Cetusan Minda...: December 2005

Monday, December 26, 2005

Sudah-sudahlah MAS...


Apalah nasib MAS... Tak habis-habis. Dulu ketika ditadbir Dato' Tajuddin Ramli, hampir-hampir gulung tikar. Namun diselamatkan apabila Kerajaan membeli saham-saham MAS dengan harga yang sangat tinggi.

Nampaknya masalah dalaman MAS berterusan hingga kini. Terutama apabila telah wujud saingan domestik daripada Air Asia. Mungkin telah tiba masanya Kerajaan tidak lagi membantu MAS yang telah 'nazak' itu.

Atau pun lebih baik Kerajaan bersikap tegas memberhentikan operasi MAS dan memberi tumpuan kepada syarikat penerbangan yang pentadbirannya stabil dan semakin meningkat maju.

Baca juga:

1) MAS: Sell the HQ, keep the paintings
2) 'Kami tidak akan tutup mulut'
3) Jual bangunan MAS tidak selesai masalah: Aziz


Read more!

Thursday, December 22, 2005

Dah jadi adat orang kita...

Sudah menjadi adat orang kita apabila tengok dengan mata sendiri baru hendak percaya dengan sesuatu perkara. Begitu juga dengan kes ketuk-ketampi bogel yang menggemparkan Malaysia. Tumpuan yang diberikan media sangat hebat, sehinggakan Persidangan Kemuncak Asean yang berlangsung di Kuala Lumpur pun kurang mendapat perhatian.

Paling tidak, Teresa Kok yang cuba didakwa sebagai menyebarkan 'bahan lucah' itu berjaya membuka mata umat Malaysia bahawa ada prosedur dan tindakan yang menjijikkan terhadap individu yang berada dalam tahanan polis.

Itu belum dikira kes Anwar Ibrahim bermata lebam ditumbuk bekas Ketua Polis Negara ketika sesi interrogation (soal-siasat). Belum dicampur isu tahanan-tahanan ISA yang diseksa mental dan fizikal (baca buku yang dikarang Saari Sungib ketika dalam tahanan ISA). Banyak. Banyak sangat kes yang berlaku di sebalik jeriji besi sana.

Sekarang, tengah hangat dengan kes perbicaraan Saddam Hussein. Siapa percaya apabila dia mendakwa dirinya dipukul ketika dalam tahanan Amerika? Parut sahaja tidak cukup. Sudah jadi adat orang kita, bila tengok sendiri baru percaya. Atau orang kita menanti video klip macam kes ketuk-ketampi dulu?


Read more!

Monday, December 19, 2005

Selepas Dong Jiao Zong, kini Kongres Kepentingan Bangsa pula


Bukhori mengajak teman menghadiri Kongres Kepentingan Bangsa yang diadakan di UTM Jalan Semarak, KL hujung minggu baru-baru ini. Namun sayang sekali kerana teman terpaksa outstation 3 hari.

Kongres tersebut diadakan dua hari, 16 dan 17 Disember dianjurkan oleh Gabungan 100 NGO Melayu. Sebanyak 29 resolui pendidikan, ekonomi dan sosiobudaya yang telah diluluskan. Ianya merangkumi lapan resolusi ekonomi, tujuh resolusi pendidikan dan 14 resolusi sosiobudaya.

Mari kita teliti 29 Resolusi tersebut:

PENDIDIKAN

1. Menggesa kerajaan untuk menilai semula keseluruhan keutuhan dan keberkesanan sistem pendidikan negara yang belum pernah dibuat sejak merdeka sesuai dengan dasar dan falsafah pendidikan negara.


2. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Pada masa yang sama mempertingkatkan pengajaran subjek Bahasa Inggeris dengan serius.


3. Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) supaya boleh berfungsi seperti asal dan mengembangkan sektor pendidikan aliran agama supaya dapat menyumbang kepada pembangunan Negara.


4. Membiayai sepenuhnya pelajar Melayu yang layak masuk dan mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui biasiswa.

5. Menyarankan agar MARA memfokuskan peranannya dalam pendidikan dan modal insan dan kerajaan memperkasakannya dengan memberikan peruntukan yang secukupnya mulai sekarang.

6. Menggesa kerajaan memberi perhatian kepada beberapa aspek lain pendidikan, iaitu: pendidikan luar bandar, prasekolah, penyerapan nilai-nilai murni, latihan teknikal, biasiswa, latihan guru, perpustakaan luar bandar, pendidikan khas kanak-kanak kurang upaya, pendidikan orang asli, dll.

7. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) hendaklah dimansuhkan secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat dan kondusif bagi pertumbuhan kecerdasan minda, kebebasan berfikir dan kreativiti di kalangan para akademik dan mahasiswa.

EKONOMI

1. Mengambil usaha untuk mempertahankan hartanah orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu yang terdapat di seluruh negara. Kerajaan hendaklah mengganti tanah-tanah yang telah di ambil di tempat-tempat strategik.

2. Kualiti pengurusan badan GLC mestilah mencerminkan nilai akhlak yang tinggi dan cemerlang. Sementara pemantauan hendaklah dilakukan oleh kumpulan NGO dan professional yang berkelayakan yang berkaitan dengan urustadbir.

3. Petronas hendaklah berperanan sebagai satu agensi penjana yang bertanggungjawab dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

4. Meneruskan matlamat dan falsafah DEB secara berkekalan supaya pencapaiannya menggambarkan komposisi penduduk Malaysia dalam proses penjanaan kekayaan baru (new wealth creation).

5. Mengadakan gerakan pembudayaan keusahawan di kalangan masyarakat Melayu. Ia adalah sebagai usaha untuk mempertingkatkan martabat ekonomi orang Melayu khususnya dalam sektor peruncitan dan perdagangan kecil.

6. Mendesak kerajaan supaya penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang supaya perlaksanaannya berkesan. Sebagai contohnya, institusi-institusi kerajaan (GLC) seperti Pertonas, Telekom Malaysia, TNB dan lain-lain wajib mengeluarkan zakat. Pentadbiran zakat dilaksanakn secara telus supaya pengagihannya memberi manfaat kepada umat seperti tabung pendidikan, tabung membasmi kemiskinan dan sebagainya.

7. Memperkenalkan Akta Makanan Halal Malaysia supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu dan Islam. Sebuah Perbadanan Industri Makanan Halal hendaklah diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub.

8. Menggalakkan semua NGO Melayu menubuhkan koperasi masing-masing untuk menggembelengkan sumber daya orang Melayu bagi menjalankan aktiviti ekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup dan sosio-budaya orang Melayu.

SOSIO-BUDAYA

1. Menubuhkan satu pasukan peguam-peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran terhadap peruntukan dan undang-undang yang menyentuh kepentingan dan hak istimewa Melayu serta mencadangkan tindakan yang sewajarnya.

2. Mengembalikan perkhidmatan awam, pegawai keselamatan dan profesional ke peranan asal mereka sebagai institusi yang bebas, beramanah dan tidak mengamalkan rasuah.

3. Mendesak kerajaan supaya membudayakan masyarakat melalui amalan demokrasi yang tulin dan telus serta memulih dan memperkukuhkan institusi-institusi urustadbir negara termasuk institusi raja.

4. Mendesak semua pihak agar memberi keutamaan kepada proses membudayakan nilai murni bagi membetulkan kekacauan nilai dalam masyarakat.

5. Mendesak semua pihak memainkan peranan yang berkesan untuk memerangi gejala rasuah dengan:
I. Menjadikan BPR sebagai badan bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.
II. Menggerakkan semua NGO Melayu untuk bergabung tenaga mengadakan kempen yang berkesan dalam menangani budaya rasuah di dalam negara ini.


6. Menganjurkan agar semua pihak menjaga dan memelihara integriti kekeluargaan yang semakin rapuh.

7. Menolak fahaman dan amalan gerakan Islam liberal dan mencegah daripada berkembangnya pemikiran Melayu liberal.

8. Badan-badan NGO Melayu hendaklah mempunyai saluran media bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara telus terutama berhubung dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Melayu.

9. Kerajaan melalui semua kementerian, agensi dan jabatan perlu menyerapkan unsur-unsur kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Kebangsaan dalam dasar dan program.

10. Badan-badan penyiaran dan media massa perlu merancang pewujudan citra kebangsaan dalam programnya.

11. Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu diperundang-undangkan dalam bentuk akta seperti dasar bahasa dan dasar pendidikan.

12. Masalah kebejatan sosial yang melanda masyarakat Melayu perlu ditangani secara serius oleh kerajaan dan semua pihak lain.

13. Budaya berfikir hendaklah dijadikan amalan dalam semua sektor dan semua peringkat sebagai teras tamadun bangsa.

14. Kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam hendaklah disuburkan dan diterapkan dalam pentadbiran, pendidikan dan bidang-bidang lain.


Read more!

Wednesday, December 14, 2005

They have started blogging...and you?

Apabila freedom of information agak disekat, maka individu-individu daripada civil society akan mula mencari jalan keluar. Rintihan mesti diluahkan. Hak mesti ditegakkan. Kebenaran mesti diperjuangkan. Kebatilan mesti dihapuskan.

Di Amerika, blog telah lama digunakan sebagai wadah politik. Di Malaysia, ahli-ahli politik baru mula memanfaatkan blog sebagai medium penyampaian maklumat. Terutama parti-parti politik 'bukan pemerintah' (baca: pembangkang). Mari kita lawat blog-blog mereka:

1. http://blog.limkitsiang.com
2. http://teresakok.blogsome.com
3. http://tansenggiaw.blogspot.com
4. http://pokuan.blogsome.com
5. http://chow.blogsome.com
6. http://pemudawilayah.blogspot.com


Read more!

Monday, December 12, 2005

Resolusi Rakyat 10 Disember 2005


Sumber: Malaysiakini.com

Lebih 600 pertubuhan dan 4,000 individu yang berkumpul di Kajang pada hari Sabtu menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Persidangan itu dianjurkan oleh pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ) di ibupejabatnya di Kajang.

Peserta persidangan itu kemudiannya meluluskan resolusi empat perkara, yang menggesa supaya dasar tersebut dikaji semula. Resolusi tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Resolusi tersebut menggesa kerajaan, pertama, menambah pelajaran bahasa Inggeris di sekolah; kedua, mengkaji kesan negatif pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris; ketiga, kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda; dan keempat, menggesa parti-parti politik dan pertubuhan supaya menyokong pendidikan dalam bahasa ibunda. Resolusi tersebut diluluskan sebulat suara secara mengangkat tangan.

Mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lutfi Othman (foto) memberitahu persidangan tersebut bahawa pelajar Melayu adalah golongan yang tpaling eruk terjejas dengan dasar tersebut

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan 96 peratus pelajar Melayu tidak berminat mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya dasar adhoc itu yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini jelas menunjukkan kelemahannya.

Dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris diperkenalkan dalam Tahun Satu sekolah rendah pada 2003. Bagaimanapun, di sekolah Cina, formula 2-4-3 digunakan – dua masa belajar untuk bahasa Inggeris, empat masa belajar untuk Matematik dan tiga masa belajar bagi Sains, pada setiap minggu.

Sehingga ini, belum ada keputusan yang dibuat mengenai jumlah masa belajar bagi dua matapelajaran tersebut apabila murid masuk Tahun 4 tahun depan.

Presiden Dong Zong, Dr Yap Sin Tian berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah melemahkan peranan sekolah Cina dalam sistem pendidikan vernakular. “Jika medium pengajaran di sekolah rendah ditukar, maka sekolah Cina menghadapi risiko kehilangan identiti mereka,” katanya. Dr Yap juga membidas parti-parti politik yang bersikap tidak konsisten dalam pendirian mereka berhubung isu tersebut.

Presiden Jiao Zong, Ong Chiow Chuen pula berkata, masalah yang timbul akibat daripada dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris itu perlu diselesaikan segera atau kesan negatifnya akan menimpa semua bangsa di negara ini.

“Kajian pakar dalam bidang pendidikan tempatan dan luar negeri, telah menggesa supaya kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran, terutama dalam matapelajran Sains dan Matematik,” kata Ong.

Turut berucap ialah Pengerusi Kumpulan Rakyat Prihatin, K Arumugam; Pengerusi Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, M Manogaran dan Yang Dipertua Jemaah Islamiah Malaysia (JIM), Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.

Ahli-ahli politik tidak disenaraikan berucap di persidangan tersebut. Penganjurnya berkata, pihaknya mahu persidangan dan resolusi itu tidak berunsurkan politik dan mencerminkan pandangan masyarakat.Here is the beginning of my post.


Read more!

Friday, December 09, 2005

Sains & Matematik dalam BI: Mengapa Cina lebih ke hadapan membantah isu ini?

Isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI) bukan isu baru. Namun yang teman lihat, ianya umpama rumah telah siap tetapi pahat masih berbunyi. Berbagai respons masih lagi kedengaran berterusan ke hari ini.

Terbaru, Dong Jiao Zong – gabungan Persekutuan Lembaga Persatuan Sekolah Cina (Dong Zong) dan Persatuan Guru Cina Malaysia (Jiao Zong) – yang merupakan kumpulan paling lantang membantah pelaksanaan dasar tersebut bakal menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada Sabtu ini.

Persoalannya, mengapa mereka lebih terkehadapan memperjuangkan bantahan ini?

Pak Lah sendiri menyatakan dahulu bahawa dasar ini akan tetap diteruskan namun akan diteliti dan dilakukan penambahbaikan.

Teman tinggal di kawasan luar bandar. Bukan sahaja ibu bapa, malah guru-guru di kawasan kampung turut merungut apabila ditanyakan tentang pembelajaran dalam BI tersebut.

Guru-guru di sekolah kebangsaan banyaknya merungut, tetapi tidak berani bersuara kerana ini dasar kerajaan dan mereka ialah kakitangan kerajaan.

Teman dah lihat sendiri anak-anak kampung belajar dalam keadaan tertekan.

Teman petik beberapa temuramah yang dilakukan Malaysiakini bersama Pengerusi DJZ, Dr Yap Sin Tian.

MK: Boleh Dr Yap jelas mengapa DZJ mahu menganjur Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember ini?
Saya ada berhubung dengan penulis dan ahli kesusasteraan, budayawan untuk berbincang. Pada pendapat saya, kebanyakan mereka yang saya hubungi, juga bersetuju bahawa Matematik dan Sains patut diajar dalam bahasa ibunda. Berikutan itu, Dong Jiao Zong (DJZ) akan menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember di Pusat Pendidikan DJZ di Kajang.

Persidangan itu bukan sahaja membabitkan DZJ atau Lembaga Pengurus Sekolah Cina, tetapi juga alumni-alumni di Malaysia dan alumni Universiti Taiwan di Malaysia, bekas pelajar Universiti Nanyang, telah bersetuju untuk menyertainya.

Selain itu, kita juga telah menulis surat kepada kawan-kawan kaum Melayu dan India, menjemput mereka untuk berucap di persidangan tersebut.

MK: Dalam isu ini banyak bantahan datangnya dari masyarakat Cina?
Bukan masyarakat Cina sahaja, masyarakat Melayu pun ada...

MK: Yang lebih bersuara adalah pendidikan Cina, tetapi kurang dari kalangan masyarakat pendidik Melayu dan India?
Saya tanya mereka...mereka cakap...(tapi) kalau bukan suara kerajaan, susah sikit.

MK: Adakah pendirian mereka dalam isu ini?
Mereka yang kita hubungi memang tidak setuju...(tetapi) lebih baik mereka hadir (di persidangan itu) dan bercakap di hadapan hadirin. Ini lebih baik dan lebih berkesan, daripada kita hanya menyebut nama mereka.

MK: DJZ nampaknya telah mengubah strategi. Dulu tumpu pada masyarakat Cina, tapi kini turut menghubungi masyarakat lain?
Betul. Bila kita menghubungi ahli-ahli pendidikan, sasterawan dan budayawan, kita ada kata sepakat. Jadi mereka pun ingat kalau orang Melayu menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar dengan lebih berkesan...ilmu ada, bahasa ada.

Kalau mahu tingkat penguasaan bahasa Inggeris, mesti belajar secara profesional.

Jadi kita dapat mencapai pandangan bersama, jadi kita ingat, dalam al ini, patutnya kita turut menghubungi masyarakat lain juga. Seperkara lagi, biasanya jika masyarakat Cina, DZJ atau persatuan-persatuan lain bercakap (mengenainya), ia dikatakan cauvinistik...masyarakat Cina sahaja. Tetapi kalau kita dapatkan maklumatnya, sebenarnya isu ini bukan (mengenai) orang Cina sahaja. Contohnya, pada bulan Mac 2005, Kongres Pendidikan Melayu – saya baca dalam akhbar – juga dilaporkan tidak bersetuju (dengan dasar tersebut).

MK: Ada yang berpendapat penggunaan bahasa ini mudah dan kurang (keperluan) terjemahan ke bahasa lain?
Kalau di tahap universiti mungkin ada universiti yang menggunakan pelbagai bahasa, tetapi dari sekolah rendah, murid masih dalam proses menguasai bahasa (ibunda), macam mana mahu kuasai bahasa lain (BI). Dan lagi satu bukti, macam Jerman, Jepun guna bahasa ibunda mengajar Matematik dan Sains, dan ia tidak langsung menunjukkan yang ilmu mereka tidak baik.

MK: Antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan?
Pada luarannya, ada perbezaan antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tetapi ada juga persamaannya.

Dulu sekolah kebangsaan menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengajar Matematik dan Sains, manakala sekolah Cina pula menggunakan bahasa Mandarin untuk matapelajaran tersebut.

Tetapi kini semuanya diajar dalam bahasa Inggeris. Cuma di sekolah Cina, selain bahasa Inggeris, ia juga menggunakan bahasa Mandarin, tetapi ini membuang masa, (mengajar) benda yang sama, mesti membosankan. Oleh sebab itu (adalah) arahan kerajaan, kementerian. Bahasa Inggeris sangat mustahak dalam ujian, jadi sampai sekarang menteri belum lagi mengumumkan (sama ada) pada 2008, ia mahu digunakan lagi, apakah bahasa (pengantar) ujian UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah). Jadi masyarakat Cina sangat bimbang tentang hal ini.

MK: Apakah perjumpaan DJZ dengan MCA, Gerakan membuahkan sebarang hasil?
Kita mengadakan perjumpaan dengan MCA dan Gerakan.

Kedua-duanya, pada prinsipnya, menganggap patut diguna bahasa ibunda untuk mengajar (Matematik dan Sains). (Timbalan Presiden Gerakan) Tan Sri Dr Koo Tsu Koon, dalam akhbar, telah menerangkan pendiriannya...(tapi) dah jadi satu isu. Kitapun jumpa MCA, ia pun lebih kurang cakap mengenai pendiriannya.

Tetapi sebenarnya kita tidak tahu...biasanya mereka cakap akan berunding dengan kabinet dan kerajaan...tapi kerana program itu belum disemak, jadi kita anggap ia belum lagi selesai.

MK: Ada yang berpendapat DZJ tidak ikut perkembangan semasa di mana bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa global. Dan ada pelajar Cina tidak cekap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?
Bahasa sebenarnya tidak jadi masalah. Ini boleh dibuktikan di mana pelajar sekolah menengah Cina tidak menghadapi masalah apabila mereka melanjutkan pelajaranke Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, dan pada masa yang sama, belajar di Taiwan, China dan Singapura. Di peringkat sekolah menengah, tahap penguasaan (bahasa Inggeris) bukan terlalu tinggi. Sekolah Cina pentingkan tiga bahasa – bukan sahaja bahasa ibunda, tetapi juga bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Ada juga pelajar kita yang belajar di Universiti Malaya dan Universiti Multimedia...Anak saya pun masuk (Universiti) Multimedia. Dengan sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah PersendirianCina Malaysia, masuk katergori B – lebih tinggi dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lulusan SPM kena masuk pra-universiti, tetapi lulusan sijil (sekolah Cina) terus masuk peringkat B.


Read more!

Wednesday, December 07, 2005

PAS 23 , BN 22



Apabila diumumkan kemenangan BN di N 12 Dun Pengkalan Pasir jam 12.30 tengahari tadi, teman tidak terlalu terkejut dengan kekalahan PAS di dalam pilihanraya kecil tersebut. Memang sudah diduga sejak awal lagi.

Pilihanraya kecil biasanya menjadi tumpuan, malah lebih hangat dan dramatik kerana semua jentera parti bertanding akan difokuskan sepenuhnya ke situ. Semua pencatur propaganda terhebat dikumpulkan di situ, merangka langkah memburu checkmate kepada lawan.

Kemenangan BN tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukur bahawa rakyat Kelantan sudah mula ingin beralih angin. Majoriti undi hanya berbeza 134. Sedangkan jentera semua negeri telah diarahkan untuk menjaga setiap satu peti undi. Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO bertaraf Menteri dan rakan-rakan komponen juga turut turun padang berkempen. Sepatutnya UMNO boleh mendapat undi lebih besar dek tenaga yang dikerah mereka.

Kekalahan PAS yang menjadikan komposisi DUN yang dikuasai mengecil menjadi simple majority satu kerusi berbanding BN memerlukan satu post-mortem terperinci. BN menang bukan kerana janji manis pembangunan yang ditaburkan. Bukan juga kerana pengundi-pengundi veteran yang melompat parti seperti yang dipropagandakan di kaca tv. Bukan juga kerana kekuatan jentera mereka. Sebaliknya ada faktor-faktor pada pentadbiran Kerajaan negeri dan pemantauan DUN yang perlu diberi perhatian.


Read more!