Cetusan Minda...: Bangga sebagai Muslim!

Saturday, October 02, 2004

Bangga sebagai Muslim!

Islam itu syumul.

Islam menyediakan penyelesaian. Islam melarang ZINA tetapi menghalalkan perkahwinan. Islam mengharamkan daging khinzir tetapi menghalalkan daging ayam, lembu, kijang dan sebagainya untuk dijadikan makanan.

Islam itu lengkap.

Ajaran Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Ambil Islam sebagai CARA HIDUP, maka manusia tidak memerlukan lagi isme-isme ciptaan manusia.

Adakah anda seorang feminis? Menyokong gerakan feminisme?

Pilihlah ISLAM kerana Islam sememangnya menjamin hak-hak wanita.. Jika di zaman jahiliyyah wanita dianggap sebagai barang dagangan dan tempat melempiaskan nafsu serakah lelaki, maka kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita. Undang-undang Inggeris sebelum tahun 1841 tidak mengiktiraf perceraian. Kerana apa? Kerana isteri dianggap harta (property) suami. Begitu sempit pemikiran mereka!

Anda seorang konglomerat yang selesa dengan tilam empuk kapitalisme?

Pilihlah Islam kerana Islam sama sekali tidak melarang manusia mengumpul harta kekayaan asalkan sumbernya halal. Malah Islam menggalakkan yang kaya membantu yang miskin. Bersedekahlah, berzakatlah. Harta itu pinjaman Allah ta’ala. Ada di antara harta kita adalah untuk orang lain, tetapi nikmat itu diturunkan Allah melalui kita.

Anda seorang sosialis? Memperjuangkan hak kesamarataan? Malaysian Malaysia?

Ya…Islam pilihan terbaik. Yang membezakan dalam Islam ialah keimanan seseorang. Sama ada manusia itu berpangkat atau tidak, di sisi Allah sama sahaja. Baik Melayu, baik Cina, baik India, jika dia beriman maka haknya dalam Islam terpelihara. Malah kafir dzimmi juga dijamin haknya dalam daulah Islamiyyah.

Ah, banyak lagi kalau nak diceritakan tentang keindahan Islam.

The beauty of Islam.

Teman pernah menghadiri satu program, Bicara Ad-Deen, yang dianjurkan Persatuan Pelajar Undang-undang UIAM. Tersentuh hati teman ketika salah seorang panelis malam itu, Dr. Osman Chua menceritakan kisah hidupnya sebelum memeluk Islam dan setelah memeluk Islam. Terlalu banyak keindahan Islam yang dihuraikan beliau.

Teman bermonolog dalam hati: “Kenapalah ramai Melayu yang Islam sejak lahir tidak mensyukuri nikmat ISLAM yang sangat besar ini? Berapa ramai yang tinggalkan solat? Berapa ramai yang lebih berbangga dengan cara hidup Barat? Berapa ramai yang murtad?”

Teman memetik kata-kata Chua, J. dalam kes Re Mohamed Said Nabi [1965] 3 MLJ 121 ketika menginterpretasi “a person who professes the religion of Islam”:
“To come within this definition it is not sufficient for a man to be born a muslim, he must be shown to be an orthodox Muslim and he must have outwardly manifested and practised the religion of Islam.”

Muslim tak cukup dengan hanya mengaku dirinya Islam. Perilakunya juga mestilah Islam. Berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Risau dan cuak teman memikirkan masa depan Muslim. Bagaimanalah keadaan 10 tahun lagi? 30 tahun, 40 tahun akan datang? Mungkinkah muda-mudi masa depan akan terus melupakan al-Quran?

Bangkitlah sahabat-sahabat generasi perubah!! Dengan menjunjung al-Quran dan as-Sunnah kita akan terus mengemudi pelayaran menuju destinasi yang abadi.

Teman: “Teman bangga dengan kesyumulan Islam. Teman tak malu mengakui diri ini Muslim.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home