Cetusan Minda...: PUTERA UMNO & AUKU: Azimat mengelak Daulat

Sunday, June 19, 2005

PUTERA UMNO & AUKU: Azimat mengelak Daulat

Artikel ini dipetik daripada HARAPAN Online

Putera UMNO dan AUKU: Azimat mengelak Daulat
(Sempena pelancaran Putera UMNO di Stadium Hang Tuah, Melaka)

Oleh: Saif Qistina
(saif_qistina@yahoo.com)
Ketika diluluskan penubuhan sayap baru dalam Pergerakan Pemuda UMNO iaitu Putera UMNO Malaysia pada 25 Mac lalu, satu perkara yang menggamit perhatian saya ialah kumpulan sasaran keanggotaannya; pemuda yang berumur dari 18 hingga 25 tahun.

Memang benar, lazimnya mengikut perangkaan kira-kira 400,000 remaja meninggalkan sistem persekolahan setiap tahun, dan daripada jumlah itu 200,000 akan melanjutkan pelajaran dan bakinya akan bekerja. Namun begitu, jumlah 200,000 yang melanjutkan pelajaran ini akan terikat denga Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang jelas melarang pelajar-pelajar daripada menyertai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan persatuan-persatuan melainkan dengan izin Naib Chancellor kampus masing-masing.

Maka, ramai yang tertanya-tanya tidakkah penyertaan pelajar-pelajar IPT ke dalam sayap baru Pemuda UMNO ini bisa menyanggah kedaulatan undang-undang sedia ada?

Atau, mampukah pergerakan ini memastikan keanggotaannya bersih daripada penyertaan mahasiswa yang terikat dengan AUKU walhal sebelum ini telah ramai pelajar-pelajar IPT menyertai Pemuda UMNO tanpa menyedari ‘tulah’ bakal menimpa mereka kerana derhaka kepada kedaulatan AUKU?

Jawapan saya, Pemuda UMNO ini adalah ‘pahlawan-pahlawan’ Melayu yang hebat. Mereka mampu melindungi ‘hulubalang-hulubalang’ baru (baca: ahli-ahli Putera UMNO) yang menyertai gelanggang sepak terajang politik daripada ditimpa ‘tulah’ AUKU. Mereka ada hikmat dan azimat yang bakal diperturunkan kepada para hulubalang tersebut.

Bagaimana?

Mengkaji sepintas lalu seksyen 15 AUKU, kita akan mendapati bahawa ia melarang sama sekali mahasiswa dari menganggotai mana-mana parti politik (parti PEMERINTAH dan pembangkang), kesatuan sekerja dan sempamanya. Malah, mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan, bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak-pihak terbabit.

Namun, di situ juga terdapat proviso dan klausa pengecualian yang menyatakan bahawa larangan tersebut tertakluk kepada keizinan Naib Chancellor (NC) kampus.

Ini bermakna, jika Dato’-Dato’ NC di kampus-kampus pengajian mengizinkan penglibatan pelajarnya ke dalam sektor-sektor yang diharamkan AUKU itu, maka yang haram boleh menjadi halal. Putera UMNO itu adalah salah satu biro dalam Pemuda UMNO - sebuah sayap di dalam parti politik UMNO - maka menyertainya dianggap HARAM! Tetapi tidak salah jika diizinkan Dato’ NC.

Lantas, di sinilah hikmat dan azimat mereka akan digunakan. “Berminat untuk menyertai Putera UMNO? Tiada masalah. Isi borang. Tentang kebenaran NC, kami akan uruskan permohonannya.” Jelaslahlah bahawa ‘pahlawan-pahlawan’ ini (baca: Pemuda UMNO) sangat pandai mengeksploitasikan undang-undang.

Apa yang perlu gerakan mahasiswa lakukan?

Saya melihat isu ini dari dimensi positif. Di dalam kartun bersiri Jepun Naruto, terdapat satu watak diberi nama Sasuke yang memiliki hikmat Sharingan, satu hikmat bertarung yang mampu menyalin dan meniru gerak-geri lawannya.

Sangatlah bijak jika dalam konteks ini gerakan mahasiswa dapat meniru tindakan Pemuda UMNO ini iaitu memohon kebenaran Dato’ NC bagi menganggotai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan sempamanya. Soal dibenarkan ataupun tidak kita ketepikan. Mari kita lihat dan nilai, adakah permohonan luar daripada Putera UMNO dibenarkan?

Jika dibenarkan?

Jika dibenarkan, ia merupakan satu kemenangan kepada gerakan mahasiswa. Tetapi jika sebaliknya, maka telah terang lagi bersuluh bahawa hikmat dan azimat Pemuda dan Putera UMNO ini mampu berkuasa mencairkankan hati Dato’-Dato’ NC untuk menghalalkan apa yang haram, dan juga jelaslah bahawa ‘menggunakan ilmu Sharingan’ untuk meniru hikmat dan azimat mereka oleh gerakan mahasiswa tidaklah berkesan kerana anda bukan ahli mereka!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home