Cetusan Minda...: May 2005

Monday, May 23, 2005

Coretan ke belakang [2]

"Blog, blog, blog!"


Jam 3.15 pagi, hari Ahad lalu teman pergi ke Bangsar. Bukan untuk ke Modestos atau kelab malam yang memang sedia berselerak di Bangsar. Sebaliknya ke wisma Malaysiakini. Menemani saudara Amin Idris untuk live video conference dengan mahasiswa-mahasiswa di Amerika.

Antara panelis lain pada subuh tersebut ialah Hishamuddin Rais. Heh, kali ini teman berpeluang bersemuka dengan Hishamuddin Rais, seorang sosialis yang selama ini teman hanya membaca tulisannya di media-media.

Tak perlu rasanya teman membicarakan tentang diri Pak Hisham ini kerana telah terang lagi bersuluh ideologinya yang taksub dengan pemikiran Sosialisme dan Marxisme. Adakala kata-katanya tidak mencerminkan nama ‘Hishamuddin’ yang tertera di kad pengenalannya. Banyak yang menggugat akidah dek fahaman sosialis yang didokongnya sejak zaman universiti lagi.

Pagi itu Pak Hisham menegaskan, “blog, blog, blog!” ketika mengulas peranan yang boleh anak muda mainkan dalam situasi negara dan dunia sekarang. Katanya, zaman ini aktiviti blogging semakin popular. Anak muda boleh mengenengahkan pemikiran, pendapat, kritikan dan komentar terhadap apa sahaja perkara yang berlegar dalam dunia melalui blog. Ini satu medium peluang yang tidak wujud pada zamannya.

Bagi teman, benar kata Pak Hisham itu. Teman memang akui aktiviti blogging telah mula popular zaman sekarang. Cuma sejauh mana kita memanfaatkan peluang yang ada itu yang menjadi persoalan.

Pakdi, dalam entry terbarunya, menyatakan bahawa blogger perlu ada identiti tersendiri. Teman akui dan sokong kata-katanya.

Kini, begitu ramai bloggers yang lahir. Tapi, mungkin ramai yang masih belum jelas dengan sebab musabab mereka mewujudkan weblog sendiri. Mungkin juga tidak sedar bahawa di hadapan mereka tersedia satu wadah yang yang mampu merobah keadaan masyarakat dan dunia.

Em, teman cadangkan Pakdi buat satu bengkel untuk bloggers terutama yang rapat dengan Pakdi dan belajar di tempat yang sama dengan Pakdi. Siapa tahu, usaha sekelumit yang digerakkan pada 2005 ini bakal mempengaruhi masa depan negara 15 tahun akan datang.

Cuba bayangkan jika bloggers berfikrah Islam tulen (bukan Islam liberal) yang berlambak dalam dunia blog ini terus komited menyuarakan idea dan pandangan kreatif. Pastinya weblog mereka menjadi tumpuan dan hasilnya mencetus momentum yang berdentum untuk memimpin kebangkitan Islam.

Fikirkan.


Read more!

Sunday, May 22, 2005

Coretan ke belakang [1]

Sepagi di DBP - BAHAYA ISLAM LIBERAL!

Pagi sabtu lepas teman menghadiri ‘Seminar Bahaya Islam Liberal’ di DBP. 2 tokoh yang membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut:

1. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin – “Islam Liberal Ancaman Terhadap Islam Tulen”
2. Ustaz Adnin Armas – “Islam Liberal menggugat Mushaf Uthmani”



Sebelum ini kita dihangatkan isu Aminah Wadud, seorang wanita yang menjadi khatib dan mengimamkan solat Jumaat di Amerika. Malah, lelaki dan wanita yang menjadi makmum bercampur dalam saf yang sama.

Kita juga dibangkitkan tentang isu penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal moral individu. Adakah ianya relevan atau tidak. Kerana terdapat segelintir pihak yang mendakwa dan mempertahankan bahawa moral adalah hak individu.

Tidak pasti pula teman asal-usul perkara ini ditimbulkan. Seingat teman ianya mula dibincangkan secara terbuka dalam media dan wacana ilmu selepas kes Jeslina Hashim yang ditangkap oleh penguatkuasa JAWI di The Zouk, Jalan Ampang bersama remaja-remaja Muslim lain.

Tapi yang teman pasti, Sisters in Islam pernah menghantar memorandum kepada kerajaan pada tahun 1997 berkaitan isu moral sebagai hak individu ini dengan mengaitkannya sebagai fundamental liberties sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Itu perkara-perkara yang jelas beritanya di Malaysia. Belum lagi ditinjau di Indonesia. Khabarnya lebih hebat perkara ini ditimbulkan di sana.

Di Indonesia, golongan Islam Liberal menyarankan agar solat didirikan dalam 2 bahasa. Tidak semestinya dalam Bahasa Arab.

Dalam akhbar TEMPO juga, golongan ini mengkritik poligami dan sebaliknya menyokong nikah mut’ah.

Ratio 1:2 antara lelaki dan perempuan dalam sistem pusaka Islam juga dikritik. Ini tidak adil bagi mereka. Sepatutnya harta pusaka dibahagikan sama rata dengan nisbah 1:1.

Di Indonesia juga lahir aliran “Islam Pluralis” yang berpendapat bahawa adalah menjadi kesalahan jika kita mengatakan bahawa Islam adalah agama yang benar. Dakwa mereka, agama lain juga benar dan penganutnya masuk syurga.

Ini sepertimana yang dinyatakan dalam Pancasila bahawa semua agama adalah sama.

Apakah Islam Liberal?


Dalam laman web Jaringan Islam Liberal (JIL) golongan ini menafsirkan diri mereka:

“Nama ‘Islam Liberal’ menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. ‘Liberal’ di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu ‘liberal’”.

Daripada ini dapat ditafsirkan bahawa aliran Islam Liberal ini seperti menyandarkan diri kepada Islam, namun masa yang sama tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam, atau bebas dari kekangan aqidah, ibadah, muamalat dan akhlaq Islam.

Aliran ini seakan menganggap Islam yang terkandung nas-nas al-Quran dan as-Sunnah adalah Islam terbelenggu, terikat dan tidak bebas. Maka mereka cuba membebaskan Islam dari sebarang keterikatan terhadap nas-nas syarak.

Bagaimana caranya?

Golongan ini mentafsirkan, mengolah atau menafikan apa sahaja dalil syarak agar bersesuaian dengan kehendak pemikiran mereka.

Sementara pemikiran mereka pula berteraskan falsafah yang dipegang oleh dunia Barat yang mereka anggap bertamadun.

Implikasi dari ingin meliberalkan agama, kita lihat berbagai pentafsiran dan penyelewengan di atas nama agama muncul dalam aliran ini. Sehingga tokoh aliran ini iaitu Irshad Manji (seorang lesbian), menyokong perkahwinan sesama jenis.

Adakah SIS juga penganut Islam Liberal?

Em, adakah Sisters in Islam (SIS) juga sebahagian daripada golongan ini? Atau secara kebetulan cara pemikiran mereka seakan-akan sama?

Kita sendiri tahu bagaimana SIS mentafsir beberapa ayat al-Quran secara literal. Begitu juga konsep kesaksamaan gender yang mereka keutarakan dan banyak lagi perkara-perkara lain.

Teman tak mahu membuat kesimpulan terlalu awal. Cubalah anda fikir dan nilai.


Read more!

Friday, May 20, 2005

Hari Guru yang Berdarah


Kasihnya ibu
membawa ke syurga...

Hati ibu mana yang tidak tersentap,
bila anak kecil kesayangan maut di hadapan mata,
Maut dalam kemalangan tragik,
tubuh kecil digilis treler pembawa konkrit.

Anak kecil itu, usianya baru setahun jagung,
Baru ingin mengerti makna suatu hari,
Hari untuk insan bergelar pendidik,
Hari Guru.

Anak kecil itu, tubuh kecil impian besar,
Kerongsang dijadikan hadiah,
Teristimewa buat guru tercinta,
Impian tinggal impian.

Bukankah berkali-kali penduduk kampung meminta jejantas?
Bukankah jalan itu telah meragut banyak nyawa?
Mengapa tidak diambil tindakan dari dulu lagi?

Sudah terhantuk baru nak terngadah!
Bila ada yang menjadi mangsa baru nak buka mata!


Read more!

Saturday, May 07, 2005

Wacana Ilmu

1
Isu JAWI vs. Jeslina Hashim? Jawatankuasa Kaukus & 50 NGO menolak penguatkuasaan undang-undang mengawal moral?

Seminar Penguatkuasaan Undang-undang Moral: Realiti dan Cabaran
17 Mei 2005 (Selasa)
8.30 pagi - 5.00 petang
Mahkamah Mut, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM
Yuran: RM 30

--------------------------------------------------------------------------------

2
Apakah sebenarnya Islam Liberal? Ancaman kepada dunia Islam? Ada kaitan dengan Aminah Wadud?

Seminar Bahaya Islam Liberal
21 Mei 2005 (Sabtu)
8.30 pagi
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Yuran: RM 50 (jika mendaftar kepada teman, jumlah yuran hanya RM 30 - selagi tempat masih ada)


Read more!