Cetusan Minda...: Fikrah Anak Muda: Peranan Mahasiswa Pengajian Islam

Friday, April 28, 2006

Fikrah Anak Muda: Peranan Mahasiswa Pengajian Islam

Ilmu Islam usah ‘dimuziumkan’
Oleh; MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN*

SAYA menulis surat ini kerana beberapa sebab. Pertama, saya menulis atas dasar ingin memetik ‘suis’ kesedaran dalam diri saya dan ingin seluruh mahasiswa khususnya yang mengikuti kursus Pengajian Islam agar turut sama menghayati erti surat ini.

Kedua, saya menulis surat ini adalah kerana ingin merasai bahang kewujudan mahasiswa menuntut di Malaysia.

Ketiga, ingin menyeru kepada insan bergelar mahasiswa supaya menjadi jurubicara dan prime mover kepada masyarakat di negara kita.

Tradisi menuntut ilmu di menara gading bukan sesuatu yang harus dibanggakan sekiranya tidak mampu menyumbang kepada peradaban manusia dan negara. Saya melihat sikap diri dan segelintir mahasiswa tidak lagi menghargai dan menilai apakah erti ilmu sebenarnya.

Niat menuntut ilmu hanya sekadar mendapat segulung ijazah. Namun, kesannya cukup menyedihkan. Saya tidak menyalahkan sistem peperiksaan, mungkin kerana ada peperiksaan itu, barulah mahasiswa sedar apa dipelajarinya.

Mungkin kerana ada peperiksaan itu, barulah mahasiswa akan hadir ke kuliah. Inilah doktrin didakyahkan beberapa pihak untuk melihat kelesuan pemikiran dan penghayatan terhadap nilai ilmu. Hakikatnya, tuntutan ilmu bukan disempurnakan atas kertas peperiksaan. Saya berasa sedih sekiranya ilmu dicari hanya menghafal setiap butiran kalimah dalam kitab dan buku rujukan tanpa mengamalkannya. Saya sedih sekiranya kita sebagai mahasiswa sudah tidak mempraktikkan budaya menganalisis, membaca sosio-politik masyarakat dan mengislamikasikan setiap tindakan atau perkara dilakukan.

Saya masih lagi ingat pesanan daripada seorang pakar analisis di negara kita. Beliau mengatakan, mahasiswa harus mempunyai tiga elemen sebagai nilai tambah dalam diri mereka iaitu ilmu, akhlak atau sahsiah dan sikap enterprising.

Apa dikatakan dengan enterprising? Ia sikap membumikan jati diri dan nilai mahasiswa bersama masyarakat. Mahasiswa sewajarnya turut serta dalam masyarakat. Sekiranya kita memerhatikan keadaan masyarakat pada hari ini, rata-rata pihak mengeluh dan bimbang memikirkan prinsip agama yang dipinggirkan dalam masyarakat kita.

Kita tidak boleh menunding jari menyalahkan mereka, tetapi kita harus berfikir, apakah sumbangan kita dalam membantu dan membimbing mereka ke arah jalan yang sepatutnya? Jangan terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sehingga mengabaikan tanggungjawab membina masyarakat dan negara.

Amanah ini sewajarnya dipikul seluruh mahasiswa khusus mahasiswa Pengajian Islam kerana hala tuju negara, kesuburan Islam dan moral masyarakat terbeban atas bahu kita satu hari nanti.

Seterusnya, mahasiswa di Malaysia harus ke depan, bukan hanya di menara gading, tetapi turut sama dengan masyarakat. Kita mengharapkan terutama kepada pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat memberikan laluan dan galakan kepada mahasiswa untuk menyumbangkan bakti kepada agama, masyarakat dan negara. Bukan niat untuk menyingkap sejarah mahasiswa pada era 70-an, kononnya menimbulkan huru-hara kepada negara tetapi kita perlu membuktikan negara kita pada hari ini memerlukan sumbangan idea, tenaga dan masa daripada mahasiswa untuk menjadi penggerak.

Saya berasa terpanggil untuk menyeru mahasiswa Pengajian Islam kerana saya optimis bahawa mereka akan menjadi somebody dalam masyarakat nanti bukannya anybody. Oleh itu, bermula pada saat ini seluruh mahasiswa Pengajian Islam harus berfikir secara kritis, inovatif, idealistik dan praktikal.

Ilmu dipelajari daripada warisan Rasulullah SAW itu bukan untuk dijadikan muzium dalam diri tetapi dikongsi seluruh masyarakat Islam mahupun bukan Islam.


*Penulis merupakan Presiden Persatuan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home