Hukum seni muzik dalam Islam
Semalam teman menghadiri ‘Seminar Kesenian Dalam Islam’ anjuran bersama JAKIM (Jab. Kemajuan Islam Malaysia) dan UIAM.
Sebenarnya teman tidak bercadang pun nak pergi. Tambahan pula beberapa assignments masih belum disiapkan dan memerlukan further research. Tapi, entah bagaimana teman terus menerima ajakan seorang sahabat teman yang baru bergelar YB (menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini) untuk ke seminar tersebut tanpa banyak alasan.
Tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentangkan sangat menarik.
Ustaz Uthman el-Muhammady, sebagai pembentang pertama, membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Konsep dan Sejarah Seni Muzik dari Perspektif Islam’.
Kemudian diikuti pembentangan kertas kerja kedua oleh Dr. Mohammad Deen Mohd. Napiah yang pernah mengajar teman Fiqh Muamalah ketika di tahun pertama pengajian. Yang ini tajuk paling menarik bagi teman: ‘Muzik dan Kebudayaan dalam Hukum Islam’. Hukum muzik diterangkan secara jelas dan agak terperinci. Kedua-dua hujah pendapat ulama’ yang mengatakan muzik haram dan ulama’ yang menghukumnya sebagai harus diketengahkan.
Yang ketiga, Prof. Madya Hjh. Fakhariah Datuk Lokman, pensyarah dari UiTM menyampaikan pembentangan bertajuk: ‘Seni Bunyi dan Persembahan Islam: Dari Perspektif “Islamic Edutainment Mashaaliman Concept”’.
Dan kertas kerja yang terakhir bertajuk ‘Kepelbagaian Muzik Dunia Islam’ dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman dari UIAM.
Fokus seminar ini lebih kepada muzik dari perspektif Islam. Bagi teman, hukum muzik adalah suatu isu yang biasa diperbincangkan oleh Muslimin. Muslim jadi serba salah apabila ada ulama’ mengatakan muzik haram kerana fitrah manusia suka kepada alunan dan muzik yang indah-indah. Mengapa tidak? Membaca al-Quran juga sunat dilagukan (mengikut tarannumnya).
Perlu kita ketahui, ulama’ yang mengatakan bahawa muzik itu halal berhujah bahawa kebanyakan hadith yang dijadikan hujah keharaman adalah do’if dan tidak cukup kuat untuk dijadikan dalil.
Maka, Dr. Mohammad Deen mengambil pendirian bahawa hukum muzik dan nyanyian dalam Islam adalah HARUS selagi mana tidak disertai dengan perkara-perkara lain yang haram. Maknanya, muzik dan nyanyian menjadi haram disebabkan hal-hal lain bukannya sebab zatnya sendiri. Maka kaedah fiqh yang bermaksud: “Asal hukum sesuatu perkara adalah harus selagi mana tiada nas sahih yang mengharamkannya”.
Secara kesimpulannya, pendapat ulama’ yang mengatakan muzik itu haram dan yang mengatakan ianya harus masih boleh diharmonisasikan dan dikompromi.
Teman setuju dengan pendapat ini.
Teman tertarik dengan kata-kata Ibnu Rashiq yang menyatakan dalam kitabnya ‘Kitab al-‘Umdah’ bahawa kemahiran menyanyi merupakan kemahiran yang terakhir muncul dalam peradaban dan ia juga yang mula-mula hilang dari sesuatu peradaban bila peradaban itu mula menjadi mundur dan jatuh.
p/s: Bagi sahabat-sahabat yang tidak berpeluang menghadiri seminar tersebut tetapi berminat untuk mendapatkan salinan kertas-kertas kerja, bolehlah menghubungi teman pada bila-bila masa.
Read more!