Cetusan Minda...: January 2005

Monday, January 31, 2005

Di Penghujung Januari 2005

Di awal pagi teman terima satu sms dari orang kampung teman:
Setiap pejuang itu ada masa meningkat dan menurun, kekalahan itu bermula daripada kita merasai kelemahan dan kemenangan itu bermula apabila kita merasai tidak kalah-Syed Qutb
Pejam celik, sedar tidak sedar, akhirnya Januari telah pun sampai di penghujungnya. Teman masih punya 3 1st test yang bakal diduduki:
1) Usul al-Fiqh 1
2) Evidence & Procedure in Syariah Court 1
3) al-Qawa'id al-Fiqhiyyah
Selepas selesai ketiga-tiga imtihan ini, 2nd test pula akan menyusul.
Semalam teman ke Skudai. Melawat sahabat-sahabat di UTM dan KUITTHO. Em, jauh berjalan luas pengalaman. Itulah pertama kali teman menjejakkan kaki ke bumi Johor. Perjalanan menaiki kereta dari ibu kota ke sana - jika dipandu 140 km/h - mengambil masa 3 jam sahaja. Lebih kurang 350 kilometer. Sebaliknya jika mematuhi peraturan, perjalanan lebih kurang 4 jam. Tol pergi-balik RM82.60 (selepas kenaikan harga tol yang lalu).
Alhamdulillah teman disambut dengan layanan yang begitu mesra sekali di sana. Dari makan tengah hari sampailah ke kudapan petang semuanya dibelanja sahabat-sahabat di sana. Sempat juga teman berbual ringkas dengan Nizam tentang aktiviti blogging ini.
Terima kasih daun keladi teman ucapkan kepada sahabat-sahabat di UTM dan KUITTHO. Moga ukhuwwah fillah kita berkekalan ke akhir hayat.
Tidak lama lagi jemaah Haji akan pulang ke tanah air. Tanda tahun 1425 Hijrah bakal melabuhkan tirainya. Muharram akan menjelma tidak lama lagi. Apakah tahun 1426 Hijrah akan menyaksikan kejatuhan kuasa besar Amerika dan merintis kepada kebangkitan semula Islam rahmat untuk seluruh alam?
Sebelum mata teman terlelap semalam - menutup diari 30 Januari 2005 - teman terima pula sms dari seorang kakak:
"Masakan anugerah Allah iaitu Jannah itu terlalu tinggi nilainya andai ujiannya tak sehebat mana. Mahkotakan kesabaran dalam jiwa insani"
Wallahua'lam.


Read more!

Friday, January 21, 2005

Eidul Adha...Raya Qurban...Raya Haji

.
Antara Eidul Adha, Raya Qurban dan Raya Haji, lidah teman sedap menyebut Hari Raya Haji. Tapi, di dalam entry kali ini, teman sebut Eidul Adha.
Di Malaysia, apa jua istilah yang digunakan, teman yakin orang Malaysia tidak keliru. Mungkin beberapa orang Cina dan India kurang familiar dengan terminologi Arab Eidul Adha. Namun ianya bukan masalah besar.
Di Kelantan dan Terengganu teman yakin Eidul Adha disambut dengan begitu meriah. Berbeza dengan negeri teman - tidak dapat teman nafikan - kemeriahan Eidul Adha tidaklah sehebat sambutan di Pantai Timur.
Bergetar hati melaungkan takbir di pagi raya.
Terasa 'izzah ketika lafaz talbiah meniti di bibir-bibir tetamu Allah.
Bersama-samalah kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada konsep pengorbanan dalam Eidil Adha.
Salam Eidul Adha diucapkan buat semua pengunjung Cetusan Minda.


Read more!

Monday, January 17, 2005

Dalihan-dalihan Am

Awal-awal pagi lagi teman telah menerima 'sms' daripada seorang sahabat lama yang agak aktif dalam gerakan mahasiswa di USM suatu ketika dahulu...beliau bertanya dalam 'sms' tersebut:

Bolehkah Dalihan-dalihan Am (General Exceptions) digunapakai dalam kes-kes di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971) atau peraturan disiplin universiti?

Seksyen 6, Kanun Keseksaan (Penal Code) menyebut:
“every definition of an offence, every penal provision, and every illustration of every such definition or penal provision, shall be understood subject to the exceptions contained in the Chapter entitled ‘General Exceptions’.”

Jelas dinyatakan dalam seksyen 6 bahawa setiap peruntukan di dalam Kanun Keseksaan adalah tertakluk kepada general exceptions (dalihan-dalihan am).

Untuk membincangkan lebih lanjut lagi, kita perlu membuat cross-reference ke seksyen 40(2) Kanun Keseksaan yang mana menyatakan:
“In Chapter IV…the word ‘offence’ denotes a thing punishable under this Code or under any other law for the time being in force.”

Justeru, dapat ditafsirkan di sini bahawa perkataan ‘any other law’ sepertimana yang tercatat dalam seksyen 40(2) merangkumi AUKU dan juga peraturan disiplin universiti.

Menurut Morgan (1989), dalihan-dalihan am yang terkandung di bawah Chapter IV ini memperuntukkan pembelaan penuh (complete defence) terhadap dakwaan jenayah yang dikenakan. Ini bermakna jika seseorang tertuduh berjaya membuktikan elemen-elemen yang diperlukan maka si tertuduh itu akan terlepas daripada pendakwaan tersebut.

Namun begitu, jika hendak dibandingkan dengan akta-akta lain, kes di bawah AUKU dan peraturan disiplin universiti - dalam kajian awal teman - agak berbeza dalam aspek beban pembuktian (burden of proof).

Di bawah kes-kes jenayah misalnya pihak pendakwaraya perlu membuktikan kes prima facie terlebih dahulu sebelum si tertuduh dipanggil untuk membela diri. Sebaliknya jika seseorang itu didakwa di bawah AUKU maka adalah menjadi beban ke atasnya untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah tanpa memerlukan pembuktian kes prima facie terlebih dahulu oleh pihak pendakwa.

Wallahua'lam.

Insya-Allah teman akan lakukan kajian lebih lanjut tentang hal ini.


Read more!

Sunday, January 16, 2005

Ucapan Takziah untuk Dr. Uzaimah Ibrahim.

Teman sedang berprogram pada hari Sabtu (15/01/2005). Kira-kira jam 5.30 petang, teman menerima 'sms' daripada Mukhriz:
"Al-fatihah kpd arwah suami ustzh uzaimah yg tlh plg ke rahmatullah pad hari ini."

Terkejut teman mendengar khabar tentang pensyarah subjek Usul al-Fiqh 1 teman ini. Lantas, teman menghantar 'sms' kepada Kak Nadia, meminta confirmation daripadanya. Menurut reply yang diterima, allahyarham suami Ustazah menghidapi kidney failure.

Al-Fatihah.

Masya-Allah...Besarnya ujian Allah Ta'ala ke atas hamba-Nya yang kuat iman.

Doa teman, semoga roh suami Ustazah ditempatkan di kalangan roh orang-orang soleh.
Doa teman lagi, semoga Allah memberikan ketabahan kepada Ustazah Uzaimah untuk menghadapi segala yang telah berlaku. Semoga Ustazah sekeluarga sentiasa berada di bawah pemeliharaan Allah Rabbul Jalil.

Amin Ya Rabbal 'Alamin.







Read more!

Wednesday, January 12, 2005

Video Tsunami

Nak tengok video peristiwa tsunami?

1. Video Tsunami

Link ini teman 'curi' dari weblog Kanot. Jangan marah ye, Kanot.


Read more!

Saturday, January 08, 2005

Minggu Pertama 2005

Sepanjang minggu ini teman begitu sibuk. Teman perlu menduduki dua ikhtibar (ujian) yang berturut-turut. Alhamdulillah, telah selamat dihadapi. Semoga ALLAH mengurniakan natijah yang mumtaz. Amin.

Di samping itu juga teman ditugaskan membuat presentation berkenaan client counseling. Syukur ke hadrat-Nya, hasil pengalaman menyaksikan pertandingan client counseling ketika MILLEF ’04 yang lepas, teman dan ahli kumpulan yang lain dalam firma Zikri & Associates dapat melakukan yang terbaik. Terima kasih kepada adik-adik di ofis yang sentiasa memberikan semangat.

Yang pastinya, banyak pengalaman baru yang diperolehi sepanjang minggu pertama Januari 2005 ini.

Pada malam tahun baru, teman dan beberapa orang sahabat telah pergi ke KLCC. Satu kumpulan lagi ke Bintang Walk. Matlamat kami satu, mengaplikasikan dakwah fardhiyyah. Melaksanakan teori-teori yang dipelajari dalam subjek Manahij al-Dakwah (Methods of Dakwah) ketika di tahun pertama pengajian dahulu.

Selama ini teman melihat suasana sambutan tahun baru hanya di kaca televisyen. Entahlah. Tiada niat dan tiada sebab untuk teman ke tempat-tempat tumpuan sambutan seperti Dataran Merdeka, KLCC dan sebagainya. Tetapi kali ini teman berpeluang menyaksikan suasana through my naked eyes.

KLCC – sepertimana arahan kerajaan membatalkan semua majlis dan konsert keramaian sambutan tahun baru rentetan tragedi tsunami – tetap dipenuhi manusia. Dari sekecil-kecil bayi sehinggalah ke warga emas. Semuanya ada. Cumanya tiada konsert seperti tahun-tahun sebelum ini.

Setiap inci taman dipenuhi manusia pelbagai bangsa. Setiap perdu pokok diduduki pasangan kekasih yang sedang berasmara. Di jalanraya pula dipenuhi segerombolan kanak-kanak berbasikal seperti yang pernah ditayangkan dalam Edisi Siasat NTV7 tidak lama dahulu. Di masjid as-Syakirin juga ramai manusia yang beriktikaf (baca:melepak). Ini realiti suasana di KLCC.

Astaghfirullah. Teman tiada kekuatan untuk mencegah. Lidah teman kelu untuk menegur. Hanya hati yang menyumpah seranah melihatkan kemungkaran di hadapan mata.

Teman terfikir…inilah dunia. Inilah keadaan yang perlu teman hadapi apabila bergelar graduan kelak.

Duduk di kampus, dunia kecil dan terbatas. Teman hanya belajar teori. Apabila berhadapan dengan realiti, bukan semua teori dapat dilaksanakan tanpa pendedahan yang efektif dilakukan ketika peringkat pengajian.

Doa teman di awal tahun baru…Semoga Allah mengurniakan ilmu, kekuatan mental & fizikal, kemahiran dan segalanya kepada diri teman ini supaya teman mampu memikul tugas dakwah menegakkan kalimah-Nya. Amin.



Read more!

Saturday, January 01, 2005

Selamat Tahun Baru 2005

Bismillahirrahmanirrahim...

Selamat Tahun Baru teman ucapkan kepada semua pengunjung weblog Cetusan Minda.

Bersama-samalah kita memperbaharui azam dan memperkukuhkan iltizam dalam mendepani cabaran dan dugaan yang mendatang.

Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Amin.

Wallahua'lam.


Read more!