Cetusan Minda...: Kuat benar perasaan qana'ah masyarakat kita

Monday, March 27, 2006

Kuat benar perasaan qana'ah masyarakat kita

Lama teman tidak mengepos entry ke sini. Sejak diumumkan kenaikan harga minyak akhir Februari lepas, rasa tidak puas hati masih lagi melingkari perasaan. Mungkin akan kekal di situ selamanya. Selagi harga minyak tidak turun. Kerana, pada hemat teman, mengimpikan kerajaan menurunkan semula harga minyak, bagaikan suatu ilusi yang tidak akan menjadi realiti.

Pilu rasanya melihatkan para demonstran jalanan yang menerima bahana FRU dalam demonstrasi di KLCC semalam. Dibedil dengan air asid, diberkas dengan gari getah, disumbat ke dalam trak.


Mereka menyuarakan secara terbuka perasaan mereka, keperitan mereka. Namun, itulah nasib para demonstran tersebut.

Bagi teman, perhimpunan tersebut sangat signifikan apabila MTUC yang mewakili golongan pekerja di Malaysia bergabung dengan parti-parti pembangkang dan NGO mengadakan perhimpunan membantah isu minyak ini.

Perlu diketahui, 3 entiti yang bisa menjadi ancaman pemerintah:
1. Parti pembangkang
2. Kesatuan sekerja
3. Gerakan mahasiswa

Gabungan ketiga-tiga entiti ini mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang kuat kerana ketiga-tiga golongan ini mempunyai status sosial dan pengaruh yang besar dalam masyarakat.

Tapi, teman pesimis ianya tidak akan berlaku di Malaysia.

Golongan pekerja di negara ini belum mampu melancarkan mogok besar-besaran dalam membantah dasar-dasar pemerintah. Semangat kita tidak sama seperti semangat orang Korea dan Jepun yang akan melancarkan mogok apabila hak dan kepentingan mereka diragut oleh majikan.

Kuat benar perasaan qana'ah masyarakat kita. Biarlah rasa susah sekarang demi kesenangan generasi mendatang. Syukurlah dengan derita sekarang kerana kerajaan nantinya akan mengurniakan nikmat pembangunan.

1 Comments:

At March 27, 2006, Anonymous Anonymous said...

Slogan indah Kerajaan di dada dada akhbar:

"Kenaikan harga minyak ini adalah pengorbanan untuk masa depan."

Bisikan lunak kerajaan menenangkan hati golongan rakyat marhaen:

"Sebenarnya subsidi minyak ini manfaatnya tidak sama rata. Golongan yang memakai motosikal dan kereta kecil hanya mendapat manfaat sedikit sahaja. Sebaliknya mereka yang menggunakan kereta mewah & mempunyai banyak kereta yang mengaut manfaat subsidi minyak kerajaan."

Godaan yang mengabui mata golongan yang tinggal di kampung dan pedalaman:

"Penjimatan RM4.4 bilion hasil kenaikan harga minyak ini akan kita gunakan utk pembangunan negara. Terutama sektor pengangkutan awam. Akhirnya akan menjana ekonomi negara."

 

Post a Comment

<< Home