Cetusan Minda...: Mungkin hanya Pak Lah dan JAKIM yang beria-ia hendak melaksanakan Islam Hadhari

Wednesday, June 01, 2005

Mungkin hanya Pak Lah dan JAKIM yang beria-ia hendak melaksanakan Islam Hadhari

Artikel ini teman petik daripada HARAPAN Online:

Mungkin hanya Pak Lah dan JAKIM yang beria-ia hendak melaksanakan Islam Hadhari
Oleh: Saif Qistina


Ketika diumumkan dulu tentang hasrat JAKIM untuk menyediakan satu garis panduan hiburan, ramai mahasiswa terutamanya yang peka dan prihatin terhadap isu kebejatan sosial di kalangan anak muda negara ini menyambut baik malah ternanti-nanti garis panduan tersebut diumum dan dikuatkuasakan.

Namun baru-baru ini, impian untuk melihat ianya direalisasikan seakan terpadam apabila perlaksanaan garis panduan tersebut ditangguhkan oleh Kabinet berikutan kewujudan sebuah pasukan pemantau di bawah Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang telah sedia lama ditubuhkan.

Justeru, gegak-gempitalah perkara ini dibincangkan di dada-dada akhbar. Yang paling lantang bersuara ialah Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, pak menteri yang menaungi Kementerian terbabit. Dulunya beliau diberi portfolio untuk menjaga hal-ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri. Berbagai-bagai hujah beliau menyatakan rasional mengapa perlaksanaan garis panduan tersebut ditangguhkan dan wajar ditolak.

Pertama, seperti yang telah dinyatakan iaitu telah sedia ditubuhkan sebuah pasukan pemantau hiburan di bawah Kementeriannya itu. Maka, apabila JAKIM sibuk-sibuk menggariskan satu panduan, berkaitan hiburan pula, katanya ini overlapped dengan tugas pasukan pemantau tersebut yang dianggotai FINAS, Jabatan Imigresen dan juga PDRM.

Saya tertanya-tanya, salahkah JAKIM merangka satu garis panduan yang sebegitu rupa? Lagi pula, perkara-perkara yang disentuh oleh JAKIM bukanlah tentang metode prosedur penguatkuasaan dijalankan dan siapa anggota penguatkuasanya. Apa yang digariskan oleh JAKIM lebih tertumpu kepada waktu hiburan yang sepatutnya, lirik lagu yang tidak bertentangan norma-norma Islam, cara pakaian dan persembahan dan beberapa perkara penting lagi. Itu sahaja. Tidak timbul isu JAKIM melampaui bidang kuasa pasukan pemantau tersebut.

Maka kelantangan Rais Yatim ini, bagi saya, telah membuka pekung sendiri. Apakah yang dibuat oleh pasukan pemantau tersebut? Hanya memantau? Hanya memastikan setiap konsert mendapat permit pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis terlebih dahulu? Sebagai warganegara, saya baru mengetahui kewujudan pasukan ini. Manakan tidak, satu habuk hasil kerja pun tak nampak selama ini. Maka terus meneruslah anak muda kita terkinja-kinja berdansa di konsert-konsert dan rancangan hiburan sehingga lupa batas-batas susila dan agama.

Kedua, Rais Yatim menyatakan juga bila agama dijadikan undang-undang seperti polis moral lagaknya ia bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, peruntukan perlembagaan yang membicarakan tentang kesamarataan (equality) dan melarang diskriminasi.

Adakah garis panduan itu adalah salah satu bentuk diskriminasi hanya dengan menjadikan rujukan agama (baca: Islam) sebagai asas panduan?

Bukankah Malaysia sebuah negara toleransi berbilang kaum dan agama? Jika beberapa hak utama seperti hak beragama pun boleh disepakati, mengapa tidak boleh disepakati peraturan-peraturan kecil yang hanya melibatkan etika dan akhlak?

Semuanya bergantung kepada keseriusan Kabinet untuk melaksanakannya. Adakala saya tertanya-tanya, adakah semua ahli jemaah menteri itu serius untuk merealisasikan Islam Hadhari yang bertonggak sepuluh itu?

Atau, mungkin hanya Pak Lah dan JAKIM berdua yang beria-ia hendak melaksanakan Islam Hadhari. Wallahua’lam.

1 Comments:

At June 01, 2005, Anonymous Anonymous said...

itulah islam hadhari, zikri. Yg ikut islam sungguh disekat.

 

Post a Comment

<< Home