana mungkin graduan yang belum bekerjaya tetap ingin melunaskan hutang bermula 6 bulan selepas tamat belajar?

Bayangkan jika jumlah bayaran bulanan RM200-RM300 dengan pendapatan tidak tetap RM900 sebulan. Itu pun jika berpendapatan. Akhirnya, melalui ibubapa atau penjaga, terpaksa meminjam lagi (double burden) daripada sumber lain seperti bank untuk membayar hutang PTPTN tersebut.

Apabila memberi alasan pengangguran, teman yakin dan pasti akan ada pula pihak yang menyalahkan kembali graduan. Tidak fasih berbahasa Inggeris, tiada ketrampilan, tiada keyakinan dan bermacam-macam lagi ciri-ciri negatif yang akan dipatahkan kembali kepada graduan. Seolah-olahnya graduan inilah semata-mata punca segala masalah.

Bukankah tanggungjawab pemerintah menyediakan peluang pekerjaan yang luas?

Atau, tidakkah kita melihat bahawa isu PTPTN ini tidak menjadi terlalu membebankan apabila dasar pengkorporatan Universiti dihentikan?
Yuran pengajian dan kos-kos lain di universiti akan dapat dikurangkan.

2 Comments:

At October 29, 2005, Blogger Unknown said...

Selain dari menyalahkan orang lain, lebih baik kita melihat kembali diri kita.

Ini bukan sesuatu yang luar biasa tetapi kebiasaan. Keluarga Malaysia sebenarnya tiada perancangan keluarga yang baik.

Mereka sanggup berbelanja untuk keselesaan tetapi berat untuk menabung untuk pendidikan anak-anak.

Namun, bagi keluarga yang mempunyai perancangan yang baik, InsyaAllah hal-hal seperti di atas tidak berlaku atau sekurang-kurangnya dapat diringankan.

 
At November 01, 2005, Anonymous Anonymous said...

kerajaan dah bnyk tolong org melayu.Tengok jer di kwsn gombak, memang purposely uia dibina di situ utk meningkatkan taraf ekonomi org melayu di situ. Anwar ibrahim time tu nampak bahawa dgn membina sebuah uni di situ dapat membantu tanah rizab melayu gombak yg telah sekian lama tidak membangun.

 

Post a Comment

<< Home