Cetusan Minda...: 1426H [Defragmentation Project]

Wednesday, February 09, 2005

1426H [Defragmentation Project]

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut awal Muharram 1426 Hijrah, tanda tahun 1425 Hijrah bakal melabuhkan tirainya. Menutup catatan diari umat Islam 1425H.

Tahun 1425H meninggalkan seribu satu kenangan pahit dan manis kepada umat Islam. Di penghujung 1425H dunia digemparkan dengan tragedi tsunami. Tragedi itu berlaku ketika dunia Islam mengutuk perbuatan kerajaan Thaksin ke atas umat Islam di Tak Bai, Selatan Thailand. Maka pandangan dunia dialihkan untuk melupakan tindakan Thaksin.

Tahun ini juga menyaksikan salji turun di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga banjir besar melanda beberapa kawasan di Arab Saudi termasuk juga di Mina.

Adakah semua yang berlaku ini tanda alamat daripada Allah Rabbul Jalil? Sama-samalah kita insafi.

1426H [Defragmentation Project]?

Menjelang Subuh 1426 Hijrah ini, teman akan melancarkan 'Defragmentation Project' sebagai persediaan mengharungi cabaran dalam Third Wave (Gelombang Ketiga). Dunia yang semakin menekan umat Islam. Namun, teman tetap optimis bahawa Islam akan bangkit semula. 1426 Hijrah bakal merintis dan mengorak langkah ke arah kegemilangan tersebut. Justeru, teman memulakan dengan diri sendiri.

Apakah nuansa projek tersebut?

Penguasaan bidang, pembinaan intelektualisme, peningkatan 'ubudiyyah dan pembentukan profesional bertaraf ulama' adalah merupakan intipati asas di dalam projek teman ini.

Timeframe projek?

Projek ini teman letakkan sasaran dalam tempoh 24 bulan. Tempoh ini bermula daripada terbit fajar 1426 Hijrah sehingga menjelang subuh 1428 Hijrah. Semoga, apabila teman bergelar graduan nanti - sedikit sebanyak - ada kemajuan yang dikecapi.

Ringkasan modus operandi projek?

Penguasaan bidang ber'modus operandi'kan langkah-langkah untuk menguasai bidang pengajian teman. Teori dan praktikal. Strategi belajar yang berkesan akan diinovasikan selaras dengan jadual harian teman yang padat. Penguasaan pelbagai bahasa juga perlu diberi perhatian. Bahasa Inggeris wajib dikuasai demi membolehkan teman bersilat dalam gelanggang Barat. Dakwah lebih berkesan jika disampaikan dalam bahasa mereka.

Seterusnya, dalam usaha membina intelektualisme, beberapa strategi digariskan. Antaranya melaksanakan disiplin membaca bulanan yang teratur dan dipatuhi. Selain daripada itu, tahap dan keupayaan pemikiran akan dilatih dan diasah untuk menjadi lebih kritis, merembes idea-idea bernas ke arah kemajuan secara holistik.

'Ubudiyyah sememangnya perkara wajib. Hubungan dengan Pencipta perlu dipertingkatkan. Post-mortem sepanjang 1425H akan dijadikan kayu ukur dan garis panduan peningkatan. Hati perlu dipupuk untuk sentiasa bersikap ikhlas dalam setiap 'amal. Al-'Amalu Lillah. Berjayalah bagi mereka yang mukhlis.

Dan akhir sekali, persiapan dalam membentuk seorang profesional bertaraf ulama'. Ataupun ulama' yang bertaraf profesional. Cendekiawan-cendekiawan Islam ketika zaman kegemilangan Islam seperti Ibnu Sina, Jabir ibnu Hayyan, Ibnu Rusyd, dan ramai lagi akan dijadikan tauladan. Penguasaan dalam kedua-dua bidang. Ilmu fardhu 'ain dan fardhu kifayah.

Inilah 'Defragmentation Project' yang akan teman laksanakan. Tiada copyright terhadap projek ini. Malah teman galakkan mana-mana sahabat Muslim dan Muslimah yang berminat untuk tujuan adaptasi dan modifikasi terhadap idea projek ini.

Marilah kita mulakan langkah baru. Membentuk Muslim berkesedaran. Memajukan diri untuk Ummah.

Akhir kalam, teman ucapkan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1426 untuk semua muslimin seantero dunia.

Wallahua'lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home