Cetusan Minda...: Sistem Juri boleh sekat amalan rasuah di kalangan Hakim

Thursday, June 01, 2006

Sistem Juri boleh sekat amalan rasuah di kalangan Hakim


(sumber: Malaysiakini.com)

Badan Kehakiman dicadang supaya mempertimbang memperkenalkan semula perbicaraan menggunakan juri dalam usaha menyekat amalan rasuah di kalangan hakim. Ketika mencadangkan demikian, Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun berkata sistem juri – yang dihapuskan pada Februari 1995 – mungkin berkesan dalam menangani amalan rasuah atau salahguna kuasa di kalangan pegawai kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutupan di seminar mengenai "Mencegah Rasuah dalam Sistem Keadilan Jenayah", di Kuala Lumpur semalam, beliau berkata, tidak ada salahnya memperkenalkan semula sistem juri jika amalan hanya seorang (hakim) membuat keputusan tidak menyediakan langkah periksa dan imbang yang sempurna.

Idrus memberikan responnya terhadap kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam yang beliau ada menerima beberapa surat layang mengenai rasuah di kalangan hakim. Ahmad Fairuz juga berkata, beliau telah mengirim surat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan badan kehakiman supaya menjalankan siasatannya sendiri, tetapi tidak terdapat bukti andal.

Menurut laporan Bernama, Idrus juga mencadang dijalankan semula siasatan awal bagi menyokong sistem juri jika ia diperkenalkan semula. Perbicaraan penuh "Dalam siasatan awal, pendakwaraya akan mengemukakan bukti di mahkamah dan terpulang kepada majistret memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk perbicaraan penuh atau sebaliknya," tambahnya.

Idrus berkata, beliau percaya ini lebih telus dan adil kepada semua yang terlibat dalam sesuatu kes daripada hanya menyalahkan pejabat peguam negara kerana tidak mendakwa seseorang individu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Idrus berkata adalah wajar kerajaan yang memerintah mengambil langkah melindungi sistem keadilan jenayah dari dicemari rasuah dan segala bentuk salahlaku. Menurutnya, sistem keadilan jenayah yang tercemar tidak saja melemahkan pentadbiran negara malah menggugat kewibawaan bangsa. "Jika ini berlaku, pembangunan akan menerima kesannya dan rakyat akan menghadapi kesengsaraan sosio-ekonomi yang tidak terperi," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home