Cetusan Minda...: February 2005

Monday, February 28, 2005

Tertinggal bas...

Sepatutnya pagi ini teman menghadiri Pelancaran Islam Hadhari di UKM sebagai wakil ofis.

Malam tadi bukan main bersemangat lagi teman untuk ke sana. Lagi pula, teman masih kabur tentang konsep pelaksanaan tonggak Islam Hadhari yang sepuluh itu. Faktor ini membuatkan teman berhajat, dan kalau diizinkan, bertanya terus kepada pemimpin-pemimpin negara di sana.

Akhirnya pagi tadi, barulah teman maklum bahawa bas rombongan ke sana bertolak di awal pagi lagi. Teman sangkakan dalam jam 8.00 begitu. Melepas teman...

Dalam situasi begini siapa yang harus dipersalahkan?

Adakah patut dipersalahkan bro. Nakhaie kerana tidak memaklumkan secara detail maklumat yang relevan?

Atau diri ini yang harus dipersalahkan kerana tidak berusaha mendapatkan maklumat yang sepatutnya?

(",)


Read more!

Thursday, February 24, 2005

(Dalam keterhadan masa) .. Capai internet sekejap

Ini pengemaskinian entry yang pertama sepanjang minggu ini. Memang banyak perkara yang ingin dinukilkan namun masa teman sangat terhad. Setiap malam pastinya diisi dengan program.

Yang menariknya minggu ini teman dapat bersua muka dengan Meor Atiqulrahman. Seorang pelajar yang dibuang sekolah kerana berserban ketika pergi sekolah tidak lama dahulu. Kesnya belum selesai. Masih pending untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan.

(Dalam keterhadan masa) ... Capai internet sekejap.

Esok teman akan menghadapi 2 ikhtibar (test) penting. Al-Qawa'id al-Fiqhiyyah dan Land Law. Juga pada esok hari firma Zikri&Associates diarahkan untuk menghantar mind-mapping tentang gerakerja dan uslub menjawab soalan PBL subjek Equity&Trust.

Teman panjatkan doa: "Rabbi yuassir wala tu'assir umurana ya Allah".


Read more!

Sunday, February 20, 2005

Riwayat sepasang kasut

Apa yang anda akan lakukan, jika pergi ke masjid - setelah selesai solat - anda dapati kasut anda hilang?

Cari kasut anda di sekeliling masjid?
Marah?
Menyumpah seranah?
Bertanya pada pak guard yang bertugas?
'Sapu' selipar lain yang ada di situ?


Malam semalam teman ke UPM. Ada program di sana. Sampai di UPM betul-betul waktu Isya', lantas teman terus ke masjid.

Itulah pertama kali teman solat di masjid UPM yang cantik itu. Besar, cantik, selesa.

Selesai solat teman keluar dari masjid. Ketika itulah teman sedari bahawa sepasang sandals Camel Active teman telah LESAP! Teman tidak berpuas hati; sangka teman, mungkin tersilap letak kot. Teman keluar mengelilingi (baca: tawaf) masjid, mencari sandals kesayangan teman itu. Tengok di tempat wuduk, tiada. Cari di tempat wanita, juga tiada. Ah, sudah. Sah sandals buruk teman yang dipakai sejak tahun 2002 itu kena curi!



Geramnya teman waktu itu. Hati ini mula menyumpah seranah si penjenyah itu. Teman terduduk seketika di tangga masjid memikirkan apa yang harus dilakukan. Hampir sejam duduk di tangga. Masjid mula ditutup & dikunci oleh pak guard UPM.

Teman bermonolog:
"Nak tak nak aku kena hadiri juga program tu. Tapi macam mana? Takkan berkaki ayam."

"Kalau aku tak pergi program - terus balik ke Gombak - takkan nak menunggang motor tanpa alas kaki. Bukan dekat jarak Gombak dengan Serdang."

"Boleh tak aku apply kaedah fiqh dalam situasi begini? Al-Masyoqqah tajlibu at-Taisir (Kesukaran mengundang kepada sesuatu yang mudah) ?"


Selepas itu teman nekad untuk membuat keputusan. Masjid telah pun ditutup. Tiada seorang pun lagi di situ. Walhal, di kaki tangga masjid, terdapat agak banyak pasang selipar buruk. Mungkin selipar wakaf, teman fikir.

Teman masukkan beberapa riyal (baca: ringgit) dalam tabung masjid. Dan teman pun mengambil sepasang selipar yang buruk di situ. Selepas itu, teman pergi menghadiri program yang dimaksudkan dan balik ke Gombak dengan memakai selipar itu.

Sedih teman kerana kehilangan sandals tu...Mungkin ada hikmahnya, ujian dan tarbiyyah dari Allah. Mungkin juga kifarah daripada Allah Ta'ala atas dosa-dosa lalu.

Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.


Read more!

Friday, February 18, 2005

Lagi pasal duit...

Ada orang tanya pada teman semalam, "Kalau kau dah jadi kaya raya, multi-bllionaire, kau nak buat apa?"

"Aku nak jadi macam Jeneral Nusaybah dalam novel 1511H [Kombat]. Menyumbang untuk Islam. Membina kepakaran, memperkukuh ketumbukan tentera Muslimin dan banyak lagi boleh diinfaqkan kepada dunia Islam yang miskin, insya-Allah," teman jawab.

Ramai sahabat teman mengeluh bila tidak dapat mengambil semester pendek tahun ini. Ramai yang dah merancang aktiviti bagi mengisi 3 bulan yang bakal terluang. Ada juga yang masih blur, tak tahu nak buat apa.

Bagi yang masih belum berperancangan, biar teman tolong bagi cadangan aktiviti:

1) Buat attachment (bagi law students)
2) Kerja sementara
3) Jadi ejen teman dalam bisnes printing (komisen daripada keuntungan 60:40 -> boleh meningkat ke 50:50 jika kemajuan mmberansangkan)
4) Menyertai partnership teman sebagai tenaga pengajar (home tuition, al-quran, bhasa Arab, fardhu ain).
5) ...
6) ...

Dah nampak, kan? Sekarang ini pilihan di depan mata anda. Buat keputusan yang terbaik - komited dengan keputusan yang diambil (",)

Selamat Berjaya sahabat-sahabat!


Read more!

Thursday, February 17, 2005

'Freeze'kan SEJUTA, Setiap tahun dapat 100,000

Kenapa teman rasa cenderung untuk bercakap soal bisnes dan duit sejak akhir-akhir ini?

Teman jawab, "teman nak tanamkan kepercayaan kepada orang Melayu Islam bahawa mereka juga boleh jadi kaya-raya."

Amalkan sikap menabung; "Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit" betul?

Cuba bayangkan jika kita mula menabung dari sekarang. Menabung boleh di buat di bank - akaun simpanan tetap.

Tidak pun bagi mereka yang lebih 'advance' dalam soal ini, boleh melabur dalam unit trust. Untuk jangka masa panjang dan risiko yang sangat minima.

Ataupun bagi mereka yang punya duit banyak, inginkan keuntungan dalam jangka masa pendek dan berani menghadapi risiko tinggi boleh melabur dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia (dulu Bursa Saham Kuala Lumpur).

Di sini teman ingin highlightkan, jika kita punya simpanan yang mencecah RM 1 Juta - freezekan dalam akaun - kita mampu untuk perolehi keuntungan tahunan RM 100 ribu ringgit. Anda boleh menabung di Tabung Haji misalnya. Dividen tahunan Tabung Haji agak tinggi juga, betul? Zakat harta kita juga diberekan.

Passive income ini lebih tinggi daripada gaji tahunan ibu bapa kita yang berpendapatan RM 5 ribu sebulan!

Itu sebab mengapa orang yang kaya terus kaya dan yang miskin terus melopong!


Read more!

Wednesday, February 16, 2005

Sembang bisnes stesen minyak



Semalam, ketika lunch di café, sempat juga teman berbincang dengan Amer pasal bisnes. Bisnes minyak.

Menurut Amer, bapanya kini mengusahakan sebuah stesen minyak Caltex di Kuala Terengganu. Untung memang sangat lumayan. Bayangkan:

Jualan Petrol:
Keuntungan satu liter petrol = RM 0.08
Jualan petrol sehari = 10 000 liter
Maka, keuntungan sehari = RM 800
Keuntungan sebulan = RM 24 000

Jualan runcit Mart:
Untung kasar sehari = RM 700
Sebulan = RM 21 000

Jumlah besar = RM 45 000

Selepas ditolak beberapa kos relevan seperti gaji pekerja, elektrik, air, telefon dan sebagainya, keuntungan bersih bulanan adalah dalam RM 30 000.

Wah…sangat lumayan.

Teman pernah bercita-cita untuk buka stesen minyak di kampung teman. Teman juga pernah bercita-cita untuk membuka cyber café di kampung teman. Kedua-duanya masih tiada di kampung halaman teman. Teman target, dalam tempoh 5 tahun lagi. Maknanya pada tahun 2010 atau 2011. Insya-Allah.

Wallahua’lam.


Read more!

Zikri sibuk...

Bukan seorang dua yang bercakap. Ramai yang dah mengeluh. Sahabat-sahabat ‘sepermainan’ terutamanya.

Dengar sikit sedutan daripada keluhan-keluhan mereka:
“Zikri, kau ni sibuk dengan program apa?”
“Zikri sibuk sekarang ni, mana ada masa nak pergi makan dengan kita.”
“Zikri…nak ajak kau pergi pasar malam pun dah tak sempat sekarang ni. Mana taknya, aku call kau, tengok-tengok ada di UM lah. Ada meeting lah. Ada tugas penting di ofis lah.”

Em, teman tak tahu nak cakap macam mana. Yang pastinya teman memang sibuk. Tanggungjawab lebih banyak daripada masa yang ada. Namun, teman sedari dan sama sekali tidak mengabaikan hak sahabat-sahabat. Jika ada waktu senggang teman akan luangkan masa bersama-sama (“,)


Read more!

Tuesday, February 15, 2005

Anda bukan gagal, tetapi belum berjaya

Semalam teman menghadiri ceramah motivasi Saudara Hj. Ahmad Fadzli Yusof, seorang konsultan motivasi yang semakin membina nama...telah menulis pelbagai judul buku Resipi Kejayaan.

Very inspired...

Teman tak nak komen lebih-lebih pasal beliau. Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.resipikejayaan.com hari ini juga!

Ada tawaran hebat di website beliau!


Read more!

Wednesday, February 09, 2005

1426H [Defragmentation Project]

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut awal Muharram 1426 Hijrah, tanda tahun 1425 Hijrah bakal melabuhkan tirainya. Menutup catatan diari umat Islam 1425H.

Tahun 1425H meninggalkan seribu satu kenangan pahit dan manis kepada umat Islam. Di penghujung 1425H dunia digemparkan dengan tragedi tsunami. Tragedi itu berlaku ketika dunia Islam mengutuk perbuatan kerajaan Thaksin ke atas umat Islam di Tak Bai, Selatan Thailand. Maka pandangan dunia dialihkan untuk melupakan tindakan Thaksin.

Tahun ini juga menyaksikan salji turun di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga banjir besar melanda beberapa kawasan di Arab Saudi termasuk juga di Mina.

Adakah semua yang berlaku ini tanda alamat daripada Allah Rabbul Jalil? Sama-samalah kita insafi.

1426H [Defragmentation Project]?

Menjelang Subuh 1426 Hijrah ini, teman akan melancarkan 'Defragmentation Project' sebagai persediaan mengharungi cabaran dalam Third Wave (Gelombang Ketiga). Dunia yang semakin menekan umat Islam. Namun, teman tetap optimis bahawa Islam akan bangkit semula. 1426 Hijrah bakal merintis dan mengorak langkah ke arah kegemilangan tersebut. Justeru, teman memulakan dengan diri sendiri.

Apakah nuansa projek tersebut?

Penguasaan bidang, pembinaan intelektualisme, peningkatan 'ubudiyyah dan pembentukan profesional bertaraf ulama' adalah merupakan intipati asas di dalam projek teman ini.

Timeframe projek?

Projek ini teman letakkan sasaran dalam tempoh 24 bulan. Tempoh ini bermula daripada terbit fajar 1426 Hijrah sehingga menjelang subuh 1428 Hijrah. Semoga, apabila teman bergelar graduan nanti - sedikit sebanyak - ada kemajuan yang dikecapi.

Ringkasan modus operandi projek?

Penguasaan bidang ber'modus operandi'kan langkah-langkah untuk menguasai bidang pengajian teman. Teori dan praktikal. Strategi belajar yang berkesan akan diinovasikan selaras dengan jadual harian teman yang padat. Penguasaan pelbagai bahasa juga perlu diberi perhatian. Bahasa Inggeris wajib dikuasai demi membolehkan teman bersilat dalam gelanggang Barat. Dakwah lebih berkesan jika disampaikan dalam bahasa mereka.

Seterusnya, dalam usaha membina intelektualisme, beberapa strategi digariskan. Antaranya melaksanakan disiplin membaca bulanan yang teratur dan dipatuhi. Selain daripada itu, tahap dan keupayaan pemikiran akan dilatih dan diasah untuk menjadi lebih kritis, merembes idea-idea bernas ke arah kemajuan secara holistik.

'Ubudiyyah sememangnya perkara wajib. Hubungan dengan Pencipta perlu dipertingkatkan. Post-mortem sepanjang 1425H akan dijadikan kayu ukur dan garis panduan peningkatan. Hati perlu dipupuk untuk sentiasa bersikap ikhlas dalam setiap 'amal. Al-'Amalu Lillah. Berjayalah bagi mereka yang mukhlis.

Dan akhir sekali, persiapan dalam membentuk seorang profesional bertaraf ulama'. Ataupun ulama' yang bertaraf profesional. Cendekiawan-cendekiawan Islam ketika zaman kegemilangan Islam seperti Ibnu Sina, Jabir ibnu Hayyan, Ibnu Rusyd, dan ramai lagi akan dijadikan tauladan. Penguasaan dalam kedua-dua bidang. Ilmu fardhu 'ain dan fardhu kifayah.

Inilah 'Defragmentation Project' yang akan teman laksanakan. Tiada copyright terhadap projek ini. Malah teman galakkan mana-mana sahabat Muslim dan Muslimah yang berminat untuk tujuan adaptasi dan modifikasi terhadap idea projek ini.

Marilah kita mulakan langkah baru. Membentuk Muslim berkesedaran. Memajukan diri untuk Ummah.

Akhir kalam, teman ucapkan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1426 untuk semua muslimin seantero dunia.

Wallahua'lam.


Read more!

Sunday, February 06, 2005

E-mel tetamu: Salahkah Siswi Itu Berpurdah?

Teman terima e-mel ini daripada seorang pengunjung weblog teman dan meminta artikelnya disiarkan di Cetusan Minda.
SALAHKAH SISWI ITU BERPURDAH?
Oleh; Saif Qistina
saif_qistina@yahoo.com

Baru-baru ini seorang siswi di sebuah IPT tempatan disaman kerana kesalahan memakai purdah di dalam kampus. Peruntukan untuk peraturan melarang memakai purdah jelas dinyatakan dalam peraturan kod etika berpakaian IPT tersebut. Peruntukan tersebut menyebut:
“any form of clothing that covers the face is prohibited.”

Salahkah siswi itu berpurdah?

Penulis teringat sebuah kes yang hampir sama isunya; Hjh Halimatussaadiah v. Public Service Commission, Malaysia [1994] 3 MLJ di mana Mahkamah Agung ketika itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan pemecatan perayu daripada jawatannya sebagai kakitangan dalam kerajaan negeri Perak.

Apakah kesalahannya?

Dia berpurdah di tempat kerja – enggan mematuhi arahan dalam surat pekeliling yang dikeluarkan – lantas dipecat. Surat pekeliling tersebut antara lain menyatakan:
“…However, ‘jeans’, ‘slacks’, shorts and any dress covering the face are not permitted to be worn during work.”

Dalam Islam tidak dilarang perempuan memakai purdah dan tidak pula diwajibkan memakainya. Bebas kepada muslimah memilih untuk memakainya ataupun tidak.

Dalam konteks siswi IPT tersebut, dia memilih untuk memakai purdah. Penulis yakin dan percaya dia mempunyai alasan yang kuat untuk memakai purdah, tidak taqlid buta semata-mata.

Hak siswi ini terjamin di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan: Bebas untuk mengamalkan agamanya!!

Namun kebebasan agama yang dijamin di bawah perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan tidaklah mutlak kerana perkara 11(5) tidak membenarkan sebarang tindakan yang bertentangan dengan sebarang undang-undang am berkaitan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.

Tetapi, adakah dengan siswi itu berpurdah bisa mengganggu ketenteraman awam di kampus? Adakah pakaiannya itu membuatkan rakan-rakan dan orang-orang di sekelilingnya berasa tidak selamat?

Zainur Zakaria (1993) dalam artikelnya yang mengulas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Hjh. Halimatussaadiah berkata:
“Surely it cannot be said that the practice of the Plaintiff in wearing the purdah was contrary to public health or morality. The only ground perhaps on which the Plaintiff could be prohibited from wearing the purdah would be on the ground that it was contrary to public order.” Ini bermakna Mahkamah melihat pemakaian purdah sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Mengimbas definisi ‘public order’ secara lalu maka penulis ketemu definisi yang diberi Hakim Abdoolcader di dalam penghakiman kes Re Application of Tan Boon Liat @ Allen [1976] 2 MLJ 83:
“The expression ‘public order’ is not defined anywhere but danger to human life & safety and the disturbance of public tranquillity must necessarily fall within the purview of the expression.”

Mungkin ada benarnya kata-kata Hakim Mohd. Noor Abdullah di dalam kes Meoratiqulrahman [2000] 5 MLJ 375:
“seorang yang memakai purdah yang memperlihatkan kedua matanya sahaja seperti dalam kes Hjh. Halimatussaadiah tidak dapat dicam atau dikenalpasti, sifulan atau sifulan, lelaki atau perempuan.”

Penulis bersetuju dengan Hakim Mohd. Noor tetapi masyarakat tidak boleh dibiarkan meletak prejudis yang melampau terhadap setiap wanita Muslim yang berpurdah. Sikap itu adalah jumud dan sempit dalam keadaan negara yang aman damai sekarang di bawah kepemimpinan kerajaan Islam Hadhari.

Sebagai kesimpulannya, pihak berautoriti di kampus berkenaan perlulah terlebih dahulu membuktikan bahawa pemakaian purdah atau niqab ini jelas membahayakan ketenteraman dan keselamatan awam sebelum pemakaiannya dilarang. Bagi penulis, hanya bukti yang tuntas mampu menjustifikasikan larangan tersebut.

Wallahua’lam.


Read more!

Thursday, February 03, 2005

Antara Qiyadah dan Jundiyyah

Apa maksud Qiyadah? Dan apa maksud Jundiyyah? Qiyadah bermaksud pimpinan dan Jundiyyah bermaksud ahli. riyadh tertarik dengan huraian penceramah tersebut yang banyak mengaitkan sikap sesorang qiyadah atau jundiyah kepada iman. Namun, sebelum membicarakan soal Qiyadah dan Jundiyah seorang muslim perlu membersihkan aqidah terlebih dahulu. Andai masih ada kepentingan peribadi sebagai seorang pemimpin atau ahli, tak layak untuknya untuk membicarakan soal yang serius seperti tajuk tersebut. Kepada sesiapa yang mengaku dirinya sebagai mukmin….renung2lah surah al Hujurat yang byk menyebut “Ya ayyuhal lazina amanu…”

Zikri: Teman petik daripada blog seorang sahabat yang menuntut di UM. Untuk baca lanjut sila lawat sahabatsejati.


Read more!