Cetusan Minda...: March 2006

Friday, March 31, 2006

Demonstrasi; Fikrah Anak Muda

BIARLAH DEMONSTRASI ITU SELAGI IA TERTIB DAN DAMAI
Oleh; Zikry Shairy*
(zikri_law@yahoo.com)


Rentetan penangkapan berama-ramai dan tindakan pasukan Polis dalam mengekang perhimpunan aman rakyat membantah kenaikan harga minyak 26 Mac lepas, penulis tergerak untuk melontarkan perspektif peribadi terhadap sikap penguasa dan pemimpin negara berkaitan isu tersebut.

Kita sedia maklum Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk bebas bersuara, menyatakan pandangan dan juga berhimpun secara aman. Malah kita juga mengetahui bahawa kebebasan yang diberikan itu bukanlah kebebasan mutlak (absolute freedom) sebaliknya dibatasi jika ia menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Disebabkan menghormati undang-undang tertinggi (supreme law) Negara ini, kita akan dapati dalam setiap perhimpunan aman, pemimpin-pemimpin perhimpunan akan acap kali mengulangi ungkapan, “…perhimpunan kita pada hari ini adalah perhimpunan aman”, “kita berhimpun hari ini secara aman untuk menyatakan…” dan pelbagai lagi ucapan yang bertujuan untuk mengingatkan dan mengawal perasaan para demonstran agar tidak keterlaluan sehingga melanggar prinsip undang-undang negara. Beginilah yang biasanya dilakukan sebagai warganegara yang cintakan ketertiban dan kedamaian dalam menyatakan suara dan pandangan di khalayak terbuka.

Penulis ingin membawa para pembaca untuk melihat di sana terdapat individu-individu yang taboo dengan perhimpunan massa dan demonstrasi rakyat yang lazimnya akan mengkritik dan membawa 1001 hujah mengapa demonstrasi perlu ditolak dan diharamkan daripada menjadi budaya masyarakat Malaysia. Pelbagai alasan dan rasional akan diutarakan oleh individu-individu ini yang biasanya pandangan mereka dirasakan masuk akal oleh mereka yang berjiwa materialistik, mementingkan diri sendiri dan tidak pernah terlibat secara langsung dalam perhimpunan aman rakyat.

Faktor ekonomi merupakan alasan yang paling popular. Apabila rakyat kerap turun ke jalanan, ia akan mengancam para pelabur asing ke Malaysia. Kedai-kedai akan ditutup kerana takutkan keterlanjuran perasaan para demonstran. Alasan keselamatan pula menyusul selepas itu. Mereka akan cuba memomokkan massa bahawa demonstrasi rakyat, jika diizinkan, akan menatijahkan keganasan sepertimana yang berlaku dalam demonstrasi-demonstrasi di negara-negara jiran dan Barat. Ada juga yang cuba membawa contoh situasi yang berlaku ketika zaman Re-For-Ma-Si tahun 1998 dahulu takut nantinya ia berulang.

Cukuplah. Situasi demonstrasi pada 1998 adalah contoh retrospektif yang tidak wajar dijadikan kayu ukur di masa ini. Kini, rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman dan demonstrasi telah meningkat matang. Mereka sebolehnya memastikan keselamatan awam terpelihara. Majoriti rakyat kita terdidik dengan kesedaran hak dan tanggungjawab berlandaskan nilai-nilai murni ketimuran dan waqi’ Malaysia.

Lihatlah contoh siri-siri perhimpunan aman sebelum ini yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang. Lihat saja perhimpunan aman membantah penerbitan karikatur menghina Rasulullah S.A.W. pada 10 Februari lalu, para demonstran tidak sampai tahap membakar dan memecahkan Wisma Denmark Jalan Ampang yang menempatkan Kedutaan Denmark. Begitu juga siri-siri demonstrasi membantah kenaikan harga minyak di KLCC, tidak pula kedapatan demonstran yang membawa Molotov cocktail dan senjata merbahaya ketika berhimpun. Yang pasti, mereka hanya membawa kain rentang dan sepanduk untuk menyatakan suara mereka. Itu sahaja.

Malahan perhimpunan pada 26 Mac lalu diadakan pada hujung minggu, hari Ahad. Maka, jelaslah indikator bahawa mereka tidak mahu mengganggu waktu bekerja, waktu di mana rakyat memerah keringat menjana kemajuan ekonomi nasional.

Jadi, apa lagi yang hendak ditabookan dengan perhimpunan aman rakyat? Biarlah mereka melaksanakan hak mereka selagi mana ia dilakukan dalam keadaan yang penuh tertib dan damai, dan selama mana mereka menunaikan tanggungjawab mereka tidak mengancam keselamatan awam dan menghormati pihak berkuasa Polis. Tidak perlu dikasari mereka itu seolah-olah mereka adalah penjenayah. Mereka menghormati pihak berkuasa, maka sewajarnya mereka juga dihormati oleh pihak berkuasa.


*Penulis merupakan pemerhati muda politik nasional yang melontarkan pandangan secara bebas berlandaskan perspektif anak muda.


Read more!

Wednesday, March 29, 2006

Berita bergambar Perhimpunan Aman protes harga minyak 26032006 anjuran MTUC



Belon hitam, tanda protes dan kecewa rakyat

Angkatan FRU yang bersiap sedia mengekang para demonstran

Angkatan berkuda FRU, umpama Perang Ahzab kedua bakal meletus
FRU, Water Cannon & Pasukan Penangkap mula menjalankan tugas:



Dr. Hatta Ramli (Bendahari Agung PAS) yang turut ditahan bersama dua orang puterinya

Baca lagi:

Berani dalam takut di perhimpunan bantah kenaikan harga minyak


Read more!

Hukuman mati ikut Barat kurang insafkan penjenayah

(sumber: Berita Harian 29 Mac 2006)

SARANAN Majlis Peguam, baru-baru ini, supaya hukuman gantung sampai mati dimansuhkan kerana pelaksanaannya selama ini gagal menurunkan kadar jenayah, terutama jenayah berat perlu diperhalusi daripada pelbagai sudut. Sambil mengagungkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, majlis itu sebenarnya gagal mendalami sensitiviti dan keperluan masyarakat tempatan.

Saranan ini sebenarnya hasil resolusi yang dibincangkan ketika mesyuarat agung tahunan ke-60 badan guaman itu pada 18 Mac lalu. Jika kadar jenayah yang masih tinggi dijadikan alasan, apakah jaminan sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan kadar jenayah akan turun? Adakah pesalah berat yang telah dihukum ini akan keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan tidak mengulangi kesalahannya?

Kegagalan menurunkan kadar ini sebenarnya berpunca daripada pelaksanaan hukuman mati dan bukan hukuman itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang, hukuman mati dijalankan secara tertutup dan tidak disaksikan orang ramai. Bagaimanakah hukuman sebegini dapat memberi kegerunan kepada sesiapa kerana mereka sendiri tidak pernah melihat ia dilaksanakan.

Hukuman seperti ini biasanya dijalankan di dalam penjara dan disaksikan pegawai penjara, pegawai perubatan, majistret dan ahli keluarga terdekat. Orang awam hanya akan mengetahui setelah hukuman itu dilaksanakan.

Di Arab Saudi dan beberapa negara lain yang menjalankan hukuman mati secara terbuka, apakah kadar jenayah negara itu tinggi? Ini adalah bukti bahawa hukuman sebegini akan melindungi masyarakat umum daripada dikacau ganggu orang yang tidak bertanggungjawab.

Jangan hanya merujuk kepada Barat sebagai penyelesai masalah, sedangkan di tempat lain masih banyak yang kita boleh mengambil iktibar.

Majlis Peguam juga khuatir suatu hari kelak akan ada kes di mana orang yang tidak bersalah telah dihukum mati dan didapati bukan dia yang melakukan kesalahan itu kemudian hari. Memang benar orang yang tidak bersalah ini tidak boleh diselamatkan lagi kerana telah meninggal dunia. Tetapi, adakah ini alasan yang munasabah hukuman mati itu perlu dimansuhkan? Tidak adakah cara lain di mana kesilapan seperti ini dapat dielakkan?

Di dalam sistem perundangan yang kita amalkan pada masa ini, seseorang yang telah disabitkan bersalah dan dihukum dengan hukuman mati tidak akan terus dibunuh. Secara automatik kes ini akan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi untuk rayuan dan ia akan diputuskan oleh sekurang-kurangnya tiga hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan) akan membuat keputusan mereka.

Sekiranya masih didapati bersalah, maka rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula boleh dibuat di hadapan panel sekurang-kurangnya tiga hakim. Setelah keputusan dicapai dan jika masih lagi disabitkan bersalah, pesalah ini boleh memohon pengampunan kepada Sultan. Proses ini amat panjang. Tentu dalam proses ini akan muncul fakta baru yang menunjukkan ketidakbersalahan pesalah itu dan dia akan bebas daripada hukuman itu. Sekurang-kurangnya tujuh hakim yang akan membuat keputusan itu. Setelah segala jalan diambil dan tidak berjaya, baru hukuman mati ini boleh dilaksanakan. Maka, kebarangkalian kesilapan akan berlaku amat kecil.

Seperkara lagi yang boleh diamalkan ialah dengan mengetatkan pembuktian. Pada masa ini pembuktian yang dibebankan ialah melampaui keraguan munasabah. Beban ini adalah tinggi dan hendaklah dipikul oleh pihak pendakwa. Tugas peguam bela hanya menimbulkan keraguan yang munasabah bagi membebaskan orang yang kena tuduh itu.

Beban pembuktian di dalam Islam untuk kes yang membabitkan hukuman mati adalah lebih tinggi lagi iaitu melampaui sebarang keraguan. Dengan cara ini ia akan mengelakkan kesilapan menghukum seseorang. Namun, ia tidak bermakna mereka akan terlepas begitu saja kerana masih boleh disabitkan dalam kesalahan lain yang dikategorikan sebagai takzir. Di dalam pembuktian kes yang membawa hukuman mati, banyak perkara yang perlu diteliti hakim seperti kewibawaan saksi, dokumen dan sumpah. Dengan itu tidak akan berlaku kesilapan menghukum orang yang tidak bersalah.

Janganlah kita hanya mementingkan hak asasi pesalah. Kita perlu sedar sistem undang-undang yang diterima telah mensabitkan beliau atau suatu kesalahan yang berat seperti membunuh dan mengedar dadah. Tidakkah kita prihatin dengan perasaan dan kesusahan yang dihadapi keluarga mangsa? Bagaimanakah keadaan keluarga mangsa yang dibunuh apabila suatu hari nanti terserempak dengan pembunuh ayah mereka?

Bagi pengedar dadah yang merosakkan masyarakat umum pula, tentulah mereka akan keluar dari penjara dan meneruskan kegiatan itu kerana memberikan pulangan lumayan. Yang menjadi mangsanya ialah anak kita yang akan terjebak ke dalam lembah kehinaan itu.

Mereka yang melakukan kesalahan kejam seperti membunuh dan mengedar dadah ini hanya mementingkan diri sendiri. Mereka sebenarnya tidak layak hidup kerana hanya memberi kemudaratan kepada orang lain. Yang pasti keluarga mangsa akan mengalami trauma, sedih, marah dan kesusahan yang tidak terhingga apabila mendapati keluarga mereka menjadi mangsa pembunuhan. Buat sedikit kajian terhadap keluarga mangsa. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan mereka setelah insiden kejam itu berlaku. Bagaimana perasaan mereka ketika menghadapi perbicaraan dan menerima keputusan yang dibuat hakim. Oleh itu, saranan berkenaan perlu dikaji dan tidak terus membuat andaian hanya dengan merujuk kepada Barat.

Mungkin kerajaan boleh mencuba pendekatan baru dengan melaksanakan hukuman mati di tempat terbuka dengan cara sesuai. Pasti kita akan dapati penurunan mendadak jenayah di Malaysia. Hukuman lain seperti mencuri dan merogol juga boleh dilakukan di tempat terbuka dengan tujuan sama. Dengan cara ini matlamat hukuman itu sebagai suatu pengajaran akan dapat dicapai.

Hak pesalah untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Tetapi, setelah dibicarakan dengan adil dan disabitkan kesalahan, maka hak keluarga mangsa dan orang awam hendaklah diutamakan. Hak keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan. Hak orang awam untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenteram.

INTI PATI

-Kegagalan turunkan kadar jenayah kerana hukuman mati dijalankan secara tertutup dan tidak disaksikan orang ramai.

-Di Arab Saudi dan beberapa negara lain menjalankan hukuman mati secara terbuka.

-Pelaksanaan hukuman secara terbuka bukti hukuman sebegini melindungi masyarakat umum daripada dikacau ganggu orang yang tidak bertanggungjawab.

-Pelaksanaan mengetatkan pembuktian dapat mengelakkan kesilapan menghukum seseorang.

-Hak pesalah untuk mendapatkan perbicaraan adil diambil kira tetapi, setelah dibicarakan dengan adil dan disabitkan kesalahan, maka hak keluarga mangsa dan orang awam diutamakan.


Read more!

Tuesday, March 28, 2006

Egonya...walhal dipilih oleh rakyat!

Sebelum baca entry ini, baca dulu Bila Menteri secara terbuka perlekehkan rakyat.

Ini komen Datuk Nazri Abd. Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen tentang demonstrasi mingguan memprotes kenaikan harga minyak:

“We don’t care what others say, we must enforce our laws [...] we might as well don’t have laws if we are not going to enforce them.”

“Even if you demonstrate 100 times, the government won’t reduce the price. You can demonstrate till the cows come home but the government won’t revise the decision.”

(sumber: Malaysiakini.com)

Ini pula sebagai menjawab keenganan wakil MTUC bertemu Menteri apabila hanya 5 orang sahaja wakil dibenarkan masuk ke Parlimen:

“Does the MTUC think they are very powerful and they can ignore laws [...] even the need to deal with a minister here?”

“What’s the difference between five and 10 representatives? Their refusal is a confrontational approach and the government will not bow to this pressure.”

(sumber: Malaysiakini.com)


Read more!

Monday, March 27, 2006

Kuat benar perasaan qana'ah masyarakat kita

Lama teman tidak mengepos entry ke sini. Sejak diumumkan kenaikan harga minyak akhir Februari lepas, rasa tidak puas hati masih lagi melingkari perasaan. Mungkin akan kekal di situ selamanya. Selagi harga minyak tidak turun. Kerana, pada hemat teman, mengimpikan kerajaan menurunkan semula harga minyak, bagaikan suatu ilusi yang tidak akan menjadi realiti.

Pilu rasanya melihatkan para demonstran jalanan yang menerima bahana FRU dalam demonstrasi di KLCC semalam. Dibedil dengan air asid, diberkas dengan gari getah, disumbat ke dalam trak.


Mereka menyuarakan secara terbuka perasaan mereka, keperitan mereka. Namun, itulah nasib para demonstran tersebut.

Bagi teman, perhimpunan tersebut sangat signifikan apabila MTUC yang mewakili golongan pekerja di Malaysia bergabung dengan parti-parti pembangkang dan NGO mengadakan perhimpunan membantah isu minyak ini.

Perlu diketahui, 3 entiti yang bisa menjadi ancaman pemerintah:
1. Parti pembangkang
2. Kesatuan sekerja
3. Gerakan mahasiswa

Gabungan ketiga-tiga entiti ini mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang kuat kerana ketiga-tiga golongan ini mempunyai status sosial dan pengaruh yang besar dalam masyarakat.

Tapi, teman pesimis ianya tidak akan berlaku di Malaysia.

Golongan pekerja di negara ini belum mampu melancarkan mogok besar-besaran dalam membantah dasar-dasar pemerintah. Semangat kita tidak sama seperti semangat orang Korea dan Jepun yang akan melancarkan mogok apabila hak dan kepentingan mereka diragut oleh majikan.

Kuat benar perasaan qana'ah masyarakat kita. Biarlah rasa susah sekarang demi kesenangan generasi mendatang. Syukurlah dengan derita sekarang kerana kerajaan nantinya akan mengurniakan nikmat pembangunan.


Read more!