Cetusan Minda...: Resolusi Rakyat 10 Disember 2005

Monday, December 12, 2005

Resolusi Rakyat 10 Disember 2005


Sumber: Malaysiakini.com

Lebih 600 pertubuhan dan 4,000 individu yang berkumpul di Kajang pada hari Sabtu menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Persidangan itu dianjurkan oleh pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ) di ibupejabatnya di Kajang.

Peserta persidangan itu kemudiannya meluluskan resolusi empat perkara, yang menggesa supaya dasar tersebut dikaji semula. Resolusi tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Resolusi tersebut menggesa kerajaan, pertama, menambah pelajaran bahasa Inggeris di sekolah; kedua, mengkaji kesan negatif pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris; ketiga, kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda; dan keempat, menggesa parti-parti politik dan pertubuhan supaya menyokong pendidikan dalam bahasa ibunda. Resolusi tersebut diluluskan sebulat suara secara mengangkat tangan.

Mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lutfi Othman (foto) memberitahu persidangan tersebut bahawa pelajar Melayu adalah golongan yang tpaling eruk terjejas dengan dasar tersebut

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan 96 peratus pelajar Melayu tidak berminat mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya dasar adhoc itu yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini jelas menunjukkan kelemahannya.

Dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris diperkenalkan dalam Tahun Satu sekolah rendah pada 2003. Bagaimanapun, di sekolah Cina, formula 2-4-3 digunakan – dua masa belajar untuk bahasa Inggeris, empat masa belajar untuk Matematik dan tiga masa belajar bagi Sains, pada setiap minggu.

Sehingga ini, belum ada keputusan yang dibuat mengenai jumlah masa belajar bagi dua matapelajaran tersebut apabila murid masuk Tahun 4 tahun depan.

Presiden Dong Zong, Dr Yap Sin Tian berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah melemahkan peranan sekolah Cina dalam sistem pendidikan vernakular. “Jika medium pengajaran di sekolah rendah ditukar, maka sekolah Cina menghadapi risiko kehilangan identiti mereka,” katanya. Dr Yap juga membidas parti-parti politik yang bersikap tidak konsisten dalam pendirian mereka berhubung isu tersebut.

Presiden Jiao Zong, Ong Chiow Chuen pula berkata, masalah yang timbul akibat daripada dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris itu perlu diselesaikan segera atau kesan negatifnya akan menimpa semua bangsa di negara ini.

“Kajian pakar dalam bidang pendidikan tempatan dan luar negeri, telah menggesa supaya kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran, terutama dalam matapelajran Sains dan Matematik,” kata Ong.

Turut berucap ialah Pengerusi Kumpulan Rakyat Prihatin, K Arumugam; Pengerusi Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, M Manogaran dan Yang Dipertua Jemaah Islamiah Malaysia (JIM), Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.

Ahli-ahli politik tidak disenaraikan berucap di persidangan tersebut. Penganjurnya berkata, pihaknya mahu persidangan dan resolusi itu tidak berunsurkan politik dan mencerminkan pandangan masyarakat.Here is the beginning of my post.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home