Cetusan Minda...: Puasa: Makruhkah jika kerap mandi?

Saturday, October 16, 2004

Puasa: Makruhkah jika kerap mandi?

Dari pagi lanjut ke tengahari teman menghafal. Petang esok teman akan menduduki imtihan dalam maddah ‘al-Ayaat wa al-Ahaadith al-Ahkam IV’, tentunya menuntut kepada proses menghafaz yang intensif. Setelah letih membaca & menghafal, tergerak hati teman untuk membuka fail-fail lama…berehat sekejap.

Belek punya belek, maka teman ketemu 1 artikel yang sememangnya bermanfaat untuk dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat. Tepat dengan Ramadhan Karim, maka ianya juga membicarakan tentang adab-adab berpuasa.

Orang kata…

Pernah dengar sebilangan orang kata makruh jika kerap mandi ketika puasa? Atau makruh jika mandi pada hampir waktu berbuka kerana ianya boleh mengurangkan keletihan dan sekaligus menghilangkan kelebihan puasa?

Di dalam hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya:

Bahawa Abu Bakar bin Abdul Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas”.

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Teman: “Apa yang penting dalam bulan Ramadhan ini adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai hujah dan asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran dan as-Sunnah.”

Insya-Allah di kesempatan akan datang teman akan bawa untuk dikongsi bersama “Adab-adab Iftar (berbuka puasa) menurut Sunnah Rasulullah s.a.w.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home