Cetusan Minda...: To be a Somebody, not anybody

Monday, April 03, 2006

To be a Somebody, not anybody


Saya berbual dengan saudara Abid Abdillah baru-baru ini, seorang penulis muda yang baru mula membina nama dalam penulisan buku self-help. Namun sedar tidak sedar, beliau telah pun menulis 2 buah buku. Bakal menghasilkan buku ketiga dan keempat tidak lama lagi.

Saya meminta pandangan beliau tentang hasrat saya untuk membina perniagaan kecil-kecilan berbentuk dualisme; perniagaan internet dan konvensional yang bakal saya namakan ia MataPena.com.

Biasalah. Semangat anak muda, bila sudah didatangi idea dan cara, maka tak sabar untuk menjelmakannya menjadi realiti. Lagi pula baru dihadiahkan sebuah buku bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina (tulisan Ann Wan Seng) oleh sahabat paling akrab saya.

Maka, saya diajukan satu persoalan oleh saudara Abid, “Kau boleh mulakan apa jua bisnes, bila saja masa. Tapi, pelanggan atau klien kau akan tanya, mengapa mereka perlu memilih kau? Mengapa mereka perlu berurusan dengan kau? Apa istimewanya produk kau daripada orang lain?”


Betul juga persoalan yang ditimbulkan. Kalau hasrat ingin terus mendapat tempat kukuh dalam dunia bisnes, persoalan-persoalan itu perlu dijawab terlebih dahulu. Membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Walaupun mengetahui bahawa dalam dunia bisnes, berfikir terlalu lama untuk membuat keputusan akan merugikan perniagaan.

Bagi saya, itu ialah salah satu prinsip yang penting dalam dunia bisnes. Kita perlu menjadi berbeza dan istimewa daripada orang lain untuk memastikan produk kita laris dan mendapat tempat di kalangan pengguna.

Menjadi istimewa dalam dunia blog

Prinsip yang sama terpakai dalam dunia penulisan blog dan penerbitan di internet. Pembaca mempunyai alasan mengapa mereka perlu mengunjungi Malaysiakini.com atau Harakahdaily.net setiap kali mereka melayari internet mencari berita alternatif semasa.

Dan mengapa pengunjung tetap setia mengklik Pakdi.com dan Jeffooi.com unuk membaca komentar-komentar sosial harian.

Semuanya kerana mereka ini mempunyai identiti yang berbeza dan berlainan daripada biasa.

Menjadi graduan yang istimewa

Bagi mereka yang mengikuti siri The Apprentice musim yang baru berakhir semalam (2/4/2006), pastinya juga mengakui realiti ini. Randell yang terpilih dalam peringkat akhir menjadi Apprentice kepada Donald Trump memiliki keistimewaan tersendiri dalam pelbagai bidang. Dari sudut akademiknya, kepimpinannya dan juga karismatiknya. Ini yang membuatkan dia menyaingi lawannya, Rebecca.

Mungkin ini yang perlu dititikberatkan oleh graduan dan bakal graduan negara kita untuk mengelakkan pengangguran. Selain daripada kecemerlangan akademik, seorang graduan memerlukan nilai tambah (added value) untuk menjadikannya istimewa, berbeza daripada orang lain.

Sahabat saya, saudara Zarifi Daud (bekas Presiden MPP UIA) yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Syariah di sebuah syarikat takaful ternama menyatakan pada saya bahawa penglibatannya dalam aktiviti persatuan dan kepimpinan ketika zaman universiti dulu banyak membantu beliau dalam menjadikan dirinya istimewa daripada calon-calon temuduga jawatan tersebut dahulu.

Jadi, fikirkan daripada sekarang! Apa bezanya dan istimewanya kita daripada orang lain?

“To be a Somebody, not anybody”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home