Cetusan Minda...: MASIH SELAMATKAH PLKN? (2)

Tuesday, April 25, 2006

MASIH SELAMATKAH PLKN? (2)

Berapa ramai perlu mati sebelum PLKN dinilai semula?
Malaysia Today

Mampukah tragedi kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), adik Haziq bin Jaafar akan melembutkan kedegilan kerajaan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) terhadap saranan pelbagai pihak, agar penilaian semula PLKN dilakukan bagi memastikan pengurusan dan perlaksanaan PLKN mencapai kepada objektifnya.

Telah berulang kali juga berbagai pihak meluahkan kerisauan terhadap kepincangan pengurusan PLKN yang dikhuatiri satu hari nanti akan mendatangkan mudarat kepada peserta.

Namun, sudah menjadi tradisi kepimpinan negara ini yang hanya terngadah apabila telah terhantuk dan mungkin juga telah menjadi amalan kepimpinan negara ini yang lebih mudah mempelajari sesuatu perkara dengan cara yang paling menyakitkan. Dengan itu, tragedi yang menimpa adik Haziq dan keluarganya adalah tragedi yang disengajakan.

Tiada ruang juga untuk kerajaan ‘menjual’ retorik bagi menjustifikasikan tragedi yang berlaku.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Haziq pengsan ditendang di tengkuknya oleh seorang pelatih lain ketika mereka berehat menonton televisyen.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Kluang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 11.55 malam dengan kesan lebam dan calar di leher.

Suspek kini direman 10 hari bagi membantu siasatan.

Kes pergaduhan dan sebagainya kian kerap dilaporkan di kem latihan. Ini seakan-akan menunjukkan modul yang sedia ada gagal membentuk disiplin peserta malah lebih teruk ianya menjadikan pelatih lebih ganas dan tidak berdisiplin.

Penutupan sementara kem latihan yang terlibat (Kem Agro Tourism Kluang), wajar bagi memastikan siasatan lengkap dapat dijalankan untuk menilai semula keseluruhan aspek yang telah menyumbang kepada yang berlaku kepada adik Haziq. Khususnya, melihat kemampuan fungsi dan peranan jurulatih bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak berulang, desak Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Begitu juga, menilai semula operator pengendali kem bagi memastikan kem latihan yang digunakan menyediakan suasana yang kondusif bagi pelatih.

Kelayakan jurulatih kem perlu disemak semula memandangkan mereka perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku dalam kem. Penilaian ini juga bagi memastikan setiap jurulatih yang dipilih tidak dilantik atas kapasiti bagi menjalankan kerja-kerja indoktrinisasi ke atas pelatih untuk pihak lain.

Kegagalan jurulatih berfungsi sebagaimana yang diharapkan dapat dilihat daripada beberapa kejadian seperti; kes-kes pencabulan oleh jurulatih terhadap pelatih wanita, rogol yang melibatkan jurulatih, pergaduhan antara jurulatih dan pelatih, proses indoktrinisasi oleh jurulatih bagi menyemai fahaman politik kepartaian, petik Mazlan akan kes-kes yang telah berlaku.

Menurut Mazlan, modul yang digunapakai perlu menitikberatkan skop pembinaan kenegaraan dan patriotisme yang luas, bukan sedia dan setia berkhidmat dan berkorban untuk parti politik pemerintah. Pembentukan pemikiran kritis kalangan peserta juga perlu disemai dan disegarkan ke arah membina warga negara kelas pertama.

Pemahaman mendalam pelatih terhadap aspek-aspek perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undangnya, perlu ditekankan.

Mazlan mencadangkan agar pengasingan antara pelatih lelaki dan wanita dilakukan, dengan pengasingan lelaki dan wanita melalui pengasingan kem latihan secara total; atau pengasingan lelaki dan wanita melalui proses sessi pengambilan pelatih.

Kerajaan perlu berani untuk mengaku segala kepincangan yang berlaku, dan bertindak segera dan telus terhadap segala kelemahan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home