Cetusan Minda...: Kenyataan Akhbar Presiden Zarifi tentang kes buli

Tuesday, June 07, 2005

Kenyataan Akhbar Presiden Zarifi tentang kes buli

MPP perlu bergandingan tangan menghapuskan gejala buli

Sekali lagi kita digemparkan dengan kes buli yang membabitkan pelajar senior dan pelajar baru di sekolah menengah. Terkini, adik Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin pula menjadi mangsa dipukul pelajar-pelajar senior di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis.

Rentetan kes yang terbaru itu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIAM) berasa sangat kesal dan mengutuk perbuatan ini.

Kes-kes buli seumpama ini bukannya pertama kali berlaku malah telah banyak kes yang dilaporkan oleh media. Tahun lepas kita dihangatkan dengan kes yang sama yang berlaku di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Tidak ketinggalan juga yang dilaporkan berlaku di Maktab Melayu Kuala Kangsar suatu ketika dahulu.

Semua ini memberi indikator yang terang dan jelas bahawa aktiviti membuli pelajar baru dan junior masih lagi berakar umbi di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di negara kita dan secara tidak langsung turut menjejaskan kredibiliti sistem pendidikan negara kerana ia berpunca daripada manifestasi ilmu pendidikan yang belum sempurna.

Maka, telah tiba masanya untuk masyarakat Malaysia di semua lapisan dan peringkat mengambil langkah bersepadu untuk menghapuskan gejala buli di sekolah ini hingga ke akar umbi dengan segera selaras dengan hasrat Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Lantas, menyedari bahawa mahasiswa mempunyai status sosial dalam masyarakat, MPPUIAM menyeru semua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan mahasiswa di kampus-kampus seluruh negara bersatu dan bergandingan tangan membantu usaha-usaha menghapuskan gejala buli ini. Pihak MPP perlu mula turun padang ke sekolah-sekolah sasaran yang bermasalah dengan menganjurkan program-program yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar sekolah.

Program-program seperti ‘bakti siswa’ contohnya mesti diaktifkan dan difokuskan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Dan program-program ini kemudiannya mesti disusuli dengan projek mentoring secara berterusan daripada pihak MPP tersebut supaya objektif murni program berkesinambungan untuk suatu jangka masa yang panjang.

Selain itu, pihak MPPUIAM juga menyeru agar Kementerian Pelajaran amnya dan semua pihak sekolah khasnya terutama sekolah-sekolah yang berasrama untuk menyiasat secara serius kegiatan buli di sekolah masing-masing sehingga ke akar umbi. Program pemutihan untuk menjadikan kawasan sekolah sebagai tempat yang dijamin selamat wajar dijadikan agenda utama dengan penglibatan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan juga pihak-pihak lain.

Justeru, MPPUIAM berpendapat bahawa usaha bersepadu yang diambil secara bersungguh-sungguh dan berterusan dalam menangani gejala buli bakal memulihkan fenomena sosial yang menular dalam budaya pelajar di sekolah menengah ini. Tinggal lagi, cetusan usahanya perlu dimulakan segera dan mahasiswa turut memainkan peranan membantu secara aktif hasrat dan tindakan tersebut.

MOHAMAD ZARIFI MOHAMAD DAUD
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

3 Comments:

At June 08, 2005, Anonymous Anonymous said...

di sini ader satu soalan..xdere kener mengena dgn isu buli mahupun cerita buli aflin shauki

kalu ader tiket konsert nasyid jual harga RM 15, mungkin golongan yg 'baik' xder masalah nak/akan beli..
tp untuk golongan yg 'kurang baik' harga RM 15 agak beban jugak. 'orang baik' kata alaa.. RM 15 jer bukan mahal pun.. dari bli komik, wayang, tah paper lg baik bli tiket konsert nie..

rasernyer orang yg 'kurang baik' nak bli ker? satu situasi dier kener sindir.. lepas tue aderkah dia bli dgn hati yg ikhlas..?
pandangan saudara?

 
At June 09, 2005, Blogger rakyat perak said...

Bolehkah kita labelkan org yg ke konsert nasyid sbg golongan 'baik'?

Em..nak jwb samada dia beli dgn ikhlas atau tak, wallahua'lam. Hanya Allah yg tahu.

 
At June 30, 2006, Anonymous Anonymous said...

Asskum..
sy nak tya ape kesan gejala buli?
selain dari trauma?
terima kasih...

 

Post a Comment

<< Home