Cetusan Minda...: Inilah yang dinamakan li'an

Sunday, October 03, 2004

Inilah yang dinamakan li'an

Bukan teman nak memperbesarkan hal-hal kecil, tetapi awal-awal pagi lagi bila teman menatap Berita Minggu (03/10/2004) teman jadi keliru tentang penggunaan istilah li’an.

Di muka surat 5 akhbar berkenaan terdapat satu artikel tentang politik wang ketika Perhimpunan Agung UMNO. Dalam laporan tersebut menyebut Dato’ Seri Adnan Yaakob sebagai berkata:
“Kita pergi ke masjid buat pengakuan bersumpah dengan menjunjung al-Quran. Dalam bahasa Arab kita panggil ‘lian’.”

Li’an digunakan oleh si suami apabila dia menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain dan gagal membawa 4 orang saksi. Maka dalam hal ini, hakim akan menyuruhnya bersumpah dengan lafaz li’an.

Jika si isteri mengaku akan kebenaran tuduhan tersebut maka akan dijatuhkan hukuman had zina ke atasya. Sebaliknya jika si isteri menafikan bahawa dia telah berzina maka hakim akan turut meminta si isteri membuat sumpah li’an.

Teman rujuk kamus Arab al-Marbawi, walaupun tidak menterjemahkan li’an secara langsung tetapi dinyatakan lafaz li’an seperti di bawah:

“Aku naik saksi demi Tuhan sesungguhnya dia (si isteri) dengan si Polan dan benar pada barang yang aku tuduh akan dia.” Maka naik saksi dia (suami) sebanyak 4 kali kemudian pada kali yang kelima dia perlu melafazkan: “Ke atasku laknat jika aku berbohong pada barang yang dituduh.”
Kemudian berdiri isterinya dan naik saksi membohongkan kata suaminya dan katanya pada kali kelima: “Atasku kemurkaan Tuhan jika suamiku berkata yang sebenar.”


Teman faham: “Inilah yang dinamakan li’an!”

Teman rujuk pula Al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi (m.s. 1091):

Li’an ialah apabila suami bersumpah sebanyak 4 kali menuduh tanpa saksi bahawa isterinya melakukan zina dan lafaz kelima menyebut laknat Allah ke atasnya jika dia berbohong (dengan sumpah ini, suami terlepas dari hukuman qazaf). Kemudian si isteri pula bersumpah sebanyak 4 kali menafikan tuduhan suaminya dan kali kelima melafazkan bahawa kemurkaan Allah ke atasnya jika si suami bercakap benar.

Teman angguk dengan yakin: “Inilah yang dinamakan li’an!”

Teman capai pula kitab Rawaai’ al-Bayan-Tafsir Ayaat al-Ahkam min al-Quran karangan Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni (m.s. 66):

Li’an wajib dalam dua keadaan: i) bilamana si suami menuduh isterinya tanpa saksi bahawa dia berzina; atau ii) apabila si suami menafikan anak yang dikandung isterinya bahawa itu bukan anaknya.

Maka, pada pemahaman teman, ternyatalah li’an yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Pahang itu tak kena gaya…lari daripada maksud.

Teman: “Teman dengan rasa rendah diri meminta kebenaran untuk menegur Dato’ Seri.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home