Cetusan Minda...: Demonstrasi; Fikrah Anak Muda

Friday, March 31, 2006

Demonstrasi; Fikrah Anak Muda

BIARLAH DEMONSTRASI ITU SELAGI IA TERTIB DAN DAMAI
Oleh; Zikry Shairy*
(zikri_law@yahoo.com)


Rentetan penangkapan berama-ramai dan tindakan pasukan Polis dalam mengekang perhimpunan aman rakyat membantah kenaikan harga minyak 26 Mac lepas, penulis tergerak untuk melontarkan perspektif peribadi terhadap sikap penguasa dan pemimpin negara berkaitan isu tersebut.

Kita sedia maklum Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk bebas bersuara, menyatakan pandangan dan juga berhimpun secara aman. Malah kita juga mengetahui bahawa kebebasan yang diberikan itu bukanlah kebebasan mutlak (absolute freedom) sebaliknya dibatasi jika ia menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Disebabkan menghormati undang-undang tertinggi (supreme law) Negara ini, kita akan dapati dalam setiap perhimpunan aman, pemimpin-pemimpin perhimpunan akan acap kali mengulangi ungkapan, “…perhimpunan kita pada hari ini adalah perhimpunan aman”, “kita berhimpun hari ini secara aman untuk menyatakan…” dan pelbagai lagi ucapan yang bertujuan untuk mengingatkan dan mengawal perasaan para demonstran agar tidak keterlaluan sehingga melanggar prinsip undang-undang negara. Beginilah yang biasanya dilakukan sebagai warganegara yang cintakan ketertiban dan kedamaian dalam menyatakan suara dan pandangan di khalayak terbuka.

Penulis ingin membawa para pembaca untuk melihat di sana terdapat individu-individu yang taboo dengan perhimpunan massa dan demonstrasi rakyat yang lazimnya akan mengkritik dan membawa 1001 hujah mengapa demonstrasi perlu ditolak dan diharamkan daripada menjadi budaya masyarakat Malaysia. Pelbagai alasan dan rasional akan diutarakan oleh individu-individu ini yang biasanya pandangan mereka dirasakan masuk akal oleh mereka yang berjiwa materialistik, mementingkan diri sendiri dan tidak pernah terlibat secara langsung dalam perhimpunan aman rakyat.

Faktor ekonomi merupakan alasan yang paling popular. Apabila rakyat kerap turun ke jalanan, ia akan mengancam para pelabur asing ke Malaysia. Kedai-kedai akan ditutup kerana takutkan keterlanjuran perasaan para demonstran. Alasan keselamatan pula menyusul selepas itu. Mereka akan cuba memomokkan massa bahawa demonstrasi rakyat, jika diizinkan, akan menatijahkan keganasan sepertimana yang berlaku dalam demonstrasi-demonstrasi di negara-negara jiran dan Barat. Ada juga yang cuba membawa contoh situasi yang berlaku ketika zaman Re-For-Ma-Si tahun 1998 dahulu takut nantinya ia berulang.

Cukuplah. Situasi demonstrasi pada 1998 adalah contoh retrospektif yang tidak wajar dijadikan kayu ukur di masa ini. Kini, rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman dan demonstrasi telah meningkat matang. Mereka sebolehnya memastikan keselamatan awam terpelihara. Majoriti rakyat kita terdidik dengan kesedaran hak dan tanggungjawab berlandaskan nilai-nilai murni ketimuran dan waqi’ Malaysia.

Lihatlah contoh siri-siri perhimpunan aman sebelum ini yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang. Lihat saja perhimpunan aman membantah penerbitan karikatur menghina Rasulullah S.A.W. pada 10 Februari lalu, para demonstran tidak sampai tahap membakar dan memecahkan Wisma Denmark Jalan Ampang yang menempatkan Kedutaan Denmark. Begitu juga siri-siri demonstrasi membantah kenaikan harga minyak di KLCC, tidak pula kedapatan demonstran yang membawa Molotov cocktail dan senjata merbahaya ketika berhimpun. Yang pasti, mereka hanya membawa kain rentang dan sepanduk untuk menyatakan suara mereka. Itu sahaja.

Malahan perhimpunan pada 26 Mac lalu diadakan pada hujung minggu, hari Ahad. Maka, jelaslah indikator bahawa mereka tidak mahu mengganggu waktu bekerja, waktu di mana rakyat memerah keringat menjana kemajuan ekonomi nasional.

Jadi, apa lagi yang hendak ditabookan dengan perhimpunan aman rakyat? Biarlah mereka melaksanakan hak mereka selagi mana ia dilakukan dalam keadaan yang penuh tertib dan damai, dan selama mana mereka menunaikan tanggungjawab mereka tidak mengancam keselamatan awam dan menghormati pihak berkuasa Polis. Tidak perlu dikasari mereka itu seolah-olah mereka adalah penjenayah. Mereka menghormati pihak berkuasa, maka sewajarnya mereka juga dihormati oleh pihak berkuasa.


*Penulis merupakan pemerhati muda politik nasional yang melontarkan pandangan secara bebas berlandaskan perspektif anak muda.

2 Comments:

At April 01, 2006, Anonymous Anonymous said...

hantar mana tu zik?

 
At April 01, 2006, Blogger rakyat perak said...

pelbagai media, pakdi.Tengokla mana yg akan siarkan nanti

 

Post a Comment

<< Home