Cetusan Minda...: Adab-adab Iftar (berbuka puasa) Menurut Sunnah(1)

Monday, October 18, 2004

Adab-adab Iftar (berbuka puasa) Menurut Sunnah(1)


Adab: Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.


Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (Rujuk al-Mu’jam al-Wasit, 1/88).

Di Malaysia sekarang, rutab sudah mula dikenali. Ianya kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ianya mengecut dipanggil tamar.

Di dalam hadith daripada Anas r.a. katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmidzi, katanya hadith ini hasan).

Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini. (rujuk al-Hadith al-Mukhtarah, 4/411, Maktabah al-Nahdah al-Hadithah: Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada maka dipilihnya tamar dan jika tiada, air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) bahawa hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, ataupun mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ianya menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun Fath al-Makkah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi s.a.w.

Teman: “Alhamdulillah, pagi tadi Wan Anwar menghadiahkan sebungkus rutab kepada teman. Katanya dapat daripada masjid. Semoga Allah melimpahi rahmat ke atas Muslim yang menghidupkan sunnah Rasul-Nya”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home