Cetusan Minda...: 48 tahun Malaysia merdeka: Sejauh mana kita bebas dan selamat?

Saturday, August 27, 2005

48 tahun Malaysia merdeka: Sejauh mana kita bebas dan selamat?

Beberapa hari lagi genaplah Malaysia merdeka 48 tahun. Segenap lapisan rakyat Malaysia semakin sibuk menyediakan persiapan menyambut ulang tahun ke-48 Kemerdekaan tanggal 31 Ogos nanti.

Tidak ketinggalan rakan-rakan teman seperti Presiden Zarifi, malah Pakdi juga turut sibuk dengan latihan raptai di Putrajaya. Sungguh tebal semangat patriotik mereka!

Guru dirogol; kondisi keselamatan sosial yang belum merdeka

Baru-baru ini kita gempar apabila seorang guru sekolah menengah berbangsa Cina dari Ipoh dirompak dan dirogol dengan kejam secara bergilir-gilir yang akhirnya ditinggalkan di tepi jalan di Rawang.

Itu belum campur dengan kes-kes jenayah lain yang pastinya berlaku setiap hari di Malaysia. Kes ragut, samun, culik, liwat, sumbang mahram, pukul dan buli, bunuh dan banyak lagi yang tak mungkin teman dapat senaraikan satu persatu.

Teman terfikir, apakah selamat persekitaran luar Malaysia jika anak-anak gadis di dalam rumah pun tiada jaminan selamat dari dirogol oleh ahli keluarga lelaki kandung sendiri. Inikan pula jika berada di luar rumah. Lagilah banyak ancaman yang kita tidak dapat duga.

Jenayah tidak mengenal mangsa. Adakala kita yakin bahawa kita tidak bermusuh dengan sesiapa, tetapi kita tetap terdedah menjadi mangsa jenayah. Awas selalu!!!

ISA perlu; pemikiran yang belum merdeka

Tidak lama dulu, teman pernah diwawancara untuk satu dokumentari tentang ISA oleh seorang aktivis sosial. Secara prinsipnynya teman menentang pelaksanaan ISA. Dan 1 soalan diajukan kepada teman, “jika anda menganggotai Kerajaan, adakah anda tetap menentang ISA?”

Teman jawab, “why not?”. Ramai orang yang pada mulanya menentang ISA tapi apabila diajukan soalan sedemikian, akan rasa ragu-ragu dan berfikir dua kali.

Bagi teman perasaan ragu-ragu tersebut berpunca dari pemikiran kita yang belum lagi merdeka. Maka berjayalah usaha propaganda dan indoktrinisasi yang dilakukan bahawa ISA tetap relevan, efektif dan satu keperluan. Sentimen yang dimainkan mudah dan senang: Untuk keselamatan negara dan rakyat!

Jangan menentang dasar; konsep yang belum merdeka

2 kes yang perlu anda ketahui.

Kes pertama, 2 orang pensyarah IPTA di utara Semenanjung dipecat kerana enggan menandatangani surat akujanji. Kes kedua, seorang Profesor di UKM disingkir Universiti kerana kerap mengkritik dasar kerajaan.
Apa pandangan anda? Bukankah Malaysia negara demokrasi? Setiap individu ada hak untuk bersuara selagi tidak bertentangan dengan struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu; catatan sejarah yang belum merdeka

Fakta sejarah tidak pernah berbohong, sebaliknya catatan sejarah yang mampu menyorokkan sebahagian fakta penting. Tentang sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, kita acap kali dihidangkan dengan sebahagian fakta. Bermula Malayan Union, diikuti penentangan Melayu yang diketuai Dato’ Onn sehingga laungan MERDEKA Tunku Abdul Rahman.

Namun, ada lagi siri-siri perjuangan dan tokoh kemerdekaan yang seperti sengaja tidak disebut nama mereka seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Ishak Hj. Muhammad dan Shamsiah Fakeh yang sengaja dicop sebagai pendokong golongan kiri Melayu.

Malah, tokoh-tokoh Islam seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir umpamanya semakin luput dari ingatan generasi muda Malaysia. Di tempat teman di Perak, ustaz Abu Bakar al-Baqir lebih dikenali sebagai pengasas Maahad Ehya’ Ash-Sharif di Gunung Semanggol, tak lebih dari itu.

Sekarang masa untuk nilai sendiri…

Teman hanya sebut secara spesifik sebahagian kecil daripada realiti yang berlaku dalam negara Malaysia yang usianya sudah 48 tahun merdeka. Terlalu banyak aspek yang ‘belum merdeka’ untuk disebut. Mungkin jika teman tulis secara akademik, mampu menghasilkan buku yang mejangkau sehingga 4-5 jilid dengan setiap jilid berhalaman 300-400 muka.

Nilailah sendiri…sejauh mana kita dan keluarga berasa selamat dan tenteram dalam negara yang sudah 48 tahun merdeka? Dan sejauh mana kita mengecapi hak kebebasan dalam negara yang hampir separuh abad merdeka?

1 Comments:

At August 29, 2005, Blogger Abah Yie & Ummi Na said...

MALAYSIA....

hari ini negaraku merdeka...
dari cengkaman...
dari permusuhan...
dari kezaliman...
dari kebinasaan

hari ini negaraku merdeka...
kerana perwira...
kerana satria...
kerana wirawan..
kerana dirimu...

hari ini negaraku merdeka...
dengan laungan kemerdekaan...
dengan nyanyian lagu kebangsaan...
dengan kibaran jalur gemilang...
dengan suasana penuh gemilang...

hari ini...
sejarah berulang kembali...
detik keramat menggamit hati...
syukur padaMu Ya Ilahi...
kebebasan ini...
membawa 1001 erti....

adaptasi ilham
kembarahati
29 Ogos 2005
3.00 p.m

 

Post a Comment

<< Home