Cetusan Minda...: Selepas Dong Jiao Zong, kini Kongres Kepentingan Bangsa pula

Monday, December 19, 2005

Selepas Dong Jiao Zong, kini Kongres Kepentingan Bangsa pula


Bukhori mengajak teman menghadiri Kongres Kepentingan Bangsa yang diadakan di UTM Jalan Semarak, KL hujung minggu baru-baru ini. Namun sayang sekali kerana teman terpaksa outstation 3 hari.

Kongres tersebut diadakan dua hari, 16 dan 17 Disember dianjurkan oleh Gabungan 100 NGO Melayu. Sebanyak 29 resolui pendidikan, ekonomi dan sosiobudaya yang telah diluluskan. Ianya merangkumi lapan resolusi ekonomi, tujuh resolusi pendidikan dan 14 resolusi sosiobudaya.

Mari kita teliti 29 Resolusi tersebut:

PENDIDIKAN

1. Menggesa kerajaan untuk menilai semula keseluruhan keutuhan dan keberkesanan sistem pendidikan negara yang belum pernah dibuat sejak merdeka sesuai dengan dasar dan falsafah pendidikan negara.


2. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Pada masa yang sama mempertingkatkan pengajaran subjek Bahasa Inggeris dengan serius.


3. Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) supaya boleh berfungsi seperti asal dan mengembangkan sektor pendidikan aliran agama supaya dapat menyumbang kepada pembangunan Negara.


4. Membiayai sepenuhnya pelajar Melayu yang layak masuk dan mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui biasiswa.

5. Menyarankan agar MARA memfokuskan peranannya dalam pendidikan dan modal insan dan kerajaan memperkasakannya dengan memberikan peruntukan yang secukupnya mulai sekarang.

6. Menggesa kerajaan memberi perhatian kepada beberapa aspek lain pendidikan, iaitu: pendidikan luar bandar, prasekolah, penyerapan nilai-nilai murni, latihan teknikal, biasiswa, latihan guru, perpustakaan luar bandar, pendidikan khas kanak-kanak kurang upaya, pendidikan orang asli, dll.

7. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) hendaklah dimansuhkan secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat dan kondusif bagi pertumbuhan kecerdasan minda, kebebasan berfikir dan kreativiti di kalangan para akademik dan mahasiswa.

EKONOMI

1. Mengambil usaha untuk mempertahankan hartanah orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu yang terdapat di seluruh negara. Kerajaan hendaklah mengganti tanah-tanah yang telah di ambil di tempat-tempat strategik.

2. Kualiti pengurusan badan GLC mestilah mencerminkan nilai akhlak yang tinggi dan cemerlang. Sementara pemantauan hendaklah dilakukan oleh kumpulan NGO dan professional yang berkelayakan yang berkaitan dengan urustadbir.

3. Petronas hendaklah berperanan sebagai satu agensi penjana yang bertanggungjawab dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

4. Meneruskan matlamat dan falsafah DEB secara berkekalan supaya pencapaiannya menggambarkan komposisi penduduk Malaysia dalam proses penjanaan kekayaan baru (new wealth creation).

5. Mengadakan gerakan pembudayaan keusahawan di kalangan masyarakat Melayu. Ia adalah sebagai usaha untuk mempertingkatkan martabat ekonomi orang Melayu khususnya dalam sektor peruncitan dan perdagangan kecil.

6. Mendesak kerajaan supaya penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang supaya perlaksanaannya berkesan. Sebagai contohnya, institusi-institusi kerajaan (GLC) seperti Pertonas, Telekom Malaysia, TNB dan lain-lain wajib mengeluarkan zakat. Pentadbiran zakat dilaksanakn secara telus supaya pengagihannya memberi manfaat kepada umat seperti tabung pendidikan, tabung membasmi kemiskinan dan sebagainya.

7. Memperkenalkan Akta Makanan Halal Malaysia supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu dan Islam. Sebuah Perbadanan Industri Makanan Halal hendaklah diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub.

8. Menggalakkan semua NGO Melayu menubuhkan koperasi masing-masing untuk menggembelengkan sumber daya orang Melayu bagi menjalankan aktiviti ekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup dan sosio-budaya orang Melayu.

SOSIO-BUDAYA

1. Menubuhkan satu pasukan peguam-peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran terhadap peruntukan dan undang-undang yang menyentuh kepentingan dan hak istimewa Melayu serta mencadangkan tindakan yang sewajarnya.

2. Mengembalikan perkhidmatan awam, pegawai keselamatan dan profesional ke peranan asal mereka sebagai institusi yang bebas, beramanah dan tidak mengamalkan rasuah.

3. Mendesak kerajaan supaya membudayakan masyarakat melalui amalan demokrasi yang tulin dan telus serta memulih dan memperkukuhkan institusi-institusi urustadbir negara termasuk institusi raja.

4. Mendesak semua pihak agar memberi keutamaan kepada proses membudayakan nilai murni bagi membetulkan kekacauan nilai dalam masyarakat.

5. Mendesak semua pihak memainkan peranan yang berkesan untuk memerangi gejala rasuah dengan:
I. Menjadikan BPR sebagai badan bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.
II. Menggerakkan semua NGO Melayu untuk bergabung tenaga mengadakan kempen yang berkesan dalam menangani budaya rasuah di dalam negara ini.


6. Menganjurkan agar semua pihak menjaga dan memelihara integriti kekeluargaan yang semakin rapuh.

7. Menolak fahaman dan amalan gerakan Islam liberal dan mencegah daripada berkembangnya pemikiran Melayu liberal.

8. Badan-badan NGO Melayu hendaklah mempunyai saluran media bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara telus terutama berhubung dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Melayu.

9. Kerajaan melalui semua kementerian, agensi dan jabatan perlu menyerapkan unsur-unsur kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Kebangsaan dalam dasar dan program.

10. Badan-badan penyiaran dan media massa perlu merancang pewujudan citra kebangsaan dalam programnya.

11. Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu diperundang-undangkan dalam bentuk akta seperti dasar bahasa dan dasar pendidikan.

12. Masalah kebejatan sosial yang melanda masyarakat Melayu perlu ditangani secara serius oleh kerajaan dan semua pihak lain.

13. Budaya berfikir hendaklah dijadikan amalan dalam semua sektor dan semua peringkat sebagai teras tamadun bangsa.

14. Kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam hendaklah disuburkan dan diterapkan dalam pentadbiran, pendidikan dan bidang-bidang lain.

1 Comments:

At December 22, 2005, Anonymous Anonymous said...

This is a letter to the editor of a newspaper that is yet to be published entitled, "NGO Melayu Perlu Anjakan Paradigma"

Saudara Pengarang

Ingin saya merujuk kepada Kongres Kepentingan Bangsa yang diadakan pada 16-17hb Disember 2005 di Universiti Teknoloji Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memanglah harapan kebanyakkan insan Melayu untuk melihat penyatuan fikiran dalam usaha memperjuangkan nasib orang Melayu. Ini menjadi tarikan saya untuk menghadiri Kongres tersebut. Namun, resolusi dan perbincangan tidak mencerminkan suatu anjakan paradigma yang diharapkan.

Apa perlunya pihak penganjur meluahkan kekecewaan atas ketidak hadiran pihak-pihak tertentu? Bukankah representasinya cukup merangkumi umat melayu dari pelbagai bidang dan orientasi serta kehadiran tokoh-tokoh orang “kerajaan” dan bukan kerajaan? Tidak perlu pihak penganjur memerlukan pengiktirafan sedemikian. Bukankah yang penting: apa yang dicapai dan usaha-usaha seterusnya. Pengisian sepatutnya melebihi simbolisma.

Sebagai orang muda, saya menyanjungi kehadiran mereka dan menghargai buah fikiran dari pengalaman mereka yang telah dikongsi. Walaupun tujuan masing-masing saya anggap baik, suatu ironi dan tanda tanya pada saya: Kenapakah tokoh-tokoh ini menyuarakan keresahan ini sekarang?

Sebagai contoh, saya hairan mendengar seorang tokoh pendidik menyuarakan permasaalahan penuntut-penuntut sekolah rendah di luar bandar. Bukankah perkara ini sudah berdekad disuarakan? Tidakkah sepatutnya dilakukan semasa beliau menerajui Kementerian tersebut.

Memang menarik tokoh-tokoh korporat yang hebat-hebat membicarakan mengenai kecekapan, nilai, dan peranan. Namun, saya melihat suatu hipokrasi memandangkan prestasi lepas mereka. Ada antara mereka ini, gagal menyempurnakan tanggungjawab untuk memajukan usahawan Melayu. Ada yang organisasi yang mereka terlibat sendiri tidak memainkan peranan yang diharapkan orang Melayu. Malah, ada yang urusniaga mereka boleh menimbulkan persoalan.

Adakah ini suara-suara penyesalan? Atau suara dendam? Apa tidak ditimbulkan perkara-perkara ini dahulu sebelum dibiarkan berlarutan? Apa perlu keinginan publisiti luas massa media? Bukankah terlalu lumrah “Malay bashing” dan prejudis terhadap kebolehan orang Melayu dilakukan oleh anak bangsa sendiri. Sekira ianya suatu penyesalan, bukankah lebih baik mereka salurkan kewangan kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh banyak NGO Melayu yang kekurangan sumber.

Sindrom gesa

Rasanya orang Melayu kebanyakkan sudah jemu mendengar seminar-seminar dan kongres-kongres sedemikian. Malah sudah menjadi suatu klise perjumpaan sedemikian berakhir dengan gesaan dan tuntutan terhadap kerajaan. Perjumpaan ini, dengan satu senarai “wishlist”nya yang banyak, pun tidak jauh berbeza.

Selain resolusi spesifik yang berkait rapat dengan perundangan, kebanyakkan tuntutan resolusi-resolusi yang dikemukan terlalu am dan bersikap menyalah-nyalahkan (“blame”). Malah, ada isu-isu yang dibangkitkan adalah isu-isu basi dengan rational yang tidak tepat, seolah-olah diatur untuk memuaskan hati pelbagai pihak yang berlainan aliran.

Permintaan kepada kerajaan sepatutnya khusus untuk mudah segera dilakukan. Bukankah Perdana Menteri sudah menyahut untuk bekerja dengannya dan bukan untuknya? Berapa banyak kumpulan-kumpulan Melayu yang sudah kehadapan memberikan sumbangan idea kepada RMK 9 yang akan bermula tahun hadapan?

Sudah masanya bijak pandai Melayu mengeluarkan diri dari “sindrom gesa kerajaan” dan menjalankan inisiatif sendiri samada melalui NGO atau memainkan peranan masing-masing.

Kita perlu berfikir “out-of-the-box”. Tsunami globalisasi memerlukan kita banyak berfikir dengan lebih realistik. Ia memerlukan lebih banyak inisiatif sendiri dan sikap berdikari. Sikap bergantung dengan kerajaan perlu dikikis. Penggiat Melayu perlu membuahkan usaha-usaha inovatif yang berperanan mengisi “gap” yang diluar peranan kerajaan.

Kemana arah tuju?

Persepakatan sedemikian harus diteruskan. Persoalannya adakah boleh persetujuan-persetujuan ini diterjemahkan menjadi program untuk dilakukan oleh parti politik dan organisasi masing-masing. Atau hanya mahu menjadi suara mendesak yang hanya tahu menyalak tanpa menjalankan program tertentu?

Sebagai usaha permulaan, perlu ada kesepakatan untuk mengurangkan pendedahan kelemahan Melayu secara terbuka kerana ia hanya menjatuhkan imej Melayu di dalam dan luar negara.

Organisasi NGO Melayu perlu diperkuatkan. Kebanyakkan NGO-NGO Malayu tidak aktif dan banyak hanya menjadi pentas untuk tujuan sebenar yang lain. Kita perlu mengikiskan sikap berpersatuan untuk tujuan persendirian yang sempit. Banyak NGO-NGO Melayu kekurangan sumber untuk menjalankan aktiviti-aktiviti. Dan, banyak NGO-NGO Melayu bertindih dalam peranan dan kegiatan-kegiatan masing-masing hingga kadang-kadang bersaing.

Kita perlu mengetepikan perbezaan dan mengelakkan diri dari isu-isu yang menimbulkan perselisehan, terutama yang menyentuh ugama dan politik. Persepakatan sedemikian harus menjadi landasan untuk memperkuatkan jaringan Melayu dalam memudahkan usaha masing-masing.

Saya rasa kurang peranan NGO-NGO Melayu dalam melakukan program untuk mempertingkatkan ekonomi dan peniaga Melayu. Tokoh-tokoh usahawan dan korporat Melayu ini sepatutnya membina satu mekanisma untuk membantu usahawan Melayu yang beraspirasi untuk merealisasikan rancangan perniagaan dengan modal benih (“seed capital”) dan modal teroka.

Anak Bagan

 

Post a Comment

<< Home