Cetusan Minda...: April 2006

Friday, April 28, 2006

Fikrah Anak Muda: Peranan Mahasiswa Pengajian Islam

Ilmu Islam usah ‘dimuziumkan’
Oleh; MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN*

SAYA menulis surat ini kerana beberapa sebab. Pertama, saya menulis atas dasar ingin memetik ‘suis’ kesedaran dalam diri saya dan ingin seluruh mahasiswa khususnya yang mengikuti kursus Pengajian Islam agar turut sama menghayati erti surat ini.

Kedua, saya menulis surat ini adalah kerana ingin merasai bahang kewujudan mahasiswa menuntut di Malaysia.

Ketiga, ingin menyeru kepada insan bergelar mahasiswa supaya menjadi jurubicara dan prime mover kepada masyarakat di negara kita.

Tradisi menuntut ilmu di menara gading bukan sesuatu yang harus dibanggakan sekiranya tidak mampu menyumbang kepada peradaban manusia dan negara. Saya melihat sikap diri dan segelintir mahasiswa tidak lagi menghargai dan menilai apakah erti ilmu sebenarnya.

Niat menuntut ilmu hanya sekadar mendapat segulung ijazah. Namun, kesannya cukup menyedihkan. Saya tidak menyalahkan sistem peperiksaan, mungkin kerana ada peperiksaan itu, barulah mahasiswa sedar apa dipelajarinya.

Mungkin kerana ada peperiksaan itu, barulah mahasiswa akan hadir ke kuliah. Inilah doktrin didakyahkan beberapa pihak untuk melihat kelesuan pemikiran dan penghayatan terhadap nilai ilmu. Hakikatnya, tuntutan ilmu bukan disempurnakan atas kertas peperiksaan. Saya berasa sedih sekiranya ilmu dicari hanya menghafal setiap butiran kalimah dalam kitab dan buku rujukan tanpa mengamalkannya. Saya sedih sekiranya kita sebagai mahasiswa sudah tidak mempraktikkan budaya menganalisis, membaca sosio-politik masyarakat dan mengislamikasikan setiap tindakan atau perkara dilakukan.

Saya masih lagi ingat pesanan daripada seorang pakar analisis di negara kita. Beliau mengatakan, mahasiswa harus mempunyai tiga elemen sebagai nilai tambah dalam diri mereka iaitu ilmu, akhlak atau sahsiah dan sikap enterprising.

Apa dikatakan dengan enterprising? Ia sikap membumikan jati diri dan nilai mahasiswa bersama masyarakat. Mahasiswa sewajarnya turut serta dalam masyarakat. Sekiranya kita memerhatikan keadaan masyarakat pada hari ini, rata-rata pihak mengeluh dan bimbang memikirkan prinsip agama yang dipinggirkan dalam masyarakat kita.

Kita tidak boleh menunding jari menyalahkan mereka, tetapi kita harus berfikir, apakah sumbangan kita dalam membantu dan membimbing mereka ke arah jalan yang sepatutnya? Jangan terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sehingga mengabaikan tanggungjawab membina masyarakat dan negara.

Amanah ini sewajarnya dipikul seluruh mahasiswa khusus mahasiswa Pengajian Islam kerana hala tuju negara, kesuburan Islam dan moral masyarakat terbeban atas bahu kita satu hari nanti.

Seterusnya, mahasiswa di Malaysia harus ke depan, bukan hanya di menara gading, tetapi turut sama dengan masyarakat. Kita mengharapkan terutama kepada pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat memberikan laluan dan galakan kepada mahasiswa untuk menyumbangkan bakti kepada agama, masyarakat dan negara. Bukan niat untuk menyingkap sejarah mahasiswa pada era 70-an, kononnya menimbulkan huru-hara kepada negara tetapi kita perlu membuktikan negara kita pada hari ini memerlukan sumbangan idea, tenaga dan masa daripada mahasiswa untuk menjadi penggerak.

Saya berasa terpanggil untuk menyeru mahasiswa Pengajian Islam kerana saya optimis bahawa mereka akan menjadi somebody dalam masyarakat nanti bukannya anybody. Oleh itu, bermula pada saat ini seluruh mahasiswa Pengajian Islam harus berfikir secara kritis, inovatif, idealistik dan praktikal.

Ilmu dipelajari daripada warisan Rasulullah SAW itu bukan untuk dijadikan muzium dalam diri tetapi dikongsi seluruh masyarakat Islam mahupun bukan Islam.


*Penulis merupakan Presiden Persatuan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Read more!

Thursday, April 27, 2006

MASIH SELAMATKAH PLKN? (3)

PLKN abaikan bekas pelatih cedera semasa latihan
Oleh Maslan Yusoh

TUMPAT, 27 April - Rungutan banyak pihak sebelum ini terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebenarnya bukan berasas kepada sentimen semata-mata, sebaliknya ia dibuktikan dengan kejadian demi kejadian yang mendukacitakan.

Sejak program itu diwujudkan banyak kejadian dilaporkan berlaku dan terbaru seorang pelatih mati akibat bergaduh sesama mereka di Kluang, Johor.

Sebenarnya bukan itu sahaja, malah ada pelatih yang cedera ketika latihan dibiarkan sehingga pihak keluarga terpaksa berusaha mendapatkan rawatan susulan dengan menanggung segala kosnya.


Salah satu kes terpencil yang dikatakan didiamkan pihak PLKN sebelum ini menimpa bekas pelatih di Kem Seri Manjong Mac lalu, Nabilah Arifin, 18 yang patah rahang akibat terjatuh.

Beliau sehingga kini terpaksa memakan bubur nasi untuk tempoh tiga bulan. Kejadian malang itu berlaku ketika beliau mengikuti perbarisan tamat latihan.

Sedangkan sebelum itu beliau sudah mengadu kepada jurulatih kerana tidak sihat, namun tidak dihiraukan. Akibatnya ketika sedang berbaris beliau terjatuh dengan muka tersungkur di atas simen sehingga menyebabkan rahangnya patah.

Dan sejak kejadian malangnya tersebut 10 Mac lalu keluarga mendakwa pihak PLKN didakwa tidak pernah menghubungi untuk bertanya khabar.

Bagaimanapun nasib malangnya ini sedikit terubat apabila Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat datang menziarahinya semalam. Dan sehari sebelum itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob turut mengunjunginya.

Biar pun ayahnya, Arifin Daud, 47 dikenali ramai sebagai seorang penyokong Umno, namun pemimpin di bahagian itu juga tidak datang bertanya khabar mengenai kesihatan anaknya.

“Hanya Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar adalah pemimpin pertama yang datang menziarahi anak saya,” katanya semasa kunjungan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bersama Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Haron dan anggota Jawatankuasa PAS Tumpat semalam.

Sebelum ini Arifin seorang pengusaha kantin mengadu rasa tidak puas hati terhadap PLKN apabila datang ke pejabat Cawangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Kota Bharu.


Read more!

Kuliah Maghrib di UM diharamkan?

Sebelum baca entry di bawah, klik dulu Kalam, HEPA haramkan kuliah Maghrib.

Beberapa malam lepas saya terima sms dari seorang sahabat menyatakan bahawa dia baru lepas menghadiri Kuliah Maghrib pertama Yang di-Pertua Persatuan Mahasiswa Islam UM, Ustaz Nazree Yunos di Kolej 5 Universiti Malaya.

Jalan-jalan melayari laman-laman web mahasiswa, baru saya tahu ada kekecohan yang berlaku.

Rupa-rupanya ada usaha untuk menghalang kuliah maghrib tersebut daripada dilangsungkan.

Terfikir juga saya, untuk mengadakan kuliah maghrib di sebuah surau di kolej kediaman kampus pun perlu mendapatkan permit? Walhal, yang menyampaikan kuliah hanyalah seorang mahasiswa Universiti terbabit.

Saya ingatkan hanya ceramah-ceramah politik di luar sahaja yang perlu berpermit.


Read more!

Tuesday, April 25, 2006

MASIH SELAMATKAH PLKN? (2)

Berapa ramai perlu mati sebelum PLKN dinilai semula?
Malaysia Today

Mampukah tragedi kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), adik Haziq bin Jaafar akan melembutkan kedegilan kerajaan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) terhadap saranan pelbagai pihak, agar penilaian semula PLKN dilakukan bagi memastikan pengurusan dan perlaksanaan PLKN mencapai kepada objektifnya.

Telah berulang kali juga berbagai pihak meluahkan kerisauan terhadap kepincangan pengurusan PLKN yang dikhuatiri satu hari nanti akan mendatangkan mudarat kepada peserta.

Namun, sudah menjadi tradisi kepimpinan negara ini yang hanya terngadah apabila telah terhantuk dan mungkin juga telah menjadi amalan kepimpinan negara ini yang lebih mudah mempelajari sesuatu perkara dengan cara yang paling menyakitkan. Dengan itu, tragedi yang menimpa adik Haziq dan keluarganya adalah tragedi yang disengajakan.

Tiada ruang juga untuk kerajaan ‘menjual’ retorik bagi menjustifikasikan tragedi yang berlaku.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Haziq pengsan ditendang di tengkuknya oleh seorang pelatih lain ketika mereka berehat menonton televisyen.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Kluang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 11.55 malam dengan kesan lebam dan calar di leher.

Suspek kini direman 10 hari bagi membantu siasatan.

Kes pergaduhan dan sebagainya kian kerap dilaporkan di kem latihan. Ini seakan-akan menunjukkan modul yang sedia ada gagal membentuk disiplin peserta malah lebih teruk ianya menjadikan pelatih lebih ganas dan tidak berdisiplin.

Penutupan sementara kem latihan yang terlibat (Kem Agro Tourism Kluang), wajar bagi memastikan siasatan lengkap dapat dijalankan untuk menilai semula keseluruhan aspek yang telah menyumbang kepada yang berlaku kepada adik Haziq. Khususnya, melihat kemampuan fungsi dan peranan jurulatih bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak berulang, desak Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Begitu juga, menilai semula operator pengendali kem bagi memastikan kem latihan yang digunakan menyediakan suasana yang kondusif bagi pelatih.

Kelayakan jurulatih kem perlu disemak semula memandangkan mereka perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku dalam kem. Penilaian ini juga bagi memastikan setiap jurulatih yang dipilih tidak dilantik atas kapasiti bagi menjalankan kerja-kerja indoktrinisasi ke atas pelatih untuk pihak lain.

Kegagalan jurulatih berfungsi sebagaimana yang diharapkan dapat dilihat daripada beberapa kejadian seperti; kes-kes pencabulan oleh jurulatih terhadap pelatih wanita, rogol yang melibatkan jurulatih, pergaduhan antara jurulatih dan pelatih, proses indoktrinisasi oleh jurulatih bagi menyemai fahaman politik kepartaian, petik Mazlan akan kes-kes yang telah berlaku.

Menurut Mazlan, modul yang digunapakai perlu menitikberatkan skop pembinaan kenegaraan dan patriotisme yang luas, bukan sedia dan setia berkhidmat dan berkorban untuk parti politik pemerintah. Pembentukan pemikiran kritis kalangan peserta juga perlu disemai dan disegarkan ke arah membina warga negara kelas pertama.

Pemahaman mendalam pelatih terhadap aspek-aspek perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undangnya, perlu ditekankan.

Mazlan mencadangkan agar pengasingan antara pelatih lelaki dan wanita dilakukan, dengan pengasingan lelaki dan wanita melalui pengasingan kem latihan secara total; atau pengasingan lelaki dan wanita melalui proses sessi pengambilan pelatih.

Kerajaan perlu berani untuk mengaku segala kepincangan yang berlaku, dan bertindak segera dan telus terhadap segala kelemahan.


Read more!

MASIH SELAMATKAH PLKN (1)

Cerita sikit apa-apa peristiwa yang pernah berlaku dalam PLKN.

Dulu-dulu...Pelatih PLKN dirogol.

Selalunya, ada sahaja laporan berita...Pelatih PLKN bergaduh sesama sendiri.

Dan yang terkini...Peserta PLKN terbunuh akibat pergaduhan di dalam kem.

Soalan saya, masih selamatkah PLKN? Masih wajarkah ibubapa meletakkan keyakinan tahap keselamatan yang disediakan di PLKN?


Read more!

Monday, April 03, 2006

To be a Somebody, not anybody


Saya berbual dengan saudara Abid Abdillah baru-baru ini, seorang penulis muda yang baru mula membina nama dalam penulisan buku self-help. Namun sedar tidak sedar, beliau telah pun menulis 2 buah buku. Bakal menghasilkan buku ketiga dan keempat tidak lama lagi.

Saya meminta pandangan beliau tentang hasrat saya untuk membina perniagaan kecil-kecilan berbentuk dualisme; perniagaan internet dan konvensional yang bakal saya namakan ia MataPena.com.

Biasalah. Semangat anak muda, bila sudah didatangi idea dan cara, maka tak sabar untuk menjelmakannya menjadi realiti. Lagi pula baru dihadiahkan sebuah buku bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina (tulisan Ann Wan Seng) oleh sahabat paling akrab saya.

Maka, saya diajukan satu persoalan oleh saudara Abid, “Kau boleh mulakan apa jua bisnes, bila saja masa. Tapi, pelanggan atau klien kau akan tanya, mengapa mereka perlu memilih kau? Mengapa mereka perlu berurusan dengan kau? Apa istimewanya produk kau daripada orang lain?”


Betul juga persoalan yang ditimbulkan. Kalau hasrat ingin terus mendapat tempat kukuh dalam dunia bisnes, persoalan-persoalan itu perlu dijawab terlebih dahulu. Membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Walaupun mengetahui bahawa dalam dunia bisnes, berfikir terlalu lama untuk membuat keputusan akan merugikan perniagaan.

Bagi saya, itu ialah salah satu prinsip yang penting dalam dunia bisnes. Kita perlu menjadi berbeza dan istimewa daripada orang lain untuk memastikan produk kita laris dan mendapat tempat di kalangan pengguna.

Menjadi istimewa dalam dunia blog

Prinsip yang sama terpakai dalam dunia penulisan blog dan penerbitan di internet. Pembaca mempunyai alasan mengapa mereka perlu mengunjungi Malaysiakini.com atau Harakahdaily.net setiap kali mereka melayari internet mencari berita alternatif semasa.

Dan mengapa pengunjung tetap setia mengklik Pakdi.com dan Jeffooi.com unuk membaca komentar-komentar sosial harian.

Semuanya kerana mereka ini mempunyai identiti yang berbeza dan berlainan daripada biasa.

Menjadi graduan yang istimewa

Bagi mereka yang mengikuti siri The Apprentice musim yang baru berakhir semalam (2/4/2006), pastinya juga mengakui realiti ini. Randell yang terpilih dalam peringkat akhir menjadi Apprentice kepada Donald Trump memiliki keistimewaan tersendiri dalam pelbagai bidang. Dari sudut akademiknya, kepimpinannya dan juga karismatiknya. Ini yang membuatkan dia menyaingi lawannya, Rebecca.

Mungkin ini yang perlu dititikberatkan oleh graduan dan bakal graduan negara kita untuk mengelakkan pengangguran. Selain daripada kecemerlangan akademik, seorang graduan memerlukan nilai tambah (added value) untuk menjadikannya istimewa, berbeza daripada orang lain.

Sahabat saya, saudara Zarifi Daud (bekas Presiden MPP UIA) yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Syariah di sebuah syarikat takaful ternama menyatakan pada saya bahawa penglibatannya dalam aktiviti persatuan dan kepimpinan ketika zaman universiti dulu banyak membantu beliau dalam menjadikan dirinya istimewa daripada calon-calon temuduga jawatan tersebut dahulu.

Jadi, fikirkan daripada sekarang! Apa bezanya dan istimewanya kita daripada orang lain?

“To be a Somebody, not anybody”


Read more!