Cetusan Minda...: Kes LINA JOY: Mahkamah Rayuan tolak permohonan

Tuesday, September 20, 2005

Kes LINA JOY: Mahkamah Rayuan tolak permohonan

Berita ini dipetik daripada Malaysiakini.com:

Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam menolak rayuan seorang wanita yang menfailkan saman pemula supaya digugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dan mendakwa dia bebas mengamalkan ajaran agama pilihannya.

Keputusan 2-1 itu dibacakan oleh Hakim Datuk Gopal Sri Ram. Sri Ram membuat keputusan itu bersama-sama Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamad dan Datuk Arifin Zakaria.

Abdul Aziz dan Arifin dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak betul dengan tidak membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Lina Joy, yang nama asalnya Azlina Jailani, supaya menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya atas alasan tindakan beliau keluar daripada Islam, tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa agama Islam lain.

"JPN bertindak betul, berhati-hati dan rasional dalam perkara yang penting dan sensitif itu," kata Abdul Aziz dalam penghakimannya yang dibacakan oleh Sri Ram.

Sri Ram yang menentang keputusan itu berkata, keputusan JPN menolak untuk membuat pindaan dalam kad pengenalan Lina tanpa perintah/sijil Mahkamah Syariah sebagai tidak sah dan batal.

"Saya akan membenarkan satu deklarasi untuknya (Lina) dan mengarahkan ketua pengarah untuk mematuhi terma-terma deklarasi itu," kata Sri Ram.

Lina, 41, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggugurkan perkataan "Islam" dalam kad pengenalannya.

Mahkamah syariah

Faiza Thambi Chik yang menolak permohonan itu berkata sebagai orang Melayu, beliau tidak boleh keluar daripada Islam.

Menurut laporan Bernama, dalam penghakimannya pada 23 April, 2001, hakim itu juga menolak hasrat Lina untuk meninggalkan Islam atas alasan isu itu mesti diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Dalam samannya, Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Pada 13 Disember 2004, Mahkamah Rayuan mengarahkan ketua pengarah JPN, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad dimasukkan sebagai pihak dalam saman itu.

Pada 2 Februari 1997, Lina membuat permohonan kepada JPN supaya menukar namanya atas alasan beliau tidak lagi menganut Islam tetapi ajaran Kristian.

Permohonan itu ditolak oleh JPN pada 11 Ogos 1997. Dia kemudiannya membuat permohonan kedua kepada JPN untuk mengubah namanya kepada Lina Joy dan permohonannya diluluskan dan JPN memintanya memohon kad pengenalan baru.

Dia mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan baru dengan nama Lina Joy dan pada November 1999, dia diberikan kad pengenalan baru dengan nama Lina Joy dan perkataan "Islam" tertera pada dokumen itu.

Pada 11 Mac 2000, Lina memohon JPN menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya dan permohonan itu ditolak atas alasan dia diperlukan untuk mengemukakan satu sijil atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa Islam.

Peguam Lina, Datuk Dr C.V.Das, yang ditanya pemberita kemudiannya, berkata beliau akan merayu terhadap keputusan itu.

Zikri: "Dalam kes Mior Atiqurrahman dulu pun, Datuk Gopal Sri Ram adalah merupakan salah seorang Hakim yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban terhadap isu memakai serban ke sekolah."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home