Cetusan Minda...: August 2005

Wednesday, August 31, 2005

48 tahun Malaysia merdeka: Apa beza dulu dan sekarang?


Read more!

Sunday, August 28, 2005

48 tahun Malaysia merdeka: Perlukah warga asing teraju MAS?


Ketika membaca akhbar semalam, satu perkara yang menggamit perhatian teman; MAS akan ambil warga asing sebagai Pengarah Urusan baru. Teman tanya, “perlu ke?”

Jika di awal merdeka dulu, banyak institusi kerajaan ataupun yang berkaitan kerajaan diterajui warga asing. Namun, realiti negara kita ketika itu adalah kerana kita kekurangan pakar dan orang berkebolehan dari kalangan anak tempatan.

Waktu itu, kita dapat menerima apabila bukan anak tempatan menerajui badan-badan seperti menjadi Ketua Polis, Panglima Tentera, Ketua Hakim dan lain-lain lagi.

Tapi, dalam negara yang sudah 48 tahun merdeka ini, tiadakah anak tempatan yang mampu menerajui MAS? Bukankah Malaysia mempunyai ramai CEO dan peneraju korporat yang hebat-hebat?

Jika Tony Fernandez mampu mengangkat Air Asia menjadi syarikat penerbangan tambang murah terulung, tentunya ada anak Melayu yang mampu memulihkan kemelut kemerosotan MAS yang telah berlarutan selama 3 tahun.

Kalau hendakkan sangat warga asing terlibat dalam memulihkan reputasi persaingan dan kedudukan MAS di mata dunia, cukuplah jika hanya menjadi penasihat. Tidak pun diadakan perkongsian pintar bersama mereka.

Yang penting sekarang ialah yakin atau tidak kepada kemampuan anak bangsa sendiri!
Baca:


Read more!

Saturday, August 27, 2005

48 tahun Malaysia merdeka: Sejauh mana kita bebas dan selamat?

Beberapa hari lagi genaplah Malaysia merdeka 48 tahun. Segenap lapisan rakyat Malaysia semakin sibuk menyediakan persiapan menyambut ulang tahun ke-48 Kemerdekaan tanggal 31 Ogos nanti.

Tidak ketinggalan rakan-rakan teman seperti Presiden Zarifi, malah Pakdi juga turut sibuk dengan latihan raptai di Putrajaya. Sungguh tebal semangat patriotik mereka!

Guru dirogol; kondisi keselamatan sosial yang belum merdeka

Baru-baru ini kita gempar apabila seorang guru sekolah menengah berbangsa Cina dari Ipoh dirompak dan dirogol dengan kejam secara bergilir-gilir yang akhirnya ditinggalkan di tepi jalan di Rawang.

Itu belum campur dengan kes-kes jenayah lain yang pastinya berlaku setiap hari di Malaysia. Kes ragut, samun, culik, liwat, sumbang mahram, pukul dan buli, bunuh dan banyak lagi yang tak mungkin teman dapat senaraikan satu persatu.

Teman terfikir, apakah selamat persekitaran luar Malaysia jika anak-anak gadis di dalam rumah pun tiada jaminan selamat dari dirogol oleh ahli keluarga lelaki kandung sendiri. Inikan pula jika berada di luar rumah. Lagilah banyak ancaman yang kita tidak dapat duga.

Jenayah tidak mengenal mangsa. Adakala kita yakin bahawa kita tidak bermusuh dengan sesiapa, tetapi kita tetap terdedah menjadi mangsa jenayah. Awas selalu!!!

ISA perlu; pemikiran yang belum merdeka

Tidak lama dulu, teman pernah diwawancara untuk satu dokumentari tentang ISA oleh seorang aktivis sosial. Secara prinsipnynya teman menentang pelaksanaan ISA. Dan 1 soalan diajukan kepada teman, “jika anda menganggotai Kerajaan, adakah anda tetap menentang ISA?”

Teman jawab, “why not?”. Ramai orang yang pada mulanya menentang ISA tapi apabila diajukan soalan sedemikian, akan rasa ragu-ragu dan berfikir dua kali.

Bagi teman perasaan ragu-ragu tersebut berpunca dari pemikiran kita yang belum lagi merdeka. Maka berjayalah usaha propaganda dan indoktrinisasi yang dilakukan bahawa ISA tetap relevan, efektif dan satu keperluan. Sentimen yang dimainkan mudah dan senang: Untuk keselamatan negara dan rakyat!

Jangan menentang dasar; konsep yang belum merdeka

2 kes yang perlu anda ketahui.

Kes pertama, 2 orang pensyarah IPTA di utara Semenanjung dipecat kerana enggan menandatangani surat akujanji. Kes kedua, seorang Profesor di UKM disingkir Universiti kerana kerap mengkritik dasar kerajaan.
Apa pandangan anda? Bukankah Malaysia negara demokrasi? Setiap individu ada hak untuk bersuara selagi tidak bertentangan dengan struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu; catatan sejarah yang belum merdeka

Fakta sejarah tidak pernah berbohong, sebaliknya catatan sejarah yang mampu menyorokkan sebahagian fakta penting. Tentang sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, kita acap kali dihidangkan dengan sebahagian fakta. Bermula Malayan Union, diikuti penentangan Melayu yang diketuai Dato’ Onn sehingga laungan MERDEKA Tunku Abdul Rahman.

Namun, ada lagi siri-siri perjuangan dan tokoh kemerdekaan yang seperti sengaja tidak disebut nama mereka seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Ishak Hj. Muhammad dan Shamsiah Fakeh yang sengaja dicop sebagai pendokong golongan kiri Melayu.

Malah, tokoh-tokoh Islam seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir umpamanya semakin luput dari ingatan generasi muda Malaysia. Di tempat teman di Perak, ustaz Abu Bakar al-Baqir lebih dikenali sebagai pengasas Maahad Ehya’ Ash-Sharif di Gunung Semanggol, tak lebih dari itu.

Sekarang masa untuk nilai sendiri…

Teman hanya sebut secara spesifik sebahagian kecil daripada realiti yang berlaku dalam negara Malaysia yang usianya sudah 48 tahun merdeka. Terlalu banyak aspek yang ‘belum merdeka’ untuk disebut. Mungkin jika teman tulis secara akademik, mampu menghasilkan buku yang mejangkau sehingga 4-5 jilid dengan setiap jilid berhalaman 300-400 muka.

Nilailah sendiri…sejauh mana kita dan keluarga berasa selamat dan tenteram dalam negara yang sudah 48 tahun merdeka? Dan sejauh mana kita mengecapi hak kebebasan dalam negara yang hampir separuh abad merdeka?


Read more!

Monday, August 22, 2005

Bila sudah dekat pilihanraya kampus...

Hujung minggu yang baru berlalu menyaksikan tumpuan media semuanya difokuskan kepada pemilihan MCA. Teman yang sempat pulang ke kampung juga turut mengikuti perkembangan parti kaum Cina terbesar Malaysia ini.

Apabila mengetahui Chua Jui Meng dan Ong Ka Ting bertanding untuk jawatan nombor satu, terdetik hati teman untuk melihat Chua Jui Meng menang. Tanpa teman sedari bahawa Ong Ka Ting adalah antara individu penting dalam pelan perdamaian MCA yang bergolak suatu ketika dahulu. Sudah tentu majoriti memihak kepadanya.

Itulah cerita pasal orang politik. Kawan boleh jadi lawan.

Bukan sahaja ketika pilihanraya umum dan pemilihan kepimpinan parti, malah dalam pilihanraya kampus pun begitu. Bila sudah dekat nak pilihanraya kampus, maka ada rakan rapat (satu kelas kuliah) yang berbeza ideologi mula merenggangkan diri. Sembang pun tidak semesra dan sejujur dahulu. Inilah keadaan yang teman perhatikan saban tahun dan ianya bukan pelik kerana amalan politik luar pun begitu.

Bila bicara pasal politik, teman dapati ada 4 jenis manusia:
1) Orang yang minat berpolitik dan menjadi aktivis parti.
2) Orang yang minat berpolitik tetapi lebih selesa memilih untuk menjadi pemerhati, penganalisis, pengkritik, dan penyokong.
3) Orang yang tidak minat berpolitik tetapi mengikuti perkembangan politik semasa.
4) Orang yang langsung tidak ambil tahu pasal perkembangan politik, nak jadi apa pun jadilah.

Anda dalam kategori yang mana?

Baca:


Read more!

Friday, August 12, 2005

Bad Air Day III

Keadaan yang berjerebu di Lembah Kelang membuatkan teman memilih untuk berkurung di kediaman dan meluangkan banyak masa bersama rakan-rakan yang sebelum ini sibuk belaka. Sempat juga berbual dengan muqreez pasal Bad Air Day - keadaan jerebu yang melanda.

Bila Kerajaan isytihar darurat di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor, ianya mengundang diskusi dari pelbagai aspek undang-undang:

1) Adakah Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat? Bukankah ianya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong? Malah seperti dilaporkan berita pada 11/08/05, Pak Lah memberi kebenaran mengisytiharkan darurat kepada Bahagian Keselamatan Negara (BKN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) jika IPU mencecah 500 tanpa mendapatkan kelulusan daripadanya terlebih dahulu.

2) Sejauh manakah penguatkuasaan 'darurat' tersebut? Adakah sama dengan darurat perang? Yang teman pasti, ketika meneliti dokumen Pengisytiharan Darurat Jerebu tercatat bahawa Darurat Jerebu tidak termasuk di dalamnya perintah berkurung.
Beza antara Malaysia dan Indonesia ialah Indonesia mengklasifikasikan darurat kepada Darurat Perang dan Darurat Sivil. Maka kes seumpama di Aceh ketika dilanda tsunami dahulu diklasifikasikan sebagai Darurat Sivil.

3) Bolehkah syarikat-syarikat swasta yang diarah menghentikan operasi ketika Darurat Jerebu ini menyaman Kerajaan Malaysia di atas beban kerugian yang ditanggung sepanjang pemberhentian operasi tersebut?

4) Bolehkah Kerajaan Malaysia mengambil tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Kerajaan Indonesia akibat pencemaran jerebu yang berlaku?
Ini persoalan-persoalan menarik yang timbul untuk dibincangkan secara ilmiah. Itu dari aspek undang-undang.

Belum lagi dibincangkan dari aspek sains politik bilamana menjadi kewajipan Kerajaan untuk prihatin terhadap aspek kesihatan rakyat. Selain itu, dari aspek hubungan diplomatik antarabangsa, hubungan di antara Kuala Lumpur dan Jakarta dalam menangani konflik yang timbul berikutan jerebu ini juga menarik untuk diperbincangkan.

Tidak ketinggalan kesan jerebu kepada ekonomi negara. Yang pasti, bursa saham di Bursa Malaysia terus ditutup rendah. Semua ini kesan daripada pemberhentian operasi di Pelabuhan Klang dan beberapa aspek lain lagi yang menggugat keyakinan pelabur di Malaysia buat masa sekarang.


Read more!

Thursday, August 11, 2005

Bad Air Day II

Hari ini, Pelabuhan Kelang dan Kuala Selangor diisytiharkan darurat oleh kerajaan apabila IPU mencecah kadar 500. Di tempat teman IPU baru mencecah 264 setakat entry ini ditulis, masih belum lagi mencecah 300 (kategori Berbahaya).

Pak Lah kata, jika IPU mencecah 500, maka secara automatiknya diisytiharkan darurat. Tapi, bagi teman, baru sekadar IPU 264 ini pun dah cukup membuatkan teman rasa sesak bernafas, tekak terasa perit dan mula batuk-batuk. Inikan nak menanti mencecah IPU 500 baru hendak diisytiharkan darurat.

Pantauan yang teman buat, dalam masa jerebu ini, menguntungkan orang-orang yang mengambil kesempatan menjual topeng muka.

Topeng kain ini, kosnya hanya 20sen, dan dijual dengan harga 50sen.

Topeng yang agak keras ini pula, kosnya RM1.00, dan dijual dengan harga RM1.20.

Em, tapi teman mencari topeng-topeng ini. Menurut fakta, lebih terjamin selamat.


Baca:
1) Jerebu: PAS cadang kerajaan bagi topeng muka percuma
2) JEREBU; APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?


Read more!

Wednesday, August 10, 2005

Shuhada (ex-MPMUM 03/04) terima Anugerah Pelajaran Di Raja


Petikan daripada Berita Harian 10/08/05:

KUALA LUMPUR: Dua graduan Universiti Malaya (UM), Nurshuhada Zainon, 22, dan Tam Shan Dean, 24, yang cemerlang akademik dan kokurikulum menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena konvokesyen universiti itu, semalam.

Sepanjang pengajian, Nurshuhada bukan saja mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83, malah menerima Anugerah Dekan lima kali berturut-turut. Graduan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan itu juga aktif kokurikulum, antaranya menjadi Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pernah menyertai delegasi UM ke Universiti Oxford dan Universiti Glamorgan, United Kingdom.

Ketika ditemui, Nurshuhada berkata, memberi tumpuan ketika mengikuti kuliah dan mengulang kaji pelajaran adalah kunci kecemerlangannya.


Mengenai cabaran masa depan, beliau berkata, seseorang pelajar tidak seharusnya bergantung kepada ilmu dipelajari semata-mata, sebaliknya perlu berfikiran global sejajar dengan tuntutan semasa.

“Pelajar yang inginkan kejayaan perlu berusaha gigih serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal tinggi untuk bersaing dengan orang lain.

“Pelajar, perlu bijak mengimbangi masa antara pelajaran dan aktiviti sosial kerana kedua-duanya aset penting,” katanya yang kini bertugas sebagai juruanalisis pembinaan sebuah syarikat di ibu negara.



Ada apa dengan Shuhada?

1) Beliau merupakan bekas pelajar sekolah teman (1 batch, 1 office).
2) Beliau juga ialah bekas exco MPMUM 03/04 ketika zaman Ramadhan Fitri.

Wah, tumpang bangga teman hari ini dengan kejayaan sahabat teman ini. TAHNIAH.


Read more!

Bad Air Day!!!




Kerajaan kemungkinan akan mengisytiharkan darurat ke atas kawasan-kawasan yang teruk dilanda jerebu jika keadaan tersebut kian serius.

Baca lagi berita:

1) Kurang kegiatan luar: Najib

2) Jerebu di KL, Selangor, Putrajaya paling buruk

3) Darurat mungkin diisytihar - Sekiranya kawasan dilanda jerebu bertambah serius


Read more!

Monday, August 08, 2005

ADA APA DENGAN MAWI


Seperti yang diramalkan, Mawi bergelar juara AF musim ke-3. Teman pun tidak pasti apa yang istimewanya sangat dengan insan bernama Mawi ini. Namun yang pasti, kecil besar, tua muda mengenali Mawi. Pendek kata, jika bertanding dalam pilihanraya, dia bukan calang-calang calon.

Itulah hakikat rancangan realiti TV. Siapa yang berjaya menggamit minat penonton, dialah yang bakal mendapat undi terbanyak. Walaupun bakatnya tidaklah sehebat mana.

Pelik, pelik.

Orang ramai sanggup bersesak-sesak di Stadium Melawati semata-mata ingin menyaksikan secara live siri-siri konsert mingguan AF. Walaupun menyedari bahawa pelajar-pelajar AF bukanlah artis apalagi menjamin persembahan yang bermutu, namun sambutan yang mereka terima mengalahkan artis terkenal.

Mawi, Mawi.

Apa yang istimewa dengan Mawi?
Di dalam dewan kuliah, pelajar dan pensyarah menyebut nama Mawi.
Di dalam konvensyen dan seminar, pembentang kertas kerja dan peserta menyebut nama Mawi.
Di dalam Perhimpunan Agung UMNO pun perwakilan sebut nama Mawi.
Di dalam kuliah maghrib di Masjid ar-Rahman, KL ustaz dok sebut nama Mawi.
Ke mana saja teman pergi, orang mengenali dan menyebut nama Mawi.

Satu fakta menarik, Mawi menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz. Teman cadangkan, Dewan Pemuda Pas Pusat membawa Mawi bertemu Tuan Guru secepat mungkin.

Baca:

1) Gelombang Tsumawi III
2) Biodata Mawi
3) Mawi dan AF: Satu Fenomena Baru?
4) Dunia Mawi
5) Comments on Akademi Fantasia


Read more!

Wednesday, August 03, 2005

Dah setahun usia Cetusan Minda

Telah genap setahun Cetusan Minda bertapak dalam desa IT. Terima kasih kepada mayameera yang mengingatkan teman.

Imbauan Setahun Lalu

Teman mula menulis di Cetusan Minda Ogos tahun lalu. Dan tidak dapat dinafikan bahawa weblog Pakdi ketika itu menjadi inspirasi utama teman yang mencetus ilham dan semangat membangunkan Cetusan Minda di samping beberapa weblog lain yang terkenal seperti hudasoid, adli-zil-ikram dan lain-lain lagi.

Adli-zil-ikram, teman menggelarnya sebagai sifoo. Individu yang banyak berjasa dalam mengajar teman asas-asas kod HTML. Terima kasih. Pening juga nak memahamkan kod HTML di awal-awal dulu bagi individu seperti teman yang hanya bergelumang dengan case law dan human literature (bukan computer literature).

Mentor – Protégé

Sepanjang setahun ini, teman sangat gembira bila weblog beberapa rafiq dibangun dan diaktifkan. Sudah ramai menyedari kewujudan aktiviti blogging di Malaysia dan tak kurang ramainya yang mula meminati dan menggilai blog. Ini satu perkembangan yang baik.

Sahabat Sejati, sahabat senegeri teman di UM, muncul dengan identiti weblognya tersendiri. Weblognya boleh teman katakan protégé kepada Cetusan Minda. Yang pasti, sumbangannya untuk Islam, mendidik seorang saudara baru dari ras Tionghua mempelajari dan mendalami Islam.

Begitu juga dengan Dahar, di peringkat awal dia menjinakkan diri dalam dunia blog, kami kerap bertukar-tukar pengalaman dan pendapat. Akhirnya kini, dia mempunyai lebih daripada satu blog yang setiap satunya miliki konsep dan pembawaan berbeza.

Blogging, undang-undang dan politik

Teman pernah menghadiri satu program di Kuala Lumpur. Ditakdirkan Allah teman bersua muka dengan Sokai, seorang blogger yang agak lantang dalam isu-isu melibatkan Islam. Dia bertanya pada teman sama ada aktiviti blogging yang diminatinya ini merupakan satu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang.

Teman katakan kepadanya: jangan menghasut, memfitnah dan mencetus soal-soal yang menggugat keselamatan negara sudahlah. It’s your rights and freedom of expression. Cuma kebebasan yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan itu ada hadnya yang perlu dipatuhi. Jaga-jaga. Jeffooi, suatu ketika dahulu, pernah diancam kerajaan untuk dikenakan tindakan undang-undang. Begitu juga satu kes di Singapura, juga diancam dengan tindakan undang-undang.

Hendak diceritakan, kuasa blog ini mampu menyaingi media-media arus perdana pada suatu hari nanti dari sudut pengaruhnya kepada massa. Dalam tempoh kempen Pilihanraya Presiden AS – ketika Bush menang untuk penggal kedua – beliau menjemput bloggers ketika sidang media. Seolah-olah bloggers adalah wartawan. Di situ kita dapat menilai sejauh mana pemimpin kuasa besar dunia mula mengiktiraf pengaruh weblog.

Kini kita dapat lihat beberapa pertubuhan politik mula memanfaatkan blog. Lihat saja Malaysia-Today. Tidak ketinggalan juga Datuk Shahrir Samad, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Menulis untuk Popular?

Innamal a’maalu binniyaat (Setiap perbuatan itu berdasarkan niat). Jika niat menulis untuk dikenali ramai, itulah yang kita dapat.

Banyak benda yang kita boleh lakukan melalui aktiviti blogging. Ketika teman bersua dengan Hishamuddin Rais dulu pun, dia menekankan kepentingan dan manfaat blog.

Buat masa sekarang, teman, Pakdi dan Ehsan sedang memikirkan bengkel khas untuk bloggers. Kami sedang cuba menggagaskan satu program sebagai wacana diskusi halatuju bloggers. Apakah perkara yang boleh kita manfaatkan melalui aktiviti yang kian berkembang ini? Sama-sama kita nantikan wacana tersebut.

Sekalung penghargaan buat semua

Terima kasih kepada semua pengunjung Cetusan Minda. Terima kasih juga kepada rakan-rakan bloggers yang menghubungkan Cetusan Minda daripada weblog kalian. Terima kasih.


Read more!